Entri Terkini :

Cerpen : Tidak Pernah Tahu

 
            DI sebuah perhentian bas kelihatan seorang wanita sedang leka membaca novel cinta. Semantara menunggu, dia sempat membelek novel yang belum lagi habis dibaca itu. Sesekali dia menjengah jam di tangan. ‘Aihhh!! Mana bas ni lambat betul!’ Suhaila merungut sendirian.
Pagi itu dia setia menunggu bas untuk ke tempat kerja. Maklum sahajalah naik pengangkutan awam boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas namun perkara ini yang sukar diterima iaitu menunggu ketibaan bas yang terlalu lama.
Di situ dia mengeluh sendirian dan novel tersebut diletakkan di sisi. Hilang pulang modnya untuk meneruskan bacaan. Dia mengalih pandangan ke sudut lain. Mengetap lembut bibirnya tatkala terkenangkan bekas tunang sendiri. Pening dirasakannya kerana bekas teman lelaki merangkap bekas tunang itu masih lagi kerja di tempat yang sama.
Hairan dengan keadaan ini. Kenapa lelaki itu begitu tegar? Hatinya kini sarat dengan rasa menyampah terhadap bekas tunangnya. Rasa ingin berhenti kerja sahaja. Namun dalam keadaan ini dia pasti ada sebab tersendiri kenapa keadaan itu berlaku?
‘Ping! ping!’ tiba-tiba kedengaran bunyi hon membuatkan bayangan yang menari-nari di mindanya lenyap serta-merta.
Bunyi hon kereta yang telah berhenti betul-betul di depan mata dia itu amat membuatkan hatinya menggelegak sahaja. Tahap kepanasan sampai ke puncak. Berona merah wajahnya.
Suhaila buat tidak tahu. Masih mengawal perasaan. Malas dia hendak melayan orang itu. Sungguh menyakitkan hati. Sudah pasti lelaki itu ingin memujuk.
“Hai cik adik, marilah abang hantarkan. Tak sudi ke naik kereta buruk abang ni?”
“Pergilah!” balas Suhaila yang bosan dengan cara Fairuz.
Suhaila jual mahal. Dia menarik muka.
“Amboi! Amboi! cik adik manis intan payung, sekarang ni hari nak hujan, marilah abang tolong hantarkan..janganlah jual mahal, nanti tak laku.” Fairuz setia memujuk yang masih lagi berada di dalam perut kereta.
“Biarlah tak laku! Yang kau nak kisahkan kenapa? Pergilah mabuk!” tengking Suhaila yang bertambah menyampah tengok muka si badut itu.
Dalam hati dia tidak sabar-sabar berharap bas cepat datang. Dia malas tengok muka Fairuz yang selalu menganggu dia setiap kalinya dia balik kerja. ‘Lambat bas ni!! Lembap macam siput!’ desis hatinya.
Fairuz yang berada di dalam perut kereta tersengih sahaja sambil main-main mata.
“Mata kau sakit ke? Atau mata kau memang jenis macam tu? Kesian! Cacat rupanya!” perli Suhaila yang bengang dengan cara Fairuz mengenyit mata.
“Ha`ah mata aku ni tiba-tiba cacat bila terpandang wajah poyo kau yang jual mahal!”
“Siapa poyo?! Kau tu yang poyo..eee!” Rasa nak dibaling sahaja buku yang masih dipegangnya. Silap hari bulan tas tangannyajuga dibalingkan. Geram teramat sangat.
“Lelaki poyo nilah yang selalu intai kau mandi,” ujar Fairuz yang sengaja buat-buat cerita supaya Suhaila meradang.
Selagi Suhaila marah selagi itu Fairuz suka mengusik. Namun cara Fairuz sungguh keterlaluan.
“Apa?!!!! Jantan tak guna!!!!” serentak dia membaling buku yang dipegangnya ke arah Fairuz yang berada di dalam kereta. Mana boleh kena, jauh! Fairuz duduk di tempat duduk pemandu.
‘Syuuuuuuuuuuuuuuuu pup!’ body kereta Toyota Fairuz sedikit kemek akibat terkena bucu buku.
“Weii pompuan poyo nanti rosoklah kereta aku!”
“Padan muka kau!! Pergi mati kau dengan kereta kau sekali..wekk!!” Suhaila menjelir lidah.
“Okey okey! Aku pergi mati sekarang! Nanti bila aku dah tak ada..maka dah tak ada orang nak kacau hidup kau lagi, mesti kau happykan.. ? Bye!!!” bunyi macam merajuk. Lelaki keras macam Fairuz pun boleh merajuk dengan perempuan? Macam tidak percaya sahaja.
“Pergilah mangkuk!” Suhaila terus menyilang rapat tangannya.
