BAB
6
HUBUNGAN mereka berdua diambil berat oleh Dato` Sri Rizal.
Bukan mahu masuk campur tetapi bimbang kalau-kalau jodoh mereka tidak panjang.
Urusan cinta milik mereka tetapi yang menentukan adalah TUHAN yang Maha Esa.
Tiada sesiapa yang dapat menolaknya. Dato` Sri Rizal mengerti tentang hal itu.
Namun yang merisaukannya adalah anak tunggalkan itu. Seorang ayah memang
terlalu masak dengan perangai anak lelakinya. Bukan senang diajak berbincang
malah suka bertindak ikut perasaan.
“Kau kena terima jodoh ni, Rash.”
“Jodoh dengan orang gaji merangkap anak angkat papa?
Berapa banyak keluarga angkat yang dia ada. Entah ubat apa yang dia bagi pada
papa sehinggakan papa sanggup nak jodohkan saya dengan dia.” Jawab Rashid
sebelum berkahwin dengan Zarina.
“Papa tahu apa yang papa buat ni. Semua ni untuk
kebaikan kamu, Rash.”
“Sebenarnya papa sengaja nak rosakkan hidup Rash,
kan?” Rashid tetap tidak mahu kalah dan selalu menjawab ikut sedap mulutnya
sahaja. Dia tidak fikir lagi perasaan orang lain.
“Astagfirullah
Rash, apa yang kau merepek ni? Papa cuma tak nak tengok anak papa ada hala tuju
dalam hidup. Papa tak nak kau hidup bersosial dekat luar. Benda tu semua tak ada faedah langsung. Keluar ke
kelab malam, lepak sampai tak reti nak balik rumah.”
“Sekarang papa nak halang Rash pulak ke?” Rashid
tidak boleh ditegur pasti urat tengkuknya keluar.
“Papa cuma nak kau berubah, itu saja.” Puas Dato`
Sri Rizal menasihati Rashid tetapi tetap berdegil. Entah susu apa yang
diberikan pada budak ni. Itulah, zaman sekarang orang suka bagi susu lembu
daripada susu ibu, perangai pelik-pelik. Sekali cakap, berkali-kali dijawab.
Pantang ditegur salah, mulalah tidak mengaku. Balik-balik salah si ayah juga.
“Berubah?” Kening terangkat. “Apa yang papa tahu
tentang perubahan? Papa dah ubah kasih sayang papa dan beri pada perempuan tu.
Dan jangan ingat Rash tak tahu apa-apa.” Ucap Rashid mengugut pula.
“Tahu apa?”
“Papa sengaja mahukan Rash turuti segala kehendak
papa supaya Rash cepat-cepay keluar dari rumah ni kan?” Rashid salah faham dan
berfikiran cetek. Hanya disebabkan hal tersebut dikatakan si ayah tidak
menyayanginya malah mahu bersikap lepas tangan. Dari kecil sampai besar panjang
dijaga, takkan sampai ke tua masih mahu berkepit celah ketiak orang tua?
Sudah biasa diajar dengan kemewahan sehingga susah
hendak ditinggalkan. Tiada langsung usaha untuk berpijak pada kaki sendiri.
Belajar hidup berdikari tidak terlampau bergantung harap pada orang tua.
Diaturkan perkahwinan sedemikian rupa adalah demi kebaikan, dan orang tua lebih
mengerti. Akan tetapi, bagi Rashid tidak nampak semua itu.
Dato` Sri Rizal pula kadangkala menyalahkan Datin
Sri Delaila kerana manjakan sangat si Rashid. Pada masa itu, Datin Sri Delaila
pun agak keras kepala tidak mahu mengaku. “Rashid saja satu-satunya anak kita.”
Hanya kerana anak tunggal maka kasih sayang dicurahkan. Tak boleh nak kata apa.
Anak kesayangan yang terlalu manja sangat.
“Anak mama sangat.” Dato` Sri Rizal menggeleng
kerana tidak tahu apa lagi yang perlu dibuat.
Rancangan untuk menyatukan Rashid memang berjaya
tetapi kerana kata dua diberikan. Datin Sri Delaila pada mulanya tidak besetuju
tetapi dipujuk barulah Datin Sri Delaila mengerti. Rashid perlu berdikari.
