Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 23)

MATA Adam Mursyid terpekur pada atap rumahnya. Lengan tangan kanannya pula diletakkan di atas dahi sementara menelaah apa yang akan berlaku seterusnya. Kata-kata ibunya tadi telah menyedarkan dirinya betapa ibunya itu sebenarnya kesunyian. Begitu juga dengan dirinya yang sedang kesepian tatkala ditinggalkan Irwandi dulu. Kala ini juga kesepian itu kian menusuk kalbunya.

Sekejap dia pusing ke kanan dan sekejap dia pusing ke kiri. Dia tidak selesa dengan keadaan ini. Maka dia terus bangun dari katil di mana dia sedang bermalas-malasan tadi ke tingkap biliknya. Dia sudah terbiasa seandainya jiwanya beronak begitu sudah pasti dia akan merenung ke dada langit.

‘Wan.. seharusnya awak tidak pergi tinggalkan saya. Cuba lihat ke dalam hati saya kala ini yang sedang memberontak untuk mencarimu di Kuala Lumpur. Tidak tahukah awak betapa sakitnya hati ini kerana selalu merindui awak meskipun awak tidak pernah menunaikan janji-janji awak itu. Wan, mak saya akan dijodohkan dengan Cikgu Hasrudi tidak lama lagi. Saya telah merelakannya walaupun ia sebenarnya terlalu sukar bagi saya membiarkannya namun tidak ada gunanya untuk saya terus menghalangnya. Lebih baik saya redha.’ Adam bermonolog dengan hatinya sendiri untuk menceritakan prihal ini kepada sang bintang di dada langit itu untuk ia sampaikan kepada Irwandi yang berada entah di mana saat ini.

Adam sendiri tidak tahu Irwandi sihat atau pun tidak kerana tiada langsung khabar berita itu. Dia mengeluh hampa.

Dalam keadaan ini rasanya lebih baik dia menumpukan perhatian pada perancangan antara dia dan Ardila serta beberapa rakan-rakan yang lain terhadap satu majlis yang akan diadakan nanti iaitu majlis perpisahan buat pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Indah ini.

Dia segera melangkah ke meja tulisnya lantas dicapai kertas yang sarat dengan skrip. Nampaknya ada pementasan drama yang akan dilakukan oleh Adam bersama Ardila. Drama apakah yang akan dipersembahkan mereka agaknya nanti. Dari gerak bibir Adam nampak jelas dan bersungguh dia menghafal dialog.

Dialog yang terhasil dari perbincangan rahsia antara mereka. Cikgu Murni iaitu guru kelasnya juga memberi sokongan padu. Cikgu Hasrudi tidak mengetahui tentang ini, begitu juga Naqib mahupun Ejam. Pendek kata ramai yang tidak tahu mengenainya.

Adam berusaha mengalihkan perhatian untuk terus menghafal skrip itu. Dia tidak mahu kotak fikirannya dijejaskan oleh ungkapan Cikgu Hasrudi dan ibunya itu. Hal itu dialihkan buat seketika. Bagaimanalah rupa persembahannya nanti. Adakah haru biru atau tunggang langgang? Biarkan masa yang menentukannya.

***

DEBARAN makin terasa dan bergetar seluruh jiwanya. Jantungnya pula, dub dab dub dab berdetak. ‘Bla bla bla’ dia menghafal dialognya. Ekor matanya lagut merenung potret Irwandi sebagai pemberi semangat untuknya dan sengaja ditempek pada dinding bilik.

“Aduhai macam payah saja ayat ini,” gerutunya sendiri.

Lantas dia memalang ayat itu dengan pen merah. Tidak sesuai dirasakannya lalu dia membuat ayat sendiri. Pandai-pandai sahaja dia mengubah skrip asal. Ardila pasti terkejut nanti.

Tindakan Adam itu bakal menimbulkan kekeliruan. Lebih baik dia berbincang dengan Ardila terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa pindaan. Kalau tidak habislah segala yang dirancang itu tidak akan menjadi atau memang dibatalkan terus.