Itulah Fairuz bekas tunang Suhaila yang tidak pernah berputus asa memujuk Suhaila dengan cara sendiri. Di dalam hati Suhaila pula dia tidak tahu sama ada masih ada sayang untuk jejaka itu setelah apa yang berlaku dulu.
Seharusnya dia percaya namun sukar untuk dia mengerti hakikat cinta yang sebenar-benarnya. Betapa dia sendiri tidak tahu tahap keluhuran lelaki yang pernah dicintainya itu.
Suhaila cukup sedar bahawa Fairuz masih inginkan dirinya. Cuma sekeping hati wanita sepertinya tidak ubah seperti menanti satu hentaman memipihkan jalur rasa hingga merobek kesan-kesan luka berdarah semula.
Dia benar-benar takut untuk meyakininya. Tidak pasti pula apakah kesudahan hidup begini. Sungguh bersimpang siur jadinya.
***
“KAU ni kenapa Su? Muka macam ayam berak kapur!” Aishah menegur setelah memerhatikan wajah Suhaila yang seperti itu.
Aishah rakan serumah Suhaila bertanya setelah melihat ekspresi wajah Suhaila sebegitu rupa. Naik hairan rasa pula. Sejak awal tadi selepas Suhaila pulang dari kerja, wajah Suhaila sarat dengan rasa tidak puas hati. Garis-garis gusar dan tidak senang terpancar dari raut wajah.
“Geram! Geram tau tak!” bentak Suhaila.
Suhaila berkerut dahi kali ini bermuncung mulut pula memandang Aishah lalu membulatkan matanya.
“Kau geram kat siapa pula ni?” Aishah menyoal pantas.
“Aku geram kat Si Fairuz mata sepet tulah…” balasnya geram hingga sanggup memaculkan ucapan sedemikian.
“Ish! Tak baik kau cakap dia macam itu, sepet-sepet mata dia pun bekas cinta hati kau juga….kau tu yang buang tebiat! Yang kau minta putus dengan dia tu dulu kenapa?!”
“Eee! jangan ungkit lagi… tolonglah”
“Malaslah aku nak layan kau ni, hari-hari gaduh dengan Fairuz tu… ada juga ex tunang macam ini? Pening aku!” Aishah mempamerkan keruhan di wajah merungut tatkala hari-hari mendengar sebab yang sama.
Aishah terus mengangkat punggung lalu masuk ke bilik, dia dah mula mengantuk, baik dia tidur sahaja. Suhaila yang masih menghadap kaca televisyen terus mencebik. Sekejap pusing ke kiri, sekejap pusing ke kanan. Serba tidak kena. Fikirannya menerawang teringatkan zaman percintaannya dengan Si Fairuz.
“Aihh tak boleh jadi! Aku malas nak ingat dia lagi, tapi dia hari-hari ganggu aku.. dia tu macam budak-budaklah!” desis dirinya sendiri. Dia kemudiannya menyisip teh yang dibancuh sendiri sampai habis.
‘Kring Kring’ telefon rumahnya berdering.
“Ahhh siapa pulakkkkk?! Ni mesti si badut ni yang telefon,” duganya dan terus bangun dari sofa merah lalu mengangkat gagang telefon.
“Hah! Hello! kau nak apa badut?!”
“Apa! Badut?? Kau cakap ayah badut ke?”
“Ehhh ayah!” Suhaila menggelabah. Dia silap orang. Jangkaannya meleset sama sekali.
***
MALUNYA dia sebab cakap macam itu tadi. Tidak fasal-fasal ayah dia pula yang jadi badut. Oleh kerana terlalu menyampah pada Fairuz, semua orang pula jadi mangsa keadaan. Apa punya oranglah. Rileks sudah.
Kali ini dia bertambah risau, ayah dia bertanya fasal Fairuz. Ayahnya belum tahu yang dia sudah putus tunang dengan Fairuz dua minggu yang lalu. Kalau ayah dia tahu habislah dia kali ini.
Mudah sungguh Suhaila meminta ikatan pertunangan antara dia dan Fairuz diputuskan tanpa pengetahuan orang tua. Suhaila tidak tahu bagaimana pula reaksi orang tua Fairuz bila mengetahuinya.
“Eh! Kau tak tidur lagi ke Su? Dah pukul berapa ni?” tiba-tiba Aishah menyoal sambil menggosok-gosok matanya.
Sengaja dia bertanya setelah melihat Suhaila termangu di situ. Di ruang tamu itu Suhaila mengeluh berat sambil matanya tertancap pada jam dinding seperti mengira detik masa-masa yang berlalu.
Kala itu Aishah tidak dapat melelapkan mata. Tekak wanita itu terasa haus. Jadi dia menapak untuk ke dapur meneguk sedikit air.
