Entri Terkini :

Cerpen : Menara Gading



TAUFIK kanak-kanak yang sungguh periang. Senyumannya sungguh manis dan berseri-seri. Pendek kata dia bagus dalam menghormati orang tuanya, jujur, taat dan setia. Tidak kira sesiapa pun dia memang beradab. Siapa Taufik ni? Taufik anak yang dilahirkan cacat. Kedua-dua belah tangannya kudung. Kenapa? Kerana itu adalah ketentuan ILAHI untuk menguji keluarga Aisyah. Aisyah seorang ibu tunggal. Suaminya meninggal dunia sebelum sempat melihat Taufik dilahirkan ke dunia ini.
            Beruntung Aisyah mempunyai anak yang taat dan patuh tatkala anak-anak orang lain yang sempurna sifatnya selalu saja bersikap kurang ajar pada ibu bapa tetapi tidak pada Taufik. Dia benar-benar rajin meskipun tangannya kudung. Menolong ibunya melipat pakaian dan bermacam-macam lagi. Siapa kata budak yang kudung tangannya tidak boleh buat kerja? Taufik tidak pernah goyang kaki.
            Aisya bangga dengan Taufik walaupun hari-hari Aisyah menitiskan air mata kedukaan melihat kesusahan Taufik untuk makan dan memakai pakaian sendiri. Semua itu mesti dibantu juga. Tidak semua benda Taufik boleh buat cuma dia akan lakukan sesuatu yang mampu dia lakukan sahaja.
            Sungguh pun segalany aterbatas namun berbekalkan keazaman dan kesungguhan dia tetap mencuba. Dia masih  mahu berjaya dan dia tetap manusia. Dia juga mahu menimba ilmu seperti kanak-kanak yang lain. Dia juga bersekolah.
            Berjalan kaki sudah tentu sekali dia boleh. Berjalan dengan jarak 1 km ke sekolah tidak mematahkan semangatnya untuk belajar. Menulis dengan menggunakan mulut itulah kelebih buat Taufik kanak-kanak yang berambut lurus berkulit cerah. Wajahnya manis. Sekali senyum memang menampakan barisan giginya yang putih berseri.
            "Wei Taufik... jomlah main bola tampar..." perli budak-budak nakal yang lain sewaktu Pendidikan Jasmani.
"Hahaha," budak-budak yang lain ikut ketawa mengejek si budak cacat itu.
            Taufik senyum sahaja. Langsung tidak pedulikan kata-kata cacian seperti itu.Dia redha dan pasrah. Kecacatan ini bukanya dipinta.
            'Alhamdulillah, aku yakin Tuhan sayang aku,' detiknya dalam hati.
            Begitulah Taufik. Lengkap dengan ilmu agama yang diajar oleh Aisyah. Ibu tunggal itu tidak pernah menggagap kekurangan Taufik sebagai penghalang Aisyah mencurahkan kasih sayang yang secukupnya. Tidak sesekali si ibu membiarkan anak yang dilahirkan setelah dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari itu dikutuk, dikeji dan dihina sesuka hati oleh orang lain.
            "Adik... ibu akan pindahkan adik ke sekolah baru, adik tak perlu sekolah di situ lagi," ucap Aisya pada Taufik yang sedang melipat pakaian.
            "Kenapa adik tak dikekalkan sahaja sekolah di situ..." tanya Taufik berwajah sugul setelah ibunya menyatakan sedemikian.
            Aisyah terus teringatkan kata-kata guru besar sekolah.
            "Puan, Taufik ni budak pintar, dia pandai membaca... pandai matematik, semua sukatan pelajaran dia mampu ikuti, cuma..." Guru Besar mula menyatakan kebenaran yang berlaku.
            "Cuma apa? sebab dia cacat ke?" duga Aisyah.
            Guru besar sekolah itu diam.
            "Cikgu... walau pun dia dilahirkan cacat namun dia anak yang soleh... dia baik dia rajin," kata Aisyah memuji Taufik.
            "Saya tahu tentang itu tapi budak-budak yang lain tak dapat terima dia di sekolah ini. Saya kasihankan Taufik kerana hari-hari dia dibuli," ucap Guru Besar itu.
            "Apa peranan cikgu kalau tak halang?"
            Guru besar diam.
            "Baiklah kalau begitu saya akan berhentikan anak saya dari terus bersekolah di sini. Terima kasih cikgu, terima kasih banyak-banyak," kata Aisya hampa.
            Tiba-tiba air mata Aisya menitis deras kerana terkenangkan apa yang diucapkan oleh Guru Besar sekolah pada awal pagi tadi. Taufik memerhatikan sahaja dan dia berasa ingin bertanya.
            "Kenapa ibu menangis?"
