Entri Terkini :

Novel : Saksi Rindu (Bab 2)

Kelihatan murid-murid sedang beratur  dan  dan ada pula di antara mereka berebut-rebut  untuk mendapatkan tempat dalam membeli makanan di kantin sekolah. Suasana pagi itu agak suram kerana cuaca nampak mendung sahaja. Sinar mentari tidak menjelma. Hari ini tidak seperti hari-hari biasa.
Dari luar kantin sekolah, budak lelaki bernama Iqbal Raif sedang mengatur langkahnya untuk masuk ke dalam kantin bersama bekal di tangan. Wajahnya tidak ceria dan kelihatan sungguh hampa. Mana tidaknya hari-hari dia berbekalkan roti kosong yang tidak dicampurkan dengan jem nanas, strawberi mahupun apa sahaja jenis penambah rasa untuk menyedapkan lagi santapan roti berkenaan.
“Aduh!” Iqbal Raif terjatuh bersama bekalnya sekali.
“Hahaha!” Iqbaif Raif ditertawakan oleh murid-murid yang berada di situ.
Kaki Iqbal Raif tersadung pada kaki orang lain. Ia memang disengajakan oleh murid tersebut yang mahukan Iqbal Raif jatuh dan mendapat malu. Iqbal Raif bangun dengan perlahan-lahan dengan kepalanya tertunduk. Dia terus mengambil semula roti yang sudah terkeluar dari bekas berkenaan lalu dibersihkan. Dia terpaksa juga untuk menjamah roti ini, jika tidak dia akan kelaparan. Dari pagi tadi lagi dia tidak dibenarkan menjamah apa-apa makanan.
“Hei! Kau reti jalan ke tidak? Lebih baik pakai tongkat dari ada mata,” tidak semena-mena Adam bersuara membuli Iqbal Raif murid darjah satu itu.
Pilu hati si budak itu yang begitu takutkan mereka. Takut kerana dia tidak mahu  berkelahi dan itulah pesan ibu padanya. Jangan berkelahi.
“Maafkan saya Abang Adam,” ucap Iqbal Raif tertunduk-tunduk selepas dia sudah bangun dari rebahnya. Dengan perlahan-lahan roti tadi dimasukkan semula ke dalam bekas lalu ditutup semula.
“Siapa abang kau hah? Aku bukan abang kau, bodoh!” herdik Adam dengan mengatakan ucapan yang sedemikian.
Tersentak Iqbal Raif mendengar kata-kata berbaur hina seperti itu. Perlahan-lahan Iqbal Raif menggosok baju dengan tapak tangan kerana terdapat kesan kotor. Begitu juga dengan seluarnya. Tatkala Iqbal Raif terbongkok-bongkok, muncul seseorang pula dari belakang terus menolak Iqbal Raif jatuh tersungkum pula. Kasihan benar pada Iqbal Raif dibuli oleh mereka. Sang Pencipta tetap menyaksikan segala watak dan peranan dari manusia-manusia ini.
“Ops! Sorry! Kau ni kenapa Raif mengadang laluan masuk ni? Kalau ya pun duduklah tepi sikit, orang nak masuk ni. Tak fasal aku tertolak kau, dah bangun… mari sini aku tolong,” bekas roti tadi terlucut pula dan Adam yang berada di hadapan dengan sengaja memijak makanan itu. Ya Allah… rezeki Tuhan dipersendakan sampai begitu sekali. Hinanya Iqbal Raif di mata mereka.
Aiman memang sengaja menolak Iqbal Raif dan kini dia menghulurkan tangannya untuk disambut oleh Iqbal Raif. Aiman mahu membantu Iqbal Raif bangun semula. Banyak mata memandang mereka ketika ini. Cikgu sekolah tidak pula datang menasihati. Ini adalah kerana cikgu sekolah makan di dalam bilik khas maka tidaklah tahu apa sebenarnya yang berlaku. Ini merupakan satu kesilapan. Tiada yang memantau. Maka kes buli mudah berlaku di kalangan murid sekolah.
