Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 22)

“KAU patut fikirkan kebahagiaan mak kau, Adam. Sampai bila kau mahu membiarkan mak kau itu hidup sendiri?” ucap Ardila.

Aku melemparkan satu pandangan yang sungguh tidak berpuas hati terhadap tutur kata Ardila. Di kala ini angin bertuip lembut dan deruan sang ombak sungguh perlahan. Keadaan sekeliling umpama mahukan aku bertenang namun hatiku berkocak kuat.

“Adakah aku tidak pernah fikirkan kebahgiaan mak aku ke salama ini?”

“Bukan itu yang aku maksudkan,”

“Habis?”

“Cuba kau fikirkan, seandainya kau dapat peluang sambung belajar dan tempat itu terlalu jauh pula, siapa lagi yang boleh jaga mak kau kalau bukan Cikgu Hasrudi? Adakah kau tidak suka Cikgu Hasrudi jadi ayah tiri kau?” soal Ardila.

“Dila, bukannya aku tidak suka mereka berdua disatukan tapi..” kata-kataku terhenti di situ kerana sukar untuk aku jelaskan keadaan sebenar hatiku ini.

Ardila merenung ke dalam mata aku sedalam-dalamnya dan aku terus tundukkan kepala lalu bermain dengan pasir.

“Adam, kita manusia biasa, soal jodoh bukan kita yang tentukan, cuba kau lihat mak kau itu, setiap hari dia buat kuih tanpa diberikan perhatian oleh orang lain, maksud aku insan yang boleh dia menumpang kasih. Mungkin sudah tiba masanya untuk mak kau mencari pengganti ayah kau, Adam.” Ucap Ardila dengan sungguh matang.

Cara pemikiran Ardila sungguh jauh. Mungkin dia seorang perempuan. Kalaulah aku juga seperti Ardila mampu menerima dengan mudah maka tidak akan menjadi masalah untukku memberikan ruang itu. Ruang untuk mak aku bersuami baru.

Aku menoleh ke arah Ardila dengan melemparkan satu pandangan yang sarat dengan emosi. Mungkin aku perlu bertenang meskipun mak aku sedang membuka hatinya untuk orang lain.

Saat ini aku terus mengangkat punggung sambil mencapai sebiji batu dan terus turun ke persisiran pantai. Setibanya di situ aku terus mengayunkan tanganku sekuat hati untuk mencampakkan batu itu ke dalam laut. Usai itu aku menjerit sekuat hati melepaskan geram yang terbuku di hati. Ardila tidak tahu bukan itu sahaja tekanan yang aku hadapi kala ini tetapi sebenarnya emosi aku juga turut digugat oleh sebuah rindu.

Perasaan itu bercampur aduk sekali. Sungguh bernilai harga sebuah rindu ini yang telah dipersia-siakan oleh Irwandi. Irwandi juga tidak tahu akan perasaan aku saat ini. Aku bakal mempunyai ayah baru. Dia patut ada sekali menemani aku kala ini untuk berkongsi rasa ini dengannya. Nasihatnya adalah yang paling aku rindui selain dari Ardila.

Malam tadi Cikgu Hasrudi mengajak aku keluar semata-mata untuk memujukku. Ya aku dapat pertimbangkannya tetapi kenapa dia seperti membuatkan harga diriku murah kerana memegang tanganku dengan begitu lembut? Adakah itu dinamakan kasih sayang? Caranya sungguh tidak kena. Adakah sebelum ini dia memperlakukan sebegitu pada mana-mana orang? Aku bukan wanita tetapi perasaan adalah begitu. Bagaimana pula kalau dia sudah berkahwin dengan mak aku adakah perkara begitu akan berulang?

Aku membuat telahan yang bukan-bukan. Perkara yang tidak masuk dek akal pun turut aku dendangkan. Tidak jera otakku memusingkan fakta yang membelitkan kata hatiku sendiri hingga menjerut perasaanku ini. Kala ini aku seperti cicak yang mati tersepit dicelah pintu yang sedang terjelir lidah dan juga telah kudung ekornya.

Apakah aku juga seperti haiwan ternakan umpama lembu yang ditusuk hidungnya? Boleh dibawa ke sana dan ke mari? Ah! Cikgu Hasrudi memang gatal. Macam tidak ada orang lain untuk dia jadikan isteri. Tapi..
Argh! Jiwa aku berkocak kuat. Gelora di hatiku rakus menghanyutkan hayalan.

***

BUKAN mahu menyimpan rasa benci atau menyampah tetapi ia memang sedia tercalit dengan sedikit rasa terkedu itu di relung hatiku. Tiada siapa pun yang dapat memahami apa yang terpendam di jiwaku ini meski lip gloss ku itu sengaja dipulangkan kembali oleh Cikgu Hasrudi. Untuk apa dia bebuat sedemikan? Hanya mahu menampal semula rasa kecewa seawal dulu yang telah disiat-siat hebat itu demi sebuah hasrat? Hasrat mahu memiliki mak aku.

Ardila tidak henti-henti memujukku supaya berfikir secara matang. Adakah aku tidak matang? Tolong sikit. Aku boleh berfikir dan aku tahu baik buruknya. Tapi adakah sekarang aku akan tahu segala-galanya? Apa yang bakal berlaku akan mencerminkan sebuah kenyataan yang perlu ditelan? Oh! Rasanya aku perlu berdebat dengan mak aku sendiri dan patut bertanya adakah dia bersedia menduakan cinta ayah.

“Kenapa mesti mak menduakan cinta ayah?” soalku tanpa berfikir perasaan mak aku sendiri.