Jam di dinding sudah pukul 1 pagi. Fikiran gadis comel itu sedang bercelaru memikirkan hal itu.
“Aku tak ngantuk lagilah…” jawab Suhaila meleret.
“Tadi aku dengar ada orang telefon, siapa?”
“Ayah aku…”
“Ooo..! buat apa ayah kau telefon malam-malam? Biasanya ayah kau telefon siang-siang aje…” soal Aishah.
“Adoi aku tengah pening ni…” adu Suhaila.
Aishah mula mengerling. Suhaila pula mempamerkan wajah hambar.
“Apasal pulak? Kejap! Nanti kau sambung cerita, bagi aku masa kerana aku nak pergi minum air dulu. Tekak aku kering ni… nanti aku datang balik,” Aishah terus melangkah ke dapur untuk menghilangkan dahaga.
Sementara Aishah berada ke ruang dapur, kala ini cepat-cepat Suhaila masuk ke biliknya. Dia malas menceritakan pada Aishah di saat ini kerana hari sudah jauh malam. Dia sudah masak dengan perangai Aishah. Esok pasti dia bersungut kalau lewat pergi kerja tatkala mendengar masalahnya. Bukan sekali malah banyak kali begitulah juga.
“Cerita kau panjang sangatlah Su, tak larat telinga aku nak dengar, mata aku pun berat je…” kata Aishah sewaktu dulu. Kemudian,
“Alamakkk!!!! Dah aku dah lambat pergi kerja!! Ni semua fasal cerita kau malam tadi sampai aku tidur lambat” kata Aishah sebelum ini.
Sebab itu dia malas hendak mengadu apa-apa lagi pada Aishah ini. Baik dia cerita pada dinding rumah ke, pada kasut ke, pada anak patung beruang dia ke, atau di depan cermin ke. Cermin? Oh! Tidak!
Takut sungguh memandang cermin di tengah malam. Takut hantu bila teringat kisah orang dulu-dulu. Mitos sahaja barangkali tapi bila rasa takut menguasai minda pandang wajah sendiri pun nampak macam hantu.
Tidak berapa lama kemudian Si Aishah kembali semula ke ruang tamu untuk mendengar masalah Suhaila itu.
“Aik! Mana pulak minah ni pergi? Aku minta tunggu sekejap dia terus blah! Hampeh!” Aishah membebel sendiri.
Perlahan-lahan wanita itu melangkah meluru ke bilik Suhaila. Mahu melihat keadaan Suhaila. Kemudian Aishah cuba memulas tombol pintu bilik Suhaila. Sudah berkunci. Lalu dia mengetuk pintu pula, juga tiada respons. ‘Biarlah dia..’ desis hati Aishah hampa.
***
SEORANG wanita yang mempamerkan wajah yang garang di depan Suhaila cukup tidak berpuas hati. Bercekak pinggang dan merenung tajam.
“SAYA nak awak siapkan kerja tu dalam minggu ni juga!” tegas pengurusnya benama Liyana.
Suhaila tunduk hampa. Proposal itu belum dapat disiapkan lagi. Tugasan yang diamanahkan itu masih terbengkalai. Suhaila tidak tahu mahu menjawab apa lagi. Mungkin salahnya namun tidak dapatkah dirinya diberi peluang? Perlukah marah-marah begini? Keluh hati Suhaila.
“Awak boleh keluar sekarang!” arah Liyana salam tegas.
Jantungnya berdetak kencang mahu sahaja melawan tetapi sudah salahnya apa boleh dia buat. Dengan perlahan-lahan Suhaila melangkah keluar dari bilik pengurusnya itu. Sebaik sahaja pintu dibuka Fairuz sudah tercegat di depannya. Membulat mata Suhaila dengan penuh rasa menyampah.
“Kena marah ke?” pertanyaan Fairuz berbaur sindirian telah membuatkan dia bertindak spontan dengan fail yang berada di tangannya lalu dihempuk ke bahu Fairuz.
‘Paaapp’
“Aduh sakit!” Fairuz mengadu.
“Diamlah mangkuk!” tengking Suhaila.
“Kecian kena marah rupanya..!” bertambah sakit hati Suhaila dengan sikap Fairuz. Mahu sahaja dia berhenti kerja di Syarikat Bumi Indah Enterprise. Ini secepat mungkin. Malas dia hendak tengok muka si Fairuz ini lagi.
“Wekkk!”
“Wekkk!” Fairuz ikut-ikut jelir.
“Eeee geramnya aku!”
“Eeee geramnya aku!” Fairuz ikut-ikut cakap Suhaila.
Tindakan Fairuz telah mengudang amarah Suhaila yang menbuak-buak. Lantas fail yang tadinya itu digunakan lagi untuk menghempuk bahu Fairuz berulang kali melepaskan geram.
“Ambik kau! Ambik kau!”