“Terima kasih Aiman…” ucap Iqbal Raif sambil tangannya mahu mencapai tangan Aiman. Dia fikir Aiman benar-benar ikhlas kerana Iqbal Raif tidak menaruh syak wasangka pada setiap kebaikan yang dihulurkan oleh orang lain.
Ya, Aiman membantu tetapi hanya sekerat jalan sahaja kemudian tangan itu sengaja dilepaskan semula menyebabkan Iqbal Raif jatuh terduduk hingga sakit punggungnya. Ya Allah…
“Pengemis seperti kau ni tidak layak dibantu! Sejak kau dan mak kau ada di rumah kami! Mama aku selalu bising-bising. Mama aku bising sebab kamu berdua terlalu bodoh! Bengap! Entah macam manalah papa aku sanggup bayar yuran sekolah kau ni?!
Terkedu Iqbal Raif mendengar kata-kata kesat itu. Remuk hatinya saat tersungkur di situ.
“Ya! Sejak kau ada dalam rumah kami, semua jadi tak menentu! Aku bosanlah tengok muka kau! Bila kau nak keluar dari rumah kami?” tiada jawapan dari Iqbal Raif untuk pertanyaan Adam pula.
Iqbal Raif kaku di situ yang masih terduduk.
“Wei! apa hal kamu ni berdua buli budak ni!!” muncul budak perempuan yang tegas di situ memarahi mereka berdua.
Fikah budak darjah empat sekelas dengan Adam muncul di situ menghulurkan bantuan buat iqbal Raif.
“Wei budak! Bangun! Kau jangan layan orang gila ni, mari sini ikut aku!” tangan Iqbal Raif ditarik supaya mengikut langkah Fikah membawanya pergi dari situ.
Adam dan Aiman tidak berkata apa. Diam sahaja sebaik Fikah muncul. Mereka berdua memerhatikan Iqbal Raif dibawa pergi begitu sahaja.
***
Beg sandang diletakkan di atas sofa. Dia melabuhkan punggung lalu melepaskan keluhan bersebelahan dengan begnya itu. Tiada kedamaian dalam hatinya tiada kebahagiaan diraih hingga ke hari ini. Terasa suram menyelubungi ruang hidup. Di sekolah teruk dia dibuli. Di rumah pula mungkin lebih lagi.
Terdapat kesan lebam di pipinya bila disentuh dia akan terseringai sendiri kerana menahan kesakitan. Apabila dirinya ditanya oleh Pak Hashim pemandu yang menghantarnya pulang bersama Adam dan Aiman juga, Iqbal Raif hanya memberitahu bahawa dia terjatuh tanpa diduga kerana tandas sekolah itu terlalu licin. Dia terpaksa mereka alasan tersebut jika tidak mahu keadaan menjadi bertambah buruk.
“Hei! Siapa suruh kau duduk atas sofa kami?” Adam memarahi Iqbal Raif. Sejak dari dalam kereta lagi mereka sengaja menyakiti Iqbal Raif tanpa pengetahuan pemandu mereka.
Pergi dan balik sekolah, pemandu yang hantarkan. Keluarga Encik Rahimi memang mempunyai pemandu peribadi termasuklah tukang kebun. Di atas ketiadaan pembantu Indonesia yang telah melarikan diri kerana tidak tahan dengan sikap Puan Maria maka Encik Rahimi mengambil Balqis pula bekerja sebagai orang gaji.
“Sakit… sakit…” Iqbal Raif menyeringai kesakitan tatkala telinganya dipulas oleh Adam.
“Hati kami lagi sakit! Ini bukan harta bapak kau senang-senang kau nak sentuh! Pergi! Pergi!” Iqbal Raif dihalau.
Dengan pantas Iqbal Raif mengambil beg sandangnya lalu berlari menuju ke kamar.