Kenapa bodohnya aku bertanyakan soalan sebegitu rupa sedangkan aku sering kali diingatkan oleh Ardila bahawa perlu berfikiran positif dan tidak terburu-buru dalam membuat tindakan. Apa yang paling mengecewakan aku, diriku melupakan nasihat Irwandi iaitu jangan sesekali mengguriskan hati seorang ibu. Mungkin pertanyaan aku sebentar tadi itu bakal mengguris sekeping hari seorang ibu.

Mak aku menundukkan wajah seribu dukanya. Aku tahu maksud wajah itu. Wajah yang memang tidak mahu membahagikan hati tetapi rasa hatinya pula bagaimana? Kekosongan itu perlu diisi. Aku patut tahu kalau aku tidak ada di sini menemani mak siapa lagi yang akan menjaga mak sebagaimana kata Ardila pada petang tadi.

“Mak tetap sayangkan ayah kamu, Adam.”

“Tapi kenapa mak perlu kahwin dengan Cikgu Hasrudi?” Aku sengaja bertanya.

Aku bukan tidak faham tapi memang sukar untuk aku gambarkan perasaan ini. Bukan aku tidak suka Cikgu Hasrudi menjadi ayah aku tetapi mungkin jiwa aku takutkan sesuatu. Sukar untuk ditelaah walau gunung yang tinggi didaki, walau jurang yang dalam aku turuni dan seluas lautan aku renangi. Mati akal dibuatnya. Kala ini aku menunggu kata balas dari ibuku. Aku mahukan jawapannya.

“Adam tidak akan faham,” ucap mak aku.

“Apa yang Adam tidak faham mak? Semuanya jelas, mak sengaja menduakan ayah.”

“Adam! Ayah kamu sudah tidak ada, dan jangan bebankan perasaan mak untuk mengingati semuanya. Mak tidak akan pernah melupakan ayah kamu tetapi mak tidak mampu hidup begini selamanya. Sejujurnya mak katakan bahawa hati dan perasaan mak ini telah dicuri oleh Cikgu Hasrudi!” mak aku berterus terang dengan suaranya agak tinggi.

Aku seperti dimarahi kerana membantah keinginannya. Bicara mak aku itu telah membunuh rasa ini. Sebuah rasa yang mahu menghalangnya terpaksa dihapuskan.

Ingin aku menjawabnya lagi. Kenapa dan mengapa semua ini harus terjadi. Memag ibuku memerlukan perhatian. Dan bagaimana pula dengan diriku? Adakah kasih sayang seorang ayah mampu Cikgu Hasrudi hadiahkan buat diriku?

Persoalanya mengapakah ibuku yang dipilih? Seorang pendidik yang selama ini aku memanggilnya Cikgu Hasrudi bakal dipanggil ‘Ayah’? Oh! Sukar untuk aku gambarkan di saat ini seorang duda beranak satu itu akan menjadi ayahku. Adakah anak Cikgu Hasrudi akan memanggil aku 'Abang'?

Sungguh aku tidak mengetahui. Aku bukan insan yang punya kuasa untuk menolak segala kemungkinan yang akan berlaku. Semua ini adalah ketentuan Tuhan. Namun apakah ALLAH akan memberi aku ujian yang lebih dari ini? Aku mahukan ALLAH sayangi aku. Aku mahu Dia lindungi aku tatkala orang-orang disekeliling aku sebelum ini membenci aku. Malah masih ada dan akan terus ada.

Aku takut Ya ALLAH. Aku sungguh takut sekiranya bahagia yang diharapkan akan berubah menjadi penderitaan yang berpanjangan. Bagaimana kalau aku didera? Didera oleh bakal ayah tiriku itu? Bermacam-macam bayangan menerpa dalam kotak fikiranku ini.

Sekilas aku menoleh ke arah ibuku. Ibuku nampak serius dengan apa yang diperkatakan sebentar tadi. Ingin aku mengalah nampaknya aku menyerahkan tohmahan mendadak ke atas diriku. Aku bukan menilai dari satu sudut tetapi aku menjangkakan perkara lain yang akan berlaku. Tengok sajalah diriku. Aku lelaki lembut. Mungkin dia akan malu mempunyai anak tiri sepertiku.

Bagiku, dia hanya inginkan ibu aku. Tanggapannya terhadap aku bagaimana? Mampukan dia berdepan dengan ejekan? Mengatakan anak tirinya lembut. Apa akan jadi pada diriku? Apakah dia akan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah?

Persoalan demi persoalan menghentam diriku. Sungguh perit rasanya menahan gelora yang mendatang.
Aku melepaskan keluhan berat tatkala ibuku memandang wajahku.

“Adam, mak ingin tahu, kenapa Adam marah benar mak berkahwin?” soal ibuku padaku.

Aku membalas pandangan ibu dengan hambar sekali. Wajah ibu juga berubah muram kala ini. Dengan jelas cuping telingan ini menangkap keluhan ibuku pula. Aku dan ibuku masing-masing saling mengeluh. Aku dengan caraku, ibuku dengan caranya.

Lidahku tidak mampu mengungkapkan jawapan. Ia adalah sama seawal tadi. Menduakan kasih ayahku. Itu sahaja yang berada di mindaku. Kekeruhan ini kian memuncak. Ibuku mahukan kepastian. Aku kelihatan sugul kala ini. Jantungku berdetak deras.

“Adam, mak tanya, kenapa diam?” ibuku menyoal lagi.

Aku berpaling. Tanpa disedari air mata ini mengalir. Cepat-cepat aku menyekanya. Sungguh tidak disangka sebentar tadi air mata ini telah pun bergenangan hingga tepat menitis saat wajah ini dialihkan.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.