“Zarina sahajalah yang sesuai dengan Rash.” Dato`
Sri Rizal memang merancang dari awal dan mempunyai niat sedemikian. Zarina
tinggal dengan dia pun ketika berusia 13 tahun. Segalanya ditanggung. Di mata
Dato` Sri Rizal, Zarina sangat rajin dan menghormati orang tua.
Atas dasar suka membuli, Dato` Sri Rizal mahu
satukan mereka. Dia tahu Rashid suka buli Zarina. Kalau dah buli, biar jodoh
yang mengadili. Sepadan sangatlah tu. “Abang fikir mereka akan bahagia ke?”
Datin Sri Delaila tidak berani jamin kerana bimbang menggadaikan hati orang
lain.
“Kebahagiaan bukan kita yang tentukan. Kalau dulu
kita tak bahagia, kenapa hari ini hati kita tenang?”
“Abang
boleh la bertenang sebab abang dah banyak wang. Kalau dulu tu macam mana?”
“Jangan ungkit-ungkit lagi hal lama.” Dato` Sri
Rizal malas hendak bercerita dengan Datin Sri Delaila. Semuanya biarkan
berlalu. Untuk apa dikenang lagi. Sekarang yang penting adalah masa hadapan
keluarganya dan masa hadapan anaknya. Itu yang penting. Lagi pula, anak tunggal
ni adalah harta yang bernilai. Lagi bernilai adalah memiliki anak yang soleh.
Sesungguhnya anak yang soleh adalah harum syurga yang menanti setelah doa hadir
yang bersama.
“Kalau kita dah tak ada, siapa yang nak doakan untuk
kita?” Itulah yang Dato` Sri Rizal resah. Semua orang nak ada anak bila sudah
berkahwin. Tetapi anak yang bagaimana yang dilahirkan itu? Adakah anak itu
benar-benar mendoakan orang tua kelak? Dengan pemikiran yang sedemikian
membuatkan Dato` Sri Rizal mengharapkan hal tersebut terjadi.
“Salah kita mendidiknya. Selama ni kita beri apa
sahaja yang dia nak. Sekarang kehendak kita pula susah dia nak ikut.”
Kadangkala rasa kesal berkalung.
“Dia dah besar panjang.” Datin Sri Delaila sentiasa
menangkan anak. Sebagai seorang ayah, mendidik anak-anak adalah tanggungjawab
yang besar, jadi diberikan pendidikan agar anak tahu menilai dan belajar erti
hidup. Dicari kekayaan agar anak senang dan tidak berasa susah. Kemudahan
disediakan namun semua itu bagaikan ancaman perosak akhlak. Anaknya semakin
liar. Maka pendekatan diambil adalah dengan cara kahwinkan Rashid dengan
Zarina.
Memang nampak kejam seperti mempergunakan Zarina
demi kepentingan peribadi. Mahu melihat perubahan positif Rashid menjadi anak
dan suami yang bertanggungjawab. Lagi pula, bolehlah mereka menimang cucu.
***
AWAL
pagi seorang isteri telah bangkit dari lena. Biarpun lenanya tidak seindah
sebelum ini namun kehadiran suami di sisi membuatkan dia berasa selamat.
Indahnya cinta Zarina yang sangat mengagumi suami. Tiada yang lebih bernilai di
hatinya melainkan cinta pada suami dan cinta suaminya pada dirinya. Namun
apakah ketakutan Zarina yang selama ini bimbang akan suaminya merahsiakan
sesuatu? Apakan daya seorang insan yang lemah seperti Zarina hanya mampu
berserah. Takdir cinta yang terluka tiada siapa yang dapat melihatnya kecuali
Tuhan yang Maha Esa.
Masih
adakah cinta di dalam hati Rashid untuk Zarina memandangkan sikap Rashid tidak
seperti sebelumnya? Berhadapan dengan emosi Rashid yang tidak menentu sering
membuatkan hati Zarina retak seperti cangkir madu kasih yang terhempas.
Hanya
wanita ini sendiri yang mengerti dan hanya dia yang merasakannya ketika ini.
Sebak di dada masih terlakar. Cinta semalam yang indah seperti hampir lenyap.
Itulah seringkali membuatkan jiwa Zarina sering gementar.