“Mari makan tengah hari…” Balqis muncul pula namun matanya terlihat kelibat anaknya berlari masuk ke dalam kamar.
Balqis yang baru keluar dari ruang dapur itu menjengah ke ruang tamu untuk mengajak anak-anak itu makan. Waktu pulang sekolah sudah pasti perut kosong. Ia perlu di isi. Balqis wajib menyediakan hidangan itu untuk anak-anak Puan Maria. Sekiranya tidak, pasti anak-anak Puan Maria akan mengadu dan mengakibatkan Balqis dihina bertalu-talu.
“Balqis!” panggil Adam dengan biadab yang langsung tidak memanggil makcik sebagai pangkal pada nama Balqis.
“Ya Adam…” sahut Balqis yang sedang mengelap tangannya dengan kain. Sebentar tadi dia baru lepas mencuci pinggan dan membersihkan dapur selepas memasak.
“Kau tengok anak kau tu baik-baik! Kami tak suka barang-barang kami yang ada di dalam rumah ni disentuh!” Adam mengingatkan Balqis sambil berpeluk tubuh dan menjeling tajam.
“Aiman sebenarnya tak suka juga, tapi nak buat macam mana, Aiman biarkan ajelah, tapi Abang Adam ni memang tak suka kalau ada orang usik barang-barang kepunyaannya, ” Aiman pula mencelah sedari tadi hanya memerhati sahaja. Lembut pula nadanya. Tidak kedengaran keras seperti Adam.
Biarpun tergores hati Balqis mendengar ucapan-ucapan itu. Namun Balqis bersabar kerana mereka masih kecil dan masih belum mengerti akan hakikat hidup ini yang bukan selamanya indah. Balqis mengeluh halus dan di hatinya berdoa agar dia dan anaknya dilindungi dari segala keburukan.
“Baiklah, nanti makcik ingatkan Raif,” Balqis patuh dan dia segera memesongkan langkah untuk melihat anak kesayangannya yang lari membawa diri sebentar tadi. Dari tadi lagi jiwanya dihambat rasa ingin tahu kenapa anaknya begitu.
“Kau nak ke mana pulak tu?” Adam bertanya sebaik melihat langkah Balqis bukan ke dapur tetapi ingin menuju ke kamar pula.
“Nak jumpa anak makcik,” balas Balqis.
“Tak payah! Kami dah lapar ni! Cepat hidangkan makanan!” Adam dengan lagaknya menunjukkan arah yang harus ditujui oleh Balqis. Adam menuding jari ke arah dapur.
“Makanan sudah ada di meja makan tu, Adam. Kamu bawalah Aiman makan sekali. Semuanya makcik dah siapkan,” ucap Balqis perlahan.
“Oh! Okey… marilah makcik kita makan sekali, bawalah Raif tu,” ucap Aiman pula yang suka berpura-pura.
“Betul ke?” Balqis terkejut mendengar pelawaan itu. Selama ini mereka berdua tidak pernah mempelawa dirinya makan bersama apatah lagi menjamah lauk-pauk yang dihidangkannya itu.
Balqis jujur dan tulus dalam kerjanya. Kalau tidak dibenarkan menjamah makanan maka dia tidak akan menjamahnya. Itulah diri Balqis.
“Kami tunggu di meja makan ya makcik,” Aiman penuh dengan sikap pura-pura. Adam sudah masak dengan sikap Aiman. Oleh itu dia tidak mengendahkan segala kata-kata Aiman tadi.
Mustahil benar Aiman sebaik itu. Sikap yang berbeza dipamerkan. Bagi Balqis, Adam memang agak kasar dalam berbicara tapi tidak pada Aiman yang lemah lembut di hadapannya.
Balqis mengangguk. Di hatinya berbunga bahagia kerana pertama kali diajak makan bersama. Alangkah indahnya hidup ini apabila dia dapat menatap wajah Adam dan Aiman termasuk Iqbal Raif saat makan bersama nanti.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.