            "Tak ada apa-apa dik, cepat siapkan lipatan tu, ibu nak suapkan adik makan ni," pinta Aisyah.
            "Ibu.... adik boleh makan sendiri lah ibu... ibu tahukan adik boleh makan sendiri... sampai bila adik nak kena makan bersuap?" ucap Taufik melarikan wajahnya. Merajuk agaknya.
            "Dah siap ke?"
            Taufik diam.
            Air mata Aisyah berlinangan jatuh berhamburan. Saat ini hujan turun dengan tiba-tiba. Taufik terus bangun dari tempat dia duduk lantas dia ke ruang dapur mengigit bekas plastik dengan mulutnya lantas terus meluru semula ke anjung rumah dan di letakkan di atas lantai kayu rumahnya. Dia mahu menadah air yang tiris dari atap rumahnya. Kalau tidak lantai rumahnya kebasahan.
            Aisyah semakin sayu. Hati bagikan tersayat melihat takdir buat si anak. Taufik adalah anugerah ILAHI yang tidak harganya yang telah dikurniakan oleh ALLAH SWT itu kepada si ibu yang bernama Aisyah yang tabah menjalani kesusahan hidup ini tanpa suami di sisi. Kanak-kanak yang berusia lapan tahun itu tersenyum sahaja melihat ibunya.
            "Tengok! adik boleh buat kerja... ibu... adik ada kerja sekolah... esok nak hantar, kalau tak siap nanti adik malu bu..." ucapTaufik.
            "Adik... esok adik tak payah pergi sekolah... ibu akan tukar adik ke sekolah lain... sekolah tu nanti ramai yang akan sayangkan adik," balas Aisyah sambil mengesat air mata dengan hujung selendangnya.
            "Ibu! adik tetap nak pergi sekolah juga! kalau adik tak sekolah macam mana adik nak jadi cikgu! adik nak jadi cikgu bila besar nanti! adik nak masuk menara gading macam kak syima anak Mak Cik Leha tu..." merayu-rayu Taufik mahu bersekolah.
            Aisyah sebak. Sayu. Semua rasa itu menikam kalbu. Sebak di dalam dada mula tersekat-sekat. Perasaan hiba bercampur bangga itu bersarang di jiwa bersama dengan semangat anak Taufik yang sungguh penyabar. Sungguh besar kuasa ALLAH. Dia Maha Mengetahui.
            'Ya ALLAH, Kau redhakanlah akan aku, kau bahagiakanlah hidup anak ku di dunia dan di akhirat... Ya ALLAH Ya Tuhanku, hanya pada engkau tempat hamba-Mu ini mengadu, kau kurniakanlah keberkatan di dalam hidupnya Ya ALLAH... amin...' Aisya mendoakan kesejahteraan buat anaknya di dalamn hati bersulam air mata.
 ****
            "HEI budak cacat! kenapa kau tak datang sekolah? Mak kau tak kasi ke?" ejek Azif anak ketua kampung.
            "Dia mana boleh sekolah... setiap kali cikgu bagi kerja sekolah mesti dia lambat hantar... dia mana ada tangan nak menulis, guna mulut je.. hahaha," tambah kawan baik Azif tega mengutuk Taufik.
            "Kau tak nak bantu dia ke Ali?" tanya Azif kepada Ali tatkala mata mereka melihat Taufik menggantungkan kerantung beg gandum pada lehernya.
            "Eee tak nak aku...! biar dia buat sendiri... ayah aku cakap, ayah dia dulu suka main perempuan, jadi tuhan balas kat anak dia jadi cacat," ucap Ali sinis.
            "Betul ke?"
            "Ya betulah, sebab ayah aku kan selalu pergi surau dan mendengar ustaz bagi tazkirah, dia tahu Tuhan akan balas setiap perbuatan yang dulu. Jadi kena pada Taufik, kasihan Taufik..." sindir Ali lagi bermulut celupar yang memang cetek ilmu agama.
            Taufik membantu ibunya membeli gandum untuk buat kuih. Taufik suka makan kuih yang ibunya buat. Memang paling sedap di dalam dunia ini. Kata-kata mereka berdua langsung tidak membuatkan cuping telinganya hangat. Dia tahu siapa ayahnya kerana ibunya pernah cakap yang ayah seorang yang sangat rajin. Ayahnya meninggal sebab peyakit jantung.
            Taufik buat tak endah sahaja. Namun dia tidak pernah bermasam muka. Bibir dia tak lekang menguntum senyum walaupun di ejek. Sungguh bersabar Taufik.
            Rakan sebaya Taufik mula mendekati Taufik.
            Budak-budak itu bertindak agresif kerana Taufik masih meneruskan langkahnya walaupun dihalang. Oleh kerana tindakan Taufik dianggap sebagai mahu melawan mereka maka beg gandum itu disentap kuat. Tersungkum Taufik rebah. Gandum terus berteraburan memutih di atas jalan merah yang tidak berturap itu.