Suami
tercintanya cuti pada hari ini. Dia mahu sediakan sarapan yang istimewa untuk
suaminya. Masakan kegemaran. Sudah pasti dia ingin hidangkan kepada Rashid yang
masih belum terjaga.
Dia
ketika ini berada di dapur. Pada waktu begini dia tersenyum sahaja. Senyuman
pahit sebenarnya. Senyuman yang terlakar bercampur risau. Berkali-kali dia cuba
mengalihkan ingatan pada sebuah kejujuran namun keraguan seakan menghambat
dirinya. Namun begitu, sebagai seorang isteri dia perlu mentaati suami.
Kuali
itu sudah berasap. Minyak sudah panas. Maka bawang yang telah siap dimayangkan
terus dimasukkan ke dalam kuali itu. Zarina mahu membuat sambal ikan bilis
sebagai pencicah pada cucur udang nanti. Pada tengah hari nanti dia akan masak
yang sedap-sedap untuk Rashid. Tapi untuk pagi ini biarlah makan yang
ringan-ringan sahaja.
Hidangan
yang di masak pada pagi ini telah siap. Alhamdulillah
hatinya begitu senang ketika ini. Hati berbunga untuk seketika namun biarlah
dia berbahagia walaupun hanya sekelumit cinta yang mungkin berbaki dalam diri
Rashid untuknya. Zarina tidak dapat menduga tepat kenapa Rashid bersikap
sedemikian malam tadi? Mungkinkah sebab
aku bersalah? Zarina tidak mahu panjangkan cerita. Dia simpan sahaja di
dalam hatinya yang semakin lama semakin tertekan.
Nescafe
panas telah disediakan kemudian diletakkan di atas meja makan. Selepas itu dia
mengorak langkah untuk bangunkan Rashid. Dia menjangkakan suaminya itu masih
lagi lena. Sekilas dia melihat jam di dinding telah menunjukan pukul 8:00 pagi.
Mak Mah pula tiada di rumah setelah diarahkan untuk ke pasar mendapatkan ikan
segar. Zarina berhasrat untuk masak laukan kegemaran Rashid pada tengah hari
nanti.
Zarina
berada di hadapan pintu bilik lalu pintu itu dikuak perlahan dan dia terlihat
Rashid masih terbungkam lagi. Dia melangkah mendapatkan suaminya yang masih
berselimut.
“Abang...
bangun bang...” Zarina menggerakkan tubuh Rashid perlahan-lahan.
“Abang...”
sekali lagi Zarina bersuara.
Selimut
itu ditarik rapat hingga menutup kepala. Rashid tidak mahu diganggu. Zarina
yang masih lagi di birai katil itu tidak berputus asa mengejutkan suaminya
untuk bangun dan mandi.
“Bangunlah
abang, dah siang,”
Dengan
pantas Rashid mengalihkan selimut itu lalu dia merenung tajam ke arah Zarina
dengan pandangan yang cukup geram. Terkejut Zarina melihat Rashid menjegilkan
biji mata.
“Awak
jangan ganggu tidur saya boleh tak?!” Marah Rashid.
“Bangunlah
bang, kita sarapan sama-sama,”
“Awak
tak faham bahasa ke? Saya nak tidur!” Bentak Rashid lalu menarik rapat selimut
itu dan berpaling dari Zarina. Zarina menggeleng perlahan. Jari-jemari diramas
sendiri. Zarina masih mampu menahan sabar.
“Abang...”
“Hei!
kau ni kenapa? Kan aku dah kata jangan kacau aku nak tidur!” Rashid dengan segera
bangkit dari perbaringan dan terlah bersikap kasar.
Zarina
tersentak lagi disergah begitu. Sampai hati Rashid meninggikan suara padanya.
Zarina hanya ingin bangunkan suaminya sahaja. Tidak elok sekiranya tidur sampai
matahari mula terbit dan bersinar terang itu.
“Kalau
awak tak ganggu tidur saya tak boleh ke? Awak ingat saya ni budak kecil ke
minta dibangunkan dari tidur? Awak pergilah buat kerja awak tu,” Nadanya
diperlahankan. Zarina tidak pasti sama ada Rashid sedar atau pun tidak apa yang
diucapkan itu. Rashid rebahkan semula tubuhnya.