“Aduh! Aduh! Aduh! Sakitlahhh”
“Padan muka!” Suhaila terus meluru laju meninggalkan fairuz yang tersengih-sengih.
‘Semakin kau marah semakin cantik kau Suhaila’ bisik hati Fairuz.
***
EKOR mata Suhaila tertumpu pada dua insan yang sedang bersuap-suapan. Fairuz dan pengurus mereka, Liyana. Naik meluat rasanya. Makanan yang berada di atas meja dikuis kuat sampai tertumpah-tumpah butir nasi kerana menahan geram. Lalu dia segera meninggalkan ‘food court’ itu dengan perasaan penuh rasa cemburu dan menyampah.
Di kembali ke ruang pejabatnya dengan menghempuk-hempuk fail di atas meja. Perbuatannya itu membuatkan Rahman tersedak-sedak yang sedang menikmati nasi yang dibekalkan dari rumah.
“Su kau marah-marah ni kenapa?”
“Diamlah Man..”
“Lor, aku tanya je pun kena marah..”
“Eeee…geram geram geram!”
“Kau geram kat aku sebab makan sorang-sorang ke, Su?”
“Wei aku tak inginlah makan nasi kau tu, aku dah makan! Aku tengah geram kat…”
“Fairuz? Haha!” Rahman menduga tepat dan dia terus ketawa dengan butir nasi masih melekat di bibirnya. Lepas itu Rahman tersedak lagi lantas segera dicapai botol air mineral lau diteguk sampai habis air mineral itu.
“Padan muka! Gelak lagi!” balas Suhaila sambil membulat mata dan seterusnya  dia memandang fail-fail yang bersepah di atas mejanya.
“Aku tahu kau makan hati… siapa suruh kau minta putus dengan Fairuz. Elok-elok bertunang lepas tu putus. Kalau aku dah putus tunang aku dah cari kerja lain. Aku tak akan kerja kat sini lagi… buat sakit hati aje tengok muka orang yang memang sedia menyakitkan hati, tapi kau masih lagi kat sini… pelik,” sindir Rahman dengan muka agak kemerahan menahan rasa tersedak tadi.
“Banyak cakap pula kau kan Man? Aku sayangkan kerja aku ni. Zaman sekarang ni susah nak dapat kerja kau tau tak?”
Alasan sahaja semua itu. Suhaila masih sayang. Di hati Suhaila sebenarnya masih ada cinta. Dia sahaja yang tidak mahu percaya. Perasaannya yang cemburu buta itu membuatkan dia bagai hilang punca.
“Sayangkan kerja ke atau masih sayangkan Fairuz…?” ujar Rahman meleret sambil menduga lagi.
“Mana ada! Aku sayangkan kerja aku ni,”
“Aih… takkan orang yang sayangkan kerja hari-hari boleh kena marah dengan bos?” petah Rahman mengalah perempuan, banyak pula cakapnya.
“Aku kena marah kerana aku yang buat salah! Kau ni kenapa Man? Banyak pulak spekulasinya? Ke kau nak makan buku lima aku ni?”
Rahman menekup mulutnya.
“Aku dah kenyang… hehe,”
“Dah tu kenapa banyak cakap?”
“Yelah Su, aku peliklah. Kalau kau sayangkan kerja kau, bermakna kau akan berikan komitmen yang tinggi. Kau memang cukup bagus dalam kerja. Adakah kau buat salah ke atau memang sengaja dimarahi? maklumlah, bos kita tu syok kat bekas tunang kau tu…” kata-kata Rahman telah membuatkan Suhaila tersentap.
“Man!! Apa kau cakap?” wajah Suhaila berona merah. Kali ini merah padam.
Cepat-cepat Rahman buat-buat sibuk. Mulut cakap main lepas sahaja. Buat hati Suhaila panas semacam sahaja bila dikaitkan lagi dengan bos.
Rupanya dalam hati Suhaila ada bersisa rasa sayang pada bekas tunangnya itu. Dalam masa yang sama fikirannya menerawang teringatkan kata-kata ayahnya semalam.
“Ayah nak kau segerakan pernikahan kau dengan Fairuz tu. Ayah teringin nak timang cucu, mak kau pun harapkan macam tu juga, tak elok tunggu lama-lama, sekarang ni kau dengan dia dah satu tahun diikat pertunangan, dah tiba masanya untuk kamu berdua menikah. Nak tunggu berapa lama lagi Su?” kata si ayah.
Pertanyaan ayahnya terlalu sukar untuk dijawab. Ayahnya masih belum mengetahui bahawasanya Suhaila dan Fairuz telah putus tunang.
***
 “KAU apa cerita malam tadi, aku tertanya-tanya apa masalah kau, aku nak tahu apa benda yang ayah kau cakap tu..” Aishah sibuk-sibuk pula ingin ambil tahu. Semalam ditinggalkan begitu sahaja bila diminta tunggu.