            Tidak semena-mena Taufik menangis. Dia terus berlari meninggalkan mereka. beg gandum dibiarkan sahaja kerana sudah tidak boleh dipakai lagi.
            "Kenapa anak ibu menangis? mana gandumnya?" soal Aisyah sebaik Taufik teresak-esak menangis di anjung rumah.
            "Meraka khianat," balas Taufik.
            "Siapa?"
            "Anak ketua kampung,"
            "Astarghfirullah al`adzim..." ucap Aisyah menggeleng.
            Taufik tunduk.
            "Dah jangan menangis.. nampak buruk kalau adik menangis macam ni. Ibu suka tengok adik senyum... manis..." pujuk Aisyah.
            "Ibu..." panggil Taufik.
            Aisyah sedang meyeka air mata Taufik.
            "Ya dik..."
            "Betul ke ayah ada perempuan lain?"
            Bagaikan guruh di langit bedentum kuat setelah mendengar pertanyaan Taufik. Sedih hatinya... tidak terkata. Tiada jawapan untuk anaknya.
            “Ibu... jawablah,” pujuk Taufik sambil merenung ibunya.
            "Ayah bukan macam tu..." kata Aisya.
            "Habis mereka cakap ayah adik jahat, khianat ibu... semua tu tak betul ke ibu?" soal Taufik lagi.
            Fikiran Aisyah terus menerawang teringatkan saat arwah suaminya masih hidup.
            "Aisyah!!!! buka pintu ni cepat!!" pekik Hadiyat menggegarkan pintu rumah yang hampir hendak roboh itu.
            Aisyah yang sedang mengandungkan Taufik terus terjaga dari lena setelah dibangunkan pukul 2 pagi.
            Lena Aisyah terganggu.
            Dia melangkah deras ke arah pintu untuk membukanya.
            Sebaik sahaja pintu dibuka Aisyah terkejut melihat suaminya berlumuran darah.
            "Abang kenapa ni?"
            Pertanyaan Aisyah tidak sempat dijawab, si suami itu terus rebah kerana banyak darah yang mengalir keluar dari ubun kepala akibat dipukul dengan objek keras.
            Tidak berapa lama kemudian muncul orang-orang kampung membawa banyak senjata di tangan. Ada kayu panjang, ada parang dan botol kaca. Sungguh terkejut melihat situasi itu. Terpisat-pisat Aisyah saat itu kerana mereka buat bising di tengah malam buta begitu.
            "Laki kau buat maksiat dengan bini orang! laki kau patut mati!" ucap salah seorang dari mereka.
            "Ya! patut mati!" sampuk yang lain serentak.
            "Apa salah suami saya... betul ke apa yang kamu semua cakap?" tanya Aisyah sebak sambil meriba kepala si suami yang berlumuran darah itu.
            "Kami ada bukti!" kata mereka.
            Hakikatnya bukti yang ditunjukan mereka adalah palsu. Fitnah! semuanya angkara dengki! dengki dengan rezeki ALLAH SWT berikan kepada Hadiyat. Hadiyat diberikan tugas oleh seorang Datuk untuk menjalankan perniagaan asas tani. Peluang keemasan itu diberikan kepada suami Aisyah atas alasan Hadiyat berkebolehan. Oleh sebab itu ada insan yang dengki kepada kepada Hadiyat.
            Membuat plot jahat. Hingga menyebabkan kematian.
            Aisyah sedih... Walau pun terbukti si suami tidak bersalah namun ia masih menjadi cacian orang. Orang menganiaya Hadiyat telah pun dihukum. Paling menyedihkan suami tercinta meninggal di atas ribanya.Sehingga kini masih terbayang-bayang di mata.
            "Ibu... adik tanya... ibu diam sahaja..." suara Taufik membuatkan bayangan itu berkecai.
            Aisyah terus menoleh ke arah Taufik.
            "Semua tu memang tak benar dik... ingat dik... ALLAH sayang pada orang-orang yang bersabar, ibu yakin adik seorang yang kuat bersabar..."
            "Terima kasih ibu... adik dapat rasakan yang ALLAH sayang adik... adik nak masuk Syurga bersama ibu... paling seronok bila ibu dan adik dapat jumpa dengan Rasullullah S.A.W dan sahabat-sahabatnya nanti di syurga..." impian Taufik.
            Berjuraian air mata Aisyah. Si ibu benar-benar bersyukur kerana mendapat anak seperti Taufik di atas muka bumi ini...