Zarina
tertunduk di situ. Dia bermain lagi dengan jari-jemari dengan rasa yang amat
terkilan sekali. Tidak nampakkah Rashid tentang dirinya yang berhias cantik dan
sempurna bukan seperti hari pertama dia mengenali alat solek? Tidak mahukah
Rashid memuji kecantikan Zarina di pagi ini? Sebagai seorang isteri mendapat
pujian dari suami adalah satu penghargaan yang cukup besar.
Pagi
tadi Zarina berdandan cantik sekali. Dia mahu meraikan kepulangan suaminya.
Tapi bila dia bangunkan suaminya dari tidur begitu pula jadinya.
Rashid
tiba-tiba bangkit lagi. Dia memandang Zarina dalam-dalam. Zarina jadi takut
dengan pandangan itu. Kenapa suaminya itu bersikap aneh? Zarina tidak dapat
menjangkakannya.
“Awak
pakai lawa-lawa ni nak pergi mana?” terpacul soalan itu dari mulut Rashid.
“Saya
tak ke mana-mana bang,” balas Zarina perlahan.
“Kalau
tak ke mana-mana, awak berhias ni kenapa? Ada kenduri ke?”
“Tak
ada bang... semua ni...”
“Semua
ni sebab awak buang tabiat? Dalam rumah pun nak cantik-cantik, make up tebal-tebal?”
Sungguh berbisa pertanyaan itu. Luluh hati Zarina mendengarnya. Salahkah ke aku kelihatan cantik? Cantik
untuk dia? Hurm...
Air
mata Zarina luruh. Sekian lama dia bertahan dengan sikap itu tetapi entah
kenapa ia menjadi seperti pisau merobek hatinya. Jika sebelum ini dia
berperisai kini seolah-olah perisai itu lenyap. Setiap bicara Rashid bagaikan
peluru yang menembak jantungnya.
***
SURAT
khabar dilipat semula selepas dibelek sekejap. Surat khabar semalam buat apa?
Orang mahu surat khabar hari ini! Wajahnya mula kemerahan.
“Ina
mana Mak Mah?” Tanya Rashid ternampak Mak Mah melintas menuju ke dapur. Langkah
orang tua itu terhenti.
“Kenapa
Encik Rashid?” Soalan itu menerjah cuping telinga Rashid yang sedang sarat
geram. Kalau sudah ditanya, jawab sahaja, kenapa disoal semula? Guman Rashid
yang tidak tertahan dengan semua ini.
“Saya
tanya Ina mana? Tak payahlah sibuk-sibuk tanya kenapa?” Marah Rashid pada Mak
Mah.
“Nanti
saya pergi tengok dekat atas.” Jawab Mak Mah kemudian mengorak langkah menuju
ke tangga.
“Cepat
sikit. Cakap saya panggil.” Rashid menghempas surat khabar atas meja kemudian
dia bangun menuju ke tingkap sambil bercekak pinggang.
Zarina
tampil menemui Rashid dalam keadaan bersedia. Dia menguntum senyum untuk suami.
Zarina berharap dengan senyuman mampu melembutkan hati Rashid.
“Abang
panggil Ina, kenapa bang?”
“Tak
boleh ke aku panggil?” Rashid menoleh.
“Maksud
Ina, ada apa?” Zarina mendekati Rashid. Ketara dia gementar berhadapan dengan
sikap amarah yang terlampau itu. Ya
Allah, kau berikanlah aku kekuatan untuk sabarkan suamiku ini... detik hati
Zarina.
“Tu,
surat khabar bila tu?”
“Hari
ini.”
“Tengok
betul-betul.”
Zarina
terus melihat surat khabar tersebut.
“Ini
semalam punya, yang hari ini ada dekat meja makan sana. Tadi masa abang minum
tak nampak ke?” Beritahu Zarina tenang.
“Oh,
ya ke?” Rashid angkat kening.
“Tunggu
Ina pergi ambil.” Zarina mengambil surat khabar itu lalu diberikan pada Rashid.
Kalau keadaan marah mana dapat berfikir dengan baik. Asyik mahu salahkan orang
lain. Kalau diperhatikan betul-betul tiada masalah apa-apa. Tetapi sengaja
mencipta masalah kerana mahu mencari sebab untuk terus marah.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)