Entri Terkini :

Tidakkah Kita Punya Hati?

Luangkan sedikit masa untuk membaca kisah ini...


Pesan ibu "Belajarlah rajin-rajin wahai anakku."


Si anak berkata pula pada ibunya "Saya akan berlajar bersungguh-sungguh Ibu. Saya sayang ibu...dan saya akan jaga ibu sampai bila-bila pun." Tanpa sedar si ibu menitiskan air matanya bahagia mempunyai seorang anak yang mahu membela nasibnya di hari tua yang berbaki entah berapa lama lagi.


Tatkala ini si ibu begitu mengharapkan kejayaan anaknya itu yang kini menuntut ilmu di negeri orang terpaksa meninggalkannya sendiri di rumah. Si ibu redha kerana pemergiaan anaknya demi membela nasib keluarga di kemudian hari. Kala ini si ibu sayu hatinya kerana mengenangkan pula si anaknya itu sudah tiada ayah lagi di dunia ini.


Si ibu ini membesarkan anaknya sendiri dengan membanting tulang empat kerat mengerah keringat dengan hanya menoreh getah di ladang. Di malam hari lenguh di kaki pula diurut sendiri sahaja. Dialah ibu dan dialah ayah kepada anaknya itu. Tapi malangnya si anak telah lupa akan janji-janjinya setelah menerima segulung ijazah dan mendapat pekerjaan yang bagus. Di saat ini juga si anak menerima kejutan budaya yang terlampau dan sudah mula bangga diri, riak dan sebagainya.


Lemah jua iman si anak meskipun sudah dibekalkan oleh si ibu dengan ilmu agama yang secukupnya sejak si anak masih kecil lagi. Didukung, didodoi... merenget meminta untuk dibelai dan disuapkan nasi ke mulut sehingga sanggup berjaga sepanjang malam tatkala anaknya seriangkali menangis digigit nyamuk. Kini si anak sudah besar panjang tetapi dia sudah lupakan ibu. Sudah punya pasangan hidup dan kini berbahagia.


Si ibu itu mempunyai cucu di luar pengetahuannya. Semasa si anak mendirikan rumah tangga dulu itu, si ibu tidak pula dijemput oleh si anak. Malah tempat tinggal dan alamat pun tidak diberitahu kepada ibu. Malangnya suratan nasib si ibu yang benar-benar rindu pada anaknya itu. 

Siang dan malamnya sering berdoa menadah tangan pada Yang Maha Esa memohon agar anaknya segera pulang kerana kesihatannya kini kurang stabil namun tetap digagahi jua bekerja demi menyara hidupnya kerana wangnya sudah habis ketika dibelanjakan pada anaknya waktu pengajian dahulu. 

Tahun demi tahun begitulah juga. Saat tiba Aidilfitri mahu pun Aidiladha si ibu beraya sendiri. Sanak saudara terdekat pergi seorang demi seorang. Lebih terasa lagi saat hari besar untuknya seperti hari ibu tiada anak yang mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' untuknya. Dia hanya ada seorang anak sahaja yang kini entah di mana.


Sebaknya hati si ibu itu. Perut itu yang telah mengandungkan anaknya selama sembilan bulan sepuluh hari tidak langsung dihargai oleh si anak. Tiba saat melahirkan zuriat suci anugerah ILAHI yang bakal menyinari hari si ibu itu, si ibu kena berjuang dan bersabung nyawa di antara hidup dan matinya kerana si anak ingin keluar dari rahim untuk melihat dunia.


Oh Tuhan... inikah balasan si anak itu ya Tuhan...? Mengapa teganya dia membiarkan si ibu merintih sendirian di rumah? Nasi pun tidak lalu dimakan. Badan susut dan segala isi dan kulut mengecut dan kendur dimamah usia.

Malam yang sepinya pula hanya ditemani oleh rasa duka nestapa dan rindu hingga si mata tidak lagi mampu menerbitkan airnya kerana sudah terlalu kontang. Beginilah sebuah erti penantian yang bertahun-tahun lamanya adalah amat menyakitkan.


Duhai anak... 
Sadarlah anak... 
Syurgamu berada ditelapak kaki ibumu wahai anak... 
Jangan biarkan ibumu menitiskan air mata keranamu anak... 
Tersayat hati ibu dek sikapmu itu maka akan tertutuplah pintu Syurga bagimu. 

Bila tiada lagi redha ke atas dirimu wahai anak...
maka hiduplah dirimu dalam ketiadaan makna berkah di dunia yang fana ini... 

Bahang api Neraka menjalar-jalar baranya menanti anak-anak yang menderhakai orang tua.


