Lihatlah betapa pantasnya masa beredar. Tanpa kita sedar tahun baru bakal menjelang tiba. Maka semakin dewasalah diri kita. Selamat tinggal tahun 2010 dan selamat datang tahun 2011.
****
"Apa yang kamu inginkan di tahun baru ini?" tanya Encik Nazzam pada Haddad secara formalnya di dalam kelas.
Beberapa hari lagi tahun baru akan datang.Sudah bersedia menyambung hasrat atau membiarkan sahaja usang tanpa perubahan?
"Saya ingin melakukan yang terbaik encik. Terbaik dari segala hal dan pelajaran saya. Saya mahu meningkatkan prestasi saya," jawab Haddad yang setia memandang Encik Nazzam pensyarahnya itu.
Itulah realitinya buat Haddad azam tahun baru merupakan perkara yang baru dalam hidupnya. Azam tahun lepas telah pun tercapai iaitu untuk mendapat CGPA yang cemerlang. Kesyukuran dipanjatkan dari dalam dirinya kerana telah bersungguh-sungguh berusaha bagi meraih kejayaan.
"Kalau begitu kamu mestilah cekal tabah menghadapi liku-liku hidup ini. Nescaya hidup di tahun baru nanti lebih bererti buat kamu, Haddad," ujar Encik Nazzam sambil tersenyum manis melihat semangat pelajar itu.
Haddad remaja yang dulunya gemar bersosial. Selalu sahaja melakukan perkara yang sia-sia. Namun setelah melanjutkan pelajaran ke IPTA dia mula berubah dari hari ke hari dan kini sudah masuk tahun ke tahun. Perubahan ke arah kebaikan itulah yang mesti menjadi contoh dan ikutan.
Tinggal remaja itu sahaja di dalam dewan kuliah bersama Encik Nazzam tatkala pelajar lain sudah lama beredar. Sebelum daripada itu, sewaktu dia mahu melangkah keluar, Encik Nazzam telah memanggilnya dan meminta agar dia menunggu seketika untuk berbicara tentang azam baru.
"Saya nak tanya kamu Haddad, apa yang kamu faham tentang makna AZAM?" soal Encik Nazzam.
Haddad mendiamkan diri dan mengetap bibirnya dengan lembut sambil tertunduk cuba mentafsir akan makna A-Z-A-M tersebut.
Lama juga dia berfikir untuk menyusun ayat yang terbaik. Tidak berapa lama kemudian dia mengangkat semula kepalanya lalu memandang wajah Encik Nazzam.
"Azam adalah sebuah harapan yang mahu dikekalkan menjadi impian dan impian itu mahu direalisasikan sebagai bentuk yang membanggakan diri kita sendiri di dalam makna pencapaian cemerlang. Pendek kata azam itu adalah satu perubahan. Keazaman adalah satu nota yang amat diperlukan dalam hidup seseorang. Begitu juga dengan saya. Nota keazaman saya terpahat di lubuk hati ini dan saya memilih untuk berubah ke arah kebaikan," nyatanya.
Begitu panjang penerangan yang Haddad berikan hingga membuatkan Nazzam tersenyum. Pelajar bernama Haddad sungguh matang dalam berfikir. Nazzam mendoakan semoga suatu hari nanti Haddad akan menjadi modal insan yang cemerlang yang akan membawa perubahan seperti apa yang Haddad kandungkan dalam hasrat hantaran hati di tahun baru ini.
_____________________________________
KAMUS DEWAN EDISI KEEMPAT :
Azam : kemahuan (keinginan, cita-cita, dsb) yg sangat kuat, tujuan (yg sesungguhnya): dgn melancarkan projek-projek ini, kerajaan telah menunjukkan ~nya hendak menambah penghasilan sawah;
berazam mempunyai azam, bertujuan (dgn sesungguhnya), bercita-cita kuat (utk melakukan atau mencapai sesuatu): kerajaan ~ hendak meneruskan rancangan pembangunan;
mengazamkan mencita-citakan, mahukan (dgn sesungguhnya): utk mencapai cita-cita yg diazamkan;
keazaman kemahuan, keinginan yg sangat kuat: Perdana Menteri mengulangi ~ kerajaan utk mempertahankan kedaulatan negara.
p/s: Penerangan di atas adalah makan azam yang dipetik dalam Kamus Dewan Edisi Ke-empat.
Cerita pendek di atas saya karangi secara ringkas adalah untuk menerangkan akan erti AZAM. Untuk kita sama-sama berfikir. Untuk kita mengerti akan hakikat itu. Syukur Alhamdulillah kerana kita masih lagi diberi peluang untuk bernafas di bumi Tuhan. Merasai nikmat yang datang. Mengecapi anugerah yang termahal iaitu nyawa. Nikmat nyawa ini adalah satu erti yang besar perlu dijaga dengan sebaik-baiknya sebagai hidup kita sebagai khalifah di muka bumi ini.
Azam baru mesti diutamakan dan mesti merealisasikannya juga walau apa cara sekalipun. Biar sukar, biar sempit, biar parah namun kesungguhan mesti ditebalkan menjadi utuh dan kuat. Mungkin tahun baru ini adalah tahun yang lebih mencabar? atau mungkin juga tahun baru ini banyak dugaannya? Siapa tahu? Jadi apa yang penting di sini adalah berusaha, bertawakal dan berserah pada Sang Pencipta Alam Maya ini.
Keimanan dan ketaqwaan kita sebagai umat Islam mesti kuat dan bersatu hati agar segalanya tenang dan mendapat redha ALLAH SWT. Yakinlah bahawa hidup ini tidak mudah namun kita mesti jalankan sesuatu yang patut kita segerakan iaitu kewajipan. Kewajipan yang berat jangan pula diambil ringan, contohnya solat. Jika solat kita belum sempurna maka sempurnakanlah sebaik-baiknya agar kita akan berada dalam ketenangan dan aman.
Jika tahun yang lalu ianya dianggap tidak bermakna maka tahun yang akan datang ini usahakanlah untuk memperbanyakkan amal dan ibadah. Kata orang, esok masih ada namun adakah untuk kita? Jika esok bukan hari kita maka bagaimana pula keadaannya? Rasanya kita boleh berfikir menggunakan kewarasan akal kita yang sedia dididik dengan ilmu agama. Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)