 ***
            TAUFIK dipindahkan ke sekolah kanak-kanak istimewa. Dia punya kelebihan yang cukup luar biasa. Pakar dalam pengiraan matematik dan seorang yang pandai dalam sanis. Otak Taufik ligat dalam berfikir dan menyelesaikan permasalahan dalam soalan. Sepantas kilat dia mampu selesaikannya.
            Seorang budak perempuan yang sungguh comel duduk di sebelah mejanya sahaja. Sesekali budak itu tersenyum sahaja melihat Taufik yang agak malu-malu berada di sekolah yang baru. Ada di antara mereka yang buta sebelah mata dan ada juga tiada kaki. Malah ada lagi yang bernasib malang selainnya.
            Ada juga anak-anak lain yang menulis sepertinya. Menulis dengan hanya menggunakan mulut. Dia tidak keseorangan. Dia ada ramai teman.
            Guru kelas belum lagi masuk, jadi ada di antara mereka duduk diam sahaja dan ada yang bercakap-cakap. Taufik dari awal perasaan akan seorang budak perempuan ini acap kali memandangnya.
            “Assalamualaikum awak...” Taufik memberi salam.
            Budak perempuan itu mengetap bibir sahaja. Ucapan salam dari Taufik itu tidak dijawab. Bagai ada sesuatu yang menghalang. Tiba-tiba ada seorang budak perempuan lain yang buta sebelah matanya tampil di hadapan Taufik kemudian budak itu menoleh pula pada perempuan yang diberi salam oleh taufik tidak berjawab  itu.
            Taufik memerhatikan tangan budak perempuan itu bergerak-gerak. Akhirnya antara mereka saling mengangguk.
            “Awak… dia juga ucap salam perkenalan untuk awak,” kata budak perempuan yang buta sebelah mata itu.
            Maka fahamlah Taufik bahawa budak itu tidak mampu bersuara dan tidak mampu mendengar. Bahasa isyarat digunakan untuk berinteraksi sesama mereka.
            “Terima kasih, siapa namanya?” tanya Taufik.
            “Namanya Madhiah,”
            “Oo.. dan nama awak pula?”
            “Nama saya Mawadah,” kata budak perempuan itu memperkenalkan diri.
            Taufik berkenalan dengan mereka semua yang sungguh baik hati. Bermulalah kehidupan barunya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan walaupun tidak lagi berada bersama-sama mereka yang normal di sekolah lamanya dulu.
            Nafas baru bersama kawan-kawan yang baru lagi menghiburkan. Di sekolah Orang Kurang Upaya ini lebih membahagiakannya.
***
            HARI demi hari dia menjadi kebanggaan orang. Berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Air mata jernih Aisyah berganti dengan kegembiraan.
            “Haha! Jangan harap kau dapat pointer bagus dari kami. Ingat kamu mampu bersaing ke? Jangan mimpilah,”
            “Orang cacat macam kau ni sebenarnya tak layak masuk Universiti ni,” inilah ucapan yang didengarinya sejak awal-awal menjejakkan kaki.
            “Menyusahkan orang betul, kalau tak mampu nak ambil makanan sendiri suruh sahaja orang lain yang ambilkan,” bukan setakat pelajar-pelajar lain yang memarahinya malah ada juga sikap tiada keprihatinan yang ditonjolkan oleh kakak dewan makan.
            Taufik kekal bersabar. Hujan dalam hatinya kian lebat. Tiada siapa pun yang dapat menyelami akan perasaannya melainkan ALLAH yang Esa.
            “Ecah… ko tengok budak tu makan.. Eee gelilah.. seperti kucing kelaparan sahaja,”
            “Tulah.. dah hilang selera aku nak makan,”
            Deria pendengaran Taufik dapat menangkap suara umpatan yang tidak jauh dari meja tempat dia makan. Pedih menikam kalbu hingga hancur luluh perasaannya.
            Begitulah hampir setiap kalinya dia melakukan perkara pasti ada sahaja ucapan-ucapan sumbang menjengah halwa telinganya. Apa dosa Taufik hingga dia dihina begitu? Tergamak sungguh mereka memperkecilkan diri Taufik. Tidakkah mereka sedar Taufik juga mempunyai hati dan perasaan?