“Aku mengantuk pulak malam tadi, jadi aku terus masuk tidur,” Suhaila memberi alasan.
“Kan aku suruh kau tunggu…”
“Malaslah, aku malas nak susah-susahkan kau..”
“Susah ke?”
“Selalu..”
“Kalau kau rasa macam tu tak apalah sebab kau memang hari-hari menyusahkan aku. Tu! Pi cuci pinggan kat dapur, dari semalam tak dibasuh lagi.”
“Ala, kejap lagilah..” tangguh Suhaila.
“Kejap-kejap! sampai berlipas dan bersemut baru kau nak cuci? Hari-hari asyik aku je yang kena kemaskan dapur, kau sejak putus dengan Fairuz dah jadi pemalas pulak, apa nak jadilah dengan kau ni?”
Aishah membebel sahaja.
“Itu yang aku tengah runsing ni..” Suhaila menggaru kepalanya.
“Bukan kau patut runsing! Tapi aku ni hah! Hari-hari buat kerja rumah boleh patah tangan aku.” balas Aishah rakan serumahnya.
“Kau ni berkira dengan aku,”
“Bukan berkira tapi kenalah bertolak ansur…tapi aku rasa kau susah nak bertolak ansur Su, sebabnya masa kau dengan Fairuz dulu pun tak pernah kau nak bertolak ansur dengan dia…” ujar Aishah.
Suhaila menjuih bibirnya. Sebenarnya ucapan Aishah itu menusuk ke relung hatinya. Benar-benar terasa. Mungkin benar kata Aishah namun keegoannya menggunung tinggi.
“Ni yang aku tak nak dengar ni, kalau kau nak membebel aku pasal benda lain aku tak kisah sangat, tapi jangan sebut-sebut nama si badut sarkas tu lagi! Aku malas nak dengar!” Suhaila mula angin.
Aishah cukup tidak berkenan dengan sikap egois Suhaila yang sudah tahap melampau hingga selalu sahaja melenting.
“Tapi apa yang berlaku pada kau sekarang ni adalah kesan dari hubungan antara kau dan dia tu. Kau tak nampak ke? Kau jadi pemalas. Rumah ni langsung tak terurus. Tempat tidur kau sendiri pun tak terjaga. Pernah juga aku usha, perhh bersepah macam sarang tikus. Kita ni perempuan Su, kena jadi pembersih.” ceramah Aishah.
Suhaila hanya memuncungkan mulut. Dia berpaling dari arah lain. Kemudian keluhan panjang Aisah menjengah di cuping telinganya. Lantas dia menoleh dam melihat Aishah menggeleng sahaja.
“Okey! Aku pergi kemaskan sekarang! Kau jangan nak bising-bising lagi, mulai sekarang biar aku yang kemaskan dapur tu!” bentak Suhaila macam tidak ikhlas saja.
“Pantang aku tegur sikit mula buat muka macam pencacai angkat n****,” balas Aishah sambil memandang Suhaila berlalu deras ke ruang dapur.
Tidak lama kemudian.
“kepangggh!” bunyi pinggan pecah.
Aishah deras menjengah ke dapur.
“Ya Allah Suhaila! Macam mana kau cuci pinggan mangkuk ni, habis pecah!” ujar Aishah dengan bercekak pinggang.
“Errr” Suhaila tergagap-gagap sambil menoleh ke Aishah.
“Apa yang kau tengah fikirkan ni?”
Sorry Cah, aku tak sengaja. Nanti aku beli baru…” balas Suhaila.
“Aku tak kisah fasal pinggan yang pecah ni tapi aku kisah apa yang kau tengah fikirkan sampai boleh pecah pinggan ni, kalau kau masih fikirkan  Fairuz tu aku nasihatkan kau lebih baik kau mintak cuti beberapa hari balik ke kampung dulu tenangkan fikiran.” Usul Aishah sambil menggosok belakang Suhaila.
“Tak boleh Cah, nanti ayah aku tanyakan soal nikah… sebenarnya ayah aku tak tahu aku dah putuskan pertunangan dengan Fairuz tu,” sorotan mata Suhaila begitu hambar.
“Pulak dah! Habis takkan kau nak senyap je? lambat laun nanti ayah kau tahu juga,” balas Aishah.
“Aku kalau boleh tak nak ayah aku tahu, tapi dia nak juga aku menikah dengan Si Fairuz tu..Apa aku nak buat ni?” soal Suhaila yang kebingungan dengan keputusan yang telah dibuatnya iaitu memutuskan pertunangan dengan Fairuz.
“Habis tu mak ayah Fairuz tahu tak?”