Anak...
Sanjungilah ibu itu...
Angkatlah martabatnya sebagai seorang ibu...
Jernihkan keruh ini, kembalilah...
Berikan dia kasih dan sayang
curahkanlah baktimu pada mereka
biarpun lelah menanti
biarpun sesak nafasmu
biarpun sampai mati

hadirlah di hadapan matanya
senyumlah... damaikan hatinya

bahagiakanlah mereka wahai anak
kerana dirimu permata bagi mereka
dan mereka adalah syurga bagimu...

Anak...
Kebahagian mereka bukan dari wang ringgitmu
kegembiraan dan senyuman yang terlakar di wajah bukan juga dari kekayaan hartamu tetapi keluhuran budimu, ketaqwaanmu dalam menempuh liku-liku hidup ini. Apa yang mereka harapakan adalah soleh dan solehahnya kamu agar dapat sedekahkan mereka bacaan yasin saat nafas terhenti.



Duhai anak...

Dikaulah pelita hidup mereka
dirimulah warna hidupnya
buatlah mereka tersenyum
izinkan mereka damai anak... Izinkanlah...


Anak...
Ibumu menantimu
selagi matanya belum terpejam
mohonlah keampunannya anak

Ingatlah... 
Tiada keredhaan ALLAH melainkan keredhaan ibu bapamu anak...


Anak... dengarlah kata hati ibumu ini...



"Anakku... andai ibu pernah salah, maafkan ibumu ini anak... selama hayat ibu tidaklah termampu bagi ibu memberikan kemewahan untuk anak ibu yang satu ini. Anakku... ibu hanya ada kasih sayang sahaja untukmu anak... ibu tidak mengharapkan apa-apa darimu anak... ibu tidak mahukan kekayaanmu itu, ibu hanya mahu sentuhan dan belaian manja dari anak ibu sendiri. Hari ini ibu berada di rumah orang tua... mereka di sini juga rindukan anak-anak mereka sebagaimana ibu rindukan kamu nak... Anak mereka tidak mahukan mereka. Oleh itu anak mereka campakkan mereka di sini. Ibu juga ada di sini nak. Tapi ibu tahu anak ibu tak campak ibu di sini. Ibu yang datang sendiri ke sini kerana ibu tinggal sendiri di rumah. Ibu tak ada kawan nak berbicara. Sekarang ibu tak menangis wahai anakku. Ibu tak akan menangis lagi sebabnya ibu sudah ada kawan di sini. Tapi anakku, berkali-kali ibu janji pada diri ibu bahawa ibu tidak akan menangis tapi bila kawan ibu bercerita tentang anaknya, ibu turut menangis kerana ibu juga seorang ibu.... anakku yang ibu sayang. Andai mata ini terpejam, ibu tidak akan melihat lagi dunia ini. Ibu telah tinggalkan zuriat ibu yang telah berjaya dalam hidup. Ibu bangga anakku. Kerana ada orang cakap pada ibu anak ibu berada di luar negara. Dalam tidak sedar rupanya ibu sudah ada dua orang cucu. Mesti comelkan macam anak ibu juga. Tidak mengapalah anakku. Ibu selalu mendoakan anak ibu selalu bahagia. Biarlah ibu di sini menderita asalkan anak ibu tidak. Anakku... hanya satu pesan ibu, jangan pernah tinggalkan apa yang disuruh dan tinggalkanlah apa yang ditegah. Anakku... andai ada kesempatan izinkanlah ibu menatap wajahmu itu buat kali terakhir setelah sekian lama ibu mengharapkannya..." rintihan si ibu.


P/S: (Miqael Arshad) Maaf... diri ini tidak mampu lagi menulis sebegini rupa kerana sebak di dalam dada. Penulis bertandang ke rumah orang-orang tua di sebuah tempat. Sayu rasa hati melihat wajah-wajah mereka. Ya ALLAH... berikan aku kekuatan untuk terus menatap wajah mereka ini. Penulis mengalirkan air mata sebak ini ikhlas kerana ALLAH setelah mendengar sendiri cerita mereka. Mereka hidup dalam doa dan harapan yang hanya tingga sekelumit sahaja. Ya ALLAH... Kau ampunilah dosa anak-anak mereka ini... Ibumu yang hidup di usia emas ini hanya membilang harinya sahaja wahai anak sebelum menutup mata buat selama-lamanya. Sesungguhnya Maha Berat seksaan dari ALLAH SWT kepada anak-anak yang menderhakai ibu dan bapa. Renung-renungkanlah sekiranya anda sayangkan ibu bapa anda keluarlah dari lingkungan dosa dan noda permainan duniawi.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.