            Insan yang sempurna memandang serong terhadap kekurangan yang ada pada Taufik. Namun bagi Taufik itu bukan kelemahan malah membuatkan dirinya menjadi lebih tabah dan dekat dengan orang. Bagaimanalah agaknya mereka yang sempurna pancainderanya tidak pernah ingat pada ALLAH? Sejadah pun tidak pernah disentuh? Bagaimana pula dengan wuduk yang sempurna?
            Indahnya Islam kerana memberi kewajaran bagi mereka yang kurang upaya untuk mengerjakan amal solat. Amalan solat mengikut kesesuaian bagi golongan ini telah ditetapkan oleh syarak. Oleh itu Taufik tidak pernah meninggalkan solat. Ini melambangkan betapa ibadah solat itu penting dalam Agama Islam.
            Tidak Islam seseorang itu sekiranya dia tidak mengerjakan perkara yang wajib. Taufik menyedari hakikat itu.
            Sudah berada di semesta lima dia lali dengan hinaan dan cacian apabila belajar di menara gading. Ucapan itu sering kali mencuit cuping telinganya. Dengan berbekalkan kesabaran dia kuatkan semangat.
            Dalam keramaian pelajar di situ, rupa-rupanya masih adalah yang membantu. Namun orang yang menghulurkan bantuan pada Taufik selalu sahaja disindir.
            “Nak dapat pahala lebih bantu orang yang nampak tidak berguna,”
            “Hey!”
            “Tak guna!”
            “Aku bantu dengan ikhlas, kamu jangan nak hina dia,”
            Kalau orang lain yang menerima penghinaan seperti itu apa agaknya perasaan dia? Taufik kekal tabah dan berdoa agar insan yang membantu dirinya dipermudahkan segala amalan. Amin.
***
PEJAM celik akhir pembelajaran Taufik di Universiti hampir tamat. Ada di kalangan lain terlopong melihat keajaiban. Sungguh tidak disangka setiap kali peperiksaan, Taufik selalu di depan. Tidak terkejar oleh mereka.
Biarpun beribu penghinaan yang kalian lemparkan, semangat ini tidak akan punah. Harapan aku adalah ingin menggembirakan hati ibuku yang melahirkan aku di muka bumi ini. Dengan rahmat-Nya aku dapat bernafas. Dengan kasih sayang dari-Nya aku dapat bertahan. Aku kuatkan semangat ini. Aku cekalkan hati ini. Alu alihkan awan hitam yang berkilat itu ke lain arah supaya tidak lagi menghujani hatiku, kata hati Taufik.
Manusia yang benar-benar tabah. Manusia seperti Taufik begitu kuat hingga tidak lagi ditembusi oleh bahana penghinaan. Panah rasa yang menghukum jiwanya hilang dan tidak bersisa lagi. Dia yakin, manusia umpama produk yang dikeluarkan dari kilang peranakan bukan diukur dari segi luarannya tapi ditakrif dari penggunaannya. Hanya produk yang berkualiti sahaja yang layak menghuni Syurga ALLAH.
Taufik yakin ALLAH sayang padanya. ALLAH Maha Mengasihani. Diberikan kelebihan dengan kepintaran dalam berfikir. Membuat telahan yang tepat dan menelaah setiap inci sebab dan akibat dalam melakukan sesuatu.
Kini, setelah bertungkus-lumus, Taufik menerima segulung ijazah yang bermakna dalam hidupnya. Menjadi perkara yang amat menakjubkan. Sungguh terlalu istimewa insan yang bernama Taufik yang kini sudah pun besar panjang.
            Tidak beberapa lama kemudian.... anak pintar itu sering keluar di dada-dada akhbar. Banyak formula-formula baru diperkenalkannya dalam dunia matematik. Rezeki ALLAH. Akhirnya Taufik bergelar professor dalam bidang pakar matematik dan motivasi. Berlipat kali ganti rezeki datang kepadanya. Hidup Aisyah kini senang dan terharu serta sentiasa memuji ALLAH.
            Di hari tua Aisyah penuh bermakna tatkala dapat melihat Taufik sudah berjaya. Namun ALLAH lebih menyayangi Aisyah... Aisyah pergi meninggalkan dunia akibat radang paru-paru. Namun si ibu berbangga kerana meninggalkan seorang anak yang soleh. Anak yang akan mendoakan ibu dan bapa di alam lain.
            Tiada harta yang lebih bernilai untuk si ibu melainkan doa anak-anaknya yang solah. Tiada harta yang dapat dibawa ke akhirat. Hanya amalan sahaja.
 ***
            DI situ dia bersila. Dia tidak dapat menadah tangan namun dia masih piunya hati. Dia berdoa di dalam hati selepas membacakan Yasin buat ibunya yang kini berada di liang lahad. Dia cukup sedar lambat laun setiap insan yang bernafas pasti kembali kepada ALLAH.
Ibu...