“Aku pun mintak dia rahsiakan,”
Siap boleh minta-minta lagi si Fairuz rahsiakan perkara itu. Pelik tanpa sebab kukuh hendak putus tunang. Alasan utama pasti cemburu. Fairuz pula menurut sahaja. Masa Suhaila minta putus dulu pun jejaki itu biasa sahaja langsung tidak terperanjat seperti tiada berperasaan malah selepas itu sering kali menyakitkan hati Suhaila. Melampau-lampua jadinya.
“Pulak! Pelik lah korang berdua ni..” kata Aishah sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
***
SUDAH seminggu masa yang diperuntukkan untuknya menyiapkan proposal yang telah diarah oleh Liyana mesti diserahkan hari ini. Selewat-lewatnya pagi ini juga. Habis dia kali ini, belum beres lagi. Tinggal sedikit sahaja. Awal-awal pagi dia sudah datang kerja luar dar waktu biasa. Bertungkus-lumus untuk disiapkan juga.
“Eh minah sengat! Awal pula kau datang pagi ni?” Tiba-tiba dia dikejutkan dengan sergahan Fairuz.
Masa bercinta semanis kurma berbahasa saya dan awak. Kini sudah beraku engkau pula. Bukan senang membohongi hati sendiri meskipun nampak seperti hipokrit sahaja.
Mendidih darah Suhaila bila melihat muka si badut sarkas itu sedang berdiri di depannya. Sudahlah dia sedang kelam kabut, disapa pula dengan orang yang dia paling menyampah di dalam dunia ini. Aduh! Bertambah panas.
Suhaila hanya hanya sempat menjeling. Dia terus menyambung kerjanya dengan tergesa-gesa. Kalau tidak Liyana mengamuk. Bila sebut mengenai Liyana, Suhaila sebenarnya berang tapi dikawal sahaja perasaannya.
“Ooo! Tengah siapkan kerja bos rupanya…keciannya!” sindir Fairuz.
“Hei badut! Kau tak cuci stoking ke hah? Bau hapak! Pergi dari sini tak larat hidung aku nak hidu bau busuk!” Suhaila membalas sindiran Fairuz.
“Oo busuk ya…! Tak kurang dengan bau ketiak kau tu, lagi busuk! Aduhhh! gatalnya hidung aku..” balas Fairuz pula yang sengaja menggosok-gosok hidungnya sendiri.
“Hidung kau tu gatal sebab kau penghidap resdung, tak lama lagi hidung kau akan rompong! Pergi! Jangan kacau aku tengah buat kerja ni!” Suhaila menghalau Fairuz dengan menguis-nguis tangannya.
“Aku tak mahu pergi, kalau aku pergi nanti kau rindukan aku pulak..!”
“Siapa nak rindu kau! Lebih baik aku rindukan kucing aku kat rumah tu dari rindu orang macam kau!” balas Suhaila sambil mengkerlong matanya.
Fairuz mengangkat kening tersenyum sinis. Jejaka tampan berkulit cerah titu tidak hairan langsung dengan ucapan Suhaila malah memandang dengan penuh rasa kagum.
“Iye ke kau tak rindu aku? Tapi hari itu aku nampak kau jeling-jeling je masa aku tengah makan bersuap dengan Liyana…kau cemburu ye..?” ujar Fairuz yang sengaja membuat Suhaila cemburukan dia tempohari.
“Lantak kau lah kau nak makan bersuap ke?! Kau nak makan sampai muntah darah ke, aku peduli apa?!” tengking Suhaila dengan muka merah padam.
Okey! Okey! Kau tak peduli! ye aku memang dah tahu kau tak akan pernah pedulikan aku sampai aku mati pun kan?” Air muka Suhaila terus berubah tatkala Fairuz berkata begitu namun hatinya tetap juga berdegil.
Fairuz terus melangkah pergi meninggalkan Suhaila dengan wajah hambar. Sedangkan tadi dia sengaja mengusik tetapi dia sendiri yang pedih. Pedih membawa duka.
***
AKHIRNYA proposal itu dapat juga disiapkan. Lalu dia melangkah ke pejabat Liyana. Sebaik pintu diketuk satu suara yang meminta masuk telah jengah ke telinganya. Lalu tombol pintu dipulas dan Suhaila terus masuk dengan perasaan yang berdebar-debar.
“Selamat sejahtera bos,” Suhaila menegur.
`“Hah! Macam mana dengan tugas yang saya berikan pada awak? Sudah beres?”
“Sudah bos…”
“Bawa sini,” Suhaila melangkah perlahan mendekati Liyana.
Setibanya di hadapan dia terus menghulurkan proposal tersebut tanpa dipelawa duduk oleh Liyana.