“Haaa…! Yang ini okey sikit,” katanya.

Bagi dirinya pasti okey tapi pada orang lain bagaimana?

***

“KENAPA kau suka-suka hati ubah?” ujar Ardila.

“Aku rasa ayat itu tidak kena langsung, apa kata kita bagi puitis sedikit seperti yang kau selalu praktis,” kata Adam yang sedang duduk di atas wakaf tepi pantai.

“Janganlah, yang asal itu sudah bagus, kalau digantikan dengan ayat yang kau ubah itu memang nampak plastiklah. Kau fikir dengan ayat macam itu boleh buat mereka ketawa ke?” sinis Ardila sambil bercekak pinggang.

Adam mencebik. Usahanya untuk membuat mereka ketawa nanti agar sukar. Ardila tidak bersetuju dengannya dan memang bercanggahan pendapat.

“Apa-apa pun kita kena tunggu orang penting dulu. Mana dia ini tidak datang lagi. Janji pukul empat tapi sekarang sudah pukul empat setengah.” gerutu Adam menunggu seseorang.

Adam menanti kemuculan seseorang. Namun kelibat orang yang ditunggu-tunggu itu belum sampai lagi. Ardila mengangkat kening. Dia tidak dimaklumkan oleh Adam akan kehadiran seseorang itu. Nampaknya ada orang lain yang akan datang membantu. Siapakah orangnya.

“Kau tunggu siapa?” Ardila menyoal.

“Kak Rozie,” balas Adam.

Ardila mencemikkan bibirnya. Dia tidak tahu siapakah gerangan Kak Rozie itu yang ditunggu oleh Adam. Kala ini Ardila melihat Adam yang selesa bersimpuh. Nampak sungguh ayu. Ardila pula selesa duduk dibuaian. Tali buaian itu diikat pada dahan pokok yang rendang. Indahnya suasana pantai yang bersih tanpa pencemaran.

“Desir pasir di padang tandus, segersang pemikiran hati, terkisahku di antara cinta yang rumit…” sungguh merdu suara Ardila hingga membuatkan Adam lagut mendengarnya.

Ardila yang kebosanan itu hanya membiarkan lidahnya mengalun kata dari baris-baris puisi lagu yang dipopularkan oleh Rossa penyanyi seberang itu.

“Sedap! Rupanya kau pandai bernyanyi,” ujar Adam.

Ardila terus tersengih setelah dipuji oleh Adam. Adam bukanlah orang pertama yang memuji dirinya. Sebelum ini kakaknya juga kata begitu. Malah disuruh oleh kakaknya itu masuk pertandingan menyanyi. Tapi bagi dirinya biarlah sekadar untuk hiburkan hati sendiri sahaja.

“Sedap ke?” soal Ardila yang merendah diri.

“Ye sedap sangat, macam bunyi suara lebah mahu bertelur,”seloroh Adam.

“Amboi mulut kau sekarang ini bukan main ya Adam. Ohh! Lupa, orang bakal dapat ayah baru, opss!” Ardila cepat-cepat memekup mulutnya.

Tapi malangnya belum sempat Adam membidas semula kata-kata Ardila itu tiba-tiba dia terdengar sesuatu yang aneh. Ardila membulatkan mata dan tidak menduga tali buaian itu terputus. Aduhai kasihannya. Ardila jatuh lalu tersungkum.

Adam cepat-cepat turun membantu Ardila.

“Kau tidak apa-apa?”

“Aduh, mujur tidak sakit sangat,” balas Ardila.

Kemudian Adam mengusap lembut pipi Ardila untuk menghapuskan kesan pasir pantai yang melekat di situ hingga tidak bersisa lagi. Tindakan itu membuatkan timbul satu rasa yang sungguh berbeza di dalam hati Ardila. Adam betul-betul mengambil berat.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.