terima kasih ibu...


terima kasih kerana melahirkan aku ke dunia ini...


aku jadi kenal dengan sikap manusia


aku jadi tahu karenah mereka ibu...



Ibu...


kasih sayang yang kau hadiahkan itu


akan aku taburkan dipusaramu dengan bacaan Yasin dan doa


akan aku pastikan setiap malam adalah indah bagimu kerana anakmu ini takutkan dosa...


tidak akan aku kirimkan dosa buatmu ibu...



Ya Allah...


damaikanlah ibuku....


luaskanlah pusaranya....


terangilah kegelapan di dalamnya,



Ya ALLAH....


Aku bersyukur pada-Mu Tuhan...


kerana dengan kacacatan ini...


aku sedar akan kebesaran-Mu Tuhan...


Amin... Amin... Ya Rabbi `Alamin
 ***
            TAUFIK bersyukur di usia empat puluh lima tahun ini, dia mampu berumah tangga dan mempunyai seorang isteri yang cukup cantik di matanya. Seorang isteri bernama Madhiah yang pekak dan bisu itu begitu disayangi olehnya. Taufik mencintai Madhiah semenjak di bangku sekolah OKU lagi.
            Berkomunikasi menggunakan pen dan kertas dan kadang kala menggunakan bahasa isyarat begitu membahagiakan. Perkahwinan yang dibina itu sudah mencapai tiga belas tahun. Andainya ibunya masih hidup pasti ibunya bahagia melihat dia sudah berumah tangga dan dikurniakan cahaya mata kembar seiras yang cukup sifat. Itulah kebesaran ALLAH SWT.
             Sayang… abang sayang sangat pada Yah. Abang harap cinta kita kekal hingga hujung nyawa. Percayalah hanya Yah seorang sahaja yang abang cintai. Kita harungi liku-liku hidup ini bersama-sama ya Yah?
         
Dibalas pula oleh Madhiah di atas sekeping kertas yang sama.
     Abang yang Yah cintai selalu. ALLAH SWT itu sentiasa ada bersama-sama dengan orang yang tabah dan sabar. Yah yakin abang kuat. Yah juga bertambah kuat kerana semangat abang ada bersama Yah. Yah bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang begitu penyayang yang tidak mungkin orang sempurna dapat lakukan.
            Demikianlah kisah insan yang kurang upaya. Di situ kita dapat melihat sejauh mana kekuasaan ALLAH. Bersama-samalah kita menilainya. Selami hatinya dan fahami apa impiannya. Ukurlah diri kita adakah hati kita sempurna mereka?
Taufik benar-benar bersyukur....
            ~tamat~

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.