Liyana membelek-belek setiap helaian dokumen itu. Anak mata meneliti satu persatu. Tiba-tiba Suhaila terperanjat apabila proposal tersebut dihempas kuat di atas meja. Terpisat-pisat jadinya tatkala memandang wajah Liyana berubah merah mahu marah-marah.
Sudah pasti Suhaila akan dimarahi lagi.
“Apa ni?! Saya suruh awak siapkan proposal untuk tender jahitan baju tu! Bukan karangan budak sekolah rendah macam ni! Awak ni tak tahu buat kerja ke?!” tengking Liyana.
Tersentak hatinya. Terkedu pula nafasnya. Suhaila terbungkam, tunduk membisu sebaik sahaja ditengking begitu. Sejak Liyana ambil alih syarikat ini, dirinya sering menjadi sasaran. Sasaran untuk ditengking oleh Liyana.
Sikap Liyana tidak seperti Encik Mustafar yang baik hati serta pandai menjaga hati setiap pekerja. Semenjak Liyana menggantikan tugas Encik Mustafar, perempuan ini menggeletis sahaja.  Liyana menggantinya tugas si ayah.
 Suhaila cukup harian hanya dia sahaja yang selalu dimarahi oleh Liyana. Kenapa begitu? Kala ini hatinya panas dan sarat dengan rasa menyampah. Rasa gugup juga singgah di relung hatinya. Segala-galanya berkecamuk.
“B**lol! B*ol! Belajar tinggi-tinggi tapi ini pun tak boleh buat!” semakin menjadi-jadi marah Liyana terhadap Suhaila. Kesalahan yang begitu kecil sengaja diperbesar-besarkan. Rahman yang mendengar suara Liyana yang sedang marah-marah itu terus mengintai dari celah-celah dinding kaca.
Sebelum ini tidak pernah dia mendengar Suhaila dimarahi dengan begitu teruk sekali. Siap dengan sumpah seranahnya lagi.
“Kau boleh marah aku tapi kau jangan suka-suka hati maki aku dengan perkataan-perkataan yang tak senonoh. Sia-sia sahaja Tuah Mustafar hantar kau belajar kat luar negeri tapi apa yang dia dapat? Dia dapat seorang anak perempuan yang suka memusnahkan hubungan orang lain!!”
“Apa kau cakap??! Kurang ajar! Aku bos kau! Aku yang bayar gaji kau! Kau lawan cakap aku kenapa?”
“Aku tak ingin bekerja dengan orang macam kau, Liyana! Selama ni kau sengaja marah-marah aku sebab kau sukakan Fairuz! Kalau kau nak dia! Kau teruskan! Aku dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan! Kau Faham!” Suhaila sudah hilang sabar. Dia sudah menduga, Liyana berasa tergugat bila Fairuz masih mengejar cinta Suhaila.
“Kau boleh berambus!!” bentak Liyana merenung tajam ke arah Suhaila.
“Memang aku nak berambus dari sini! Aku dah muak tengok muka kau yang tak sedar diuntung, bersenang-senang dengan harta Tuan Mustafar!”
“Aku anak dia! Aku punya suka! Kau siapa? Kau hanya setiausaha yang tidak tahu nak bekerja.! Berambus kau! Nah duit gaji kau!” Lalu dilemparkan duit tepat ke arah muka Suhaila.
Duit yang berteraburan itu tidak sedikit pun dikutip oleh Suhaila, dia sungguh berasa terhina dengan sikap Liyana. Segala yang berlaku telah diintai oleh Rahman. Sebaik sahaja Suhaila melangkah tergesa untuk keluar, Rahman cepat-cepat kembali ke meja.
Ekor mata Rahman tidak kalih dari terus memandang Suhaila yang tersera-sera mengemas barang-barangnya di atas meja.
***
“MAN! Mana Su?” soal Fairuz yang baru sahaja keluar dari pejabatnya untuk berjumpa dengan Suhaila. Dia mahu melamar kembali cinta hatinya. Dia tidak akan mengulangi kesilapan yang dulu.
Hati Fairuz sebenarnya tidak tahan menanggung rindu. Dia sudah tidak mampu lagi dengan keadaan ini berterusan. Sebentuk cincin belah rotan ingin disarungkan semula ke jari manis Suhaila. Dia tahu bahawa Suhaila memang panas baran orangnya tetapi dia benar-benar sayang dan cintakan Suhaila meskipun wanita itu meminta putus dengannya.
Fairuz cukup sedar kasih sayang dan cinta itu tidak boleh dibuat main-main kerana ia melibatkan soal hati. Dia tidak mahu lagi menggores hati cintanya itu.
“Su baru sahaja berhenti kerja,” balas Rahman.
“Kenapa?!” Fairuz menyoal pantas.
“Bos tengking dia”
“Sebab apa?”
“Sebab proposal” kata Rahman.
Fairuz dapat menggambarkan apa yang sudah berlaku. Dia tahu hati Suhaila sudah lama membengkak. Berkerut dahi Fairuz berasa bimbang akan Suhaila.
“Hanya itu sebab itu Suhaila berhenti kerja?” Fairuz menyoal lagi mahukan kepastian.
Dia tahu mungkin Rahman tahu sesuatu.
“Err…tak….”
“Habis tu?”
Fairuz bersungguh-sungguh ingin tahu. Dia tidak mahu Suhaila berhenti kerja. Tanpa melihat wajah Suhaila di pejabat walau sehari hatinya tidak akan gembira. Hatinya tidak akan bahagia. Biarpun sikap Suhaila itu adalah terburu-buru namun bagi Fairuz, Suhaila cukup bermakna dalam hidupnya. Dia hanya mahukan Suhaila seorang sahaja.
“Semuanya sebab kau,” kata Rahman itu amat mengejutkan Fairuz.
Tanpa berlengah lagi dia terus ke mengejar Suhaila. Dia tidak mahu kehilangan kekasih hatinya. Biarpun sering bertengkar namun di hati masih ada sayang, masih ada cinta. Meskipun Suhaila mendesak supaya pertunangan ini diputuskan tetapi hatinya tidak rela dan hanya Suhaila sahaja yang dipujanya.
Cepat kaki Fairuz melangkah. Dia menoleh kira dan kanan mencari kelibat Suhaila.Telefon bimbit Suhaila tidak dapat dihubungi. Suhaila sengaja mematikan telefon.
Di satu sudut dia terpandang kelibat Suhaila yang sedang membawa barang-barangnya bersama. Suhaila sedang meyeberangi jalan. Dengan pantas dia mengejar. Mata Fairuz kemudiannya terpandang sebuah kereta Proton Saga dipandu laju seperti tidak menyedari Suhaila sedang menyeberangi jalan menuju ke perhentian bas.
Fairuz berlari sepantas yang boleh.
“Su!!!!!” pekik Fairuz.
Suhaila mendengar tetapi tidak sempat menoleh kerana dirinya ditolak laju ke depan. Daya tolakan itu sungguh kuat. Barang-barang yang dipegangnya jatuh. Kesan tolakan itu membuatkan dia terpelanting dan mengalami luka kecil di bahagian siku akibat bergeser pada jalan tar.
Suhaila menoleh pantas melihat jasad seorang lelaki melayang akibat dilanggar oleh kereta. Demi menyelamatkan Suhaila, Fairuz telah cedera parah. Saat ini dia sedang bermandi darah dan sedang meronta-ronta kesakitan. Bekas cincin tergolek jatuh dari tapak tangan yang dari tadi digenggam kemas. Suhaila merangkak mendapatkan Fairuz yang sudah tercedera. Darah tidak henti-henti mengalir dari kepala Fairuz. Sekujur tubuh itu tertiarap di bahu jalan.
“Fairuzzzzzz!!” Suhaila terpekik kuat.
Suhaila berusaha untuk bangun dan terus berlari ke arah Fairuz. Pantas tubuh Fairuz di tolak sekuat hati untuk dilentangkan. Kemudian Suhaila meriba kepala Fairuz yang berlumuran darah. Kereta yang telah melanggar Fairuz itu terus berlalu pantas.
“Tolongggg!!!! Tolonggg!!” Suhaila menjerit.
Sebelum orang ramai datang membantu Fairuz sempat berbisik.
“Su…ini a..adalah demi cinta Fairuz untuk Su…” ujar Fairuz dengan nafas yang tersekat-sekat. Dia cuba gagahkan tangannya untuk meraba bekas cincin itu untuk diberikan kepada Suhaila namun tidak berdaya.
“Maafkan Su..maafkan Su, tolong jangan tinggalkan Su.. sebenarnya Su cintakan Fairuz… tolonglah jangan tinggalkan Su…” air mata Suhaila berhemburan setelah mendengar kata-kata Fairuz.
Pandangan Fairuz kian kabur. Lama kelamaan kelopak mata Fairuz tertutup setelah khalimah syahadah dilafazkan perlahan.
“Tidakkkkkkkkkkkkkkkkkkkk!!!!” raung Suhaila.
Perginya sang kekasih membuatkan hati Suhaila bagaikan tersayat. Cemburu buta tidak dapat menyelesaikan masalah. Hakikat itu harus ditelan jua. Parah sekeping hati tidak terbuat lagi kerana sebuah kehilangan itu adalah selama-lamanya.
Suhaila tidak pernah tahu akan kesetiaan Fairuz selama ini. Mengapa harus cinta kalau sering kali curiga hingga membawa pada satu pengakhiran sebegini rupa? Memang ini adalah takdir maka sayangi selagi ada.
 ~Tamat~

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.