Entri Terkini :

Mesin Jahit Hati - 7

TIDAK pernah dirasakan begini, betapa kelam dan suramnya hidup aku ketika ini setelah mendapati bahawa semua itu terlalu pantas berlaku. Jiwaku terasa kosong dan hati pula jelas terabai. Manakah jalan yang terang? Oh Tuhan, semua ini terlalu perit. Menyeksaan hati memukul jiwa aku yang sedia kosong ini. Pintu hatiku diketuk dengan perasaan serba salah. Fahmi… mengapa semua ini berlaku? Kecewanya aku dengan tindakan dua hari lalu mengakibatkan aku bagaikan terbuang. Ejekan kepala berlainan benar dengan hati. Ibu pula sering memarahi aku. Marah kerana menampar Fahmi.
“Mak tak kira. Mak nak kau pergi minta maaf dengan dia tu. Senang-senang kau tampar anak orang. Kalau dia saman kau bagaimana?” Ibu berleter dan menyalahkan aku dan memenangkan Fahmi. “Mak tak ajar kau jadi biadap macam tu. Kalau kau tak suka dia pun kenapa perlu kau menyakiti dia. Lagi pun mak tahu Fahmi tu baik budaknya.”
“Budak? Mak, dia tu dah tua bangka dah mak. Umur pun dah 32 tahun. Mak nak paksa Aya kahwin dengan dia tu kenapa? Aya baru 17 tahun mak, bulan depan baru masuk 18 tahun. Aya tak nak kahwin lagi. Aya nak bini hidup Aya sendiri. Kenapa mak susah sangat nak faham?” Bukan niat aku untuk melawan cakap ibuku sendiri. Tetapi ini soal masa hadapan aku. Biarpun ditaburkan emas permata sekalipun aku tetap bertegas dengan pendirian aku sendiri.
“Jadi kau nak kahwin masa umur kau 50 tahun? 100 tahun ke? Atau sampai bila-bila kau tak nak kahwin?” Marah ibu aku ketika aku sedang membaca senaskah novel di ruang tamu. “Tu! Duk baca novel je. Tak ada faedah langsung! Kau ingat dengan baca novel tu boleh jamin masa hadapan kau la ye? Lebih baik kau kahwin dengan Fahmi tu lagi ada baiknya. Mak tak kira, esok mak nak kau pergi minta maaf dekat dia. Muka mak ni pun dia tak nak pandang lagi. Mesti dia ingat mak ni tak pandai didik anak.” Ibu melanjutkan kata-katanya. Pedih sungguh telinga aku mendengar bebelan ibu. Ucapannya benar-benar mengguriskan hati dan perasaan aku. Susahnya jadi anak perempuan.
Pada waktu itu aku cepat-cepat tutup novel yang di baca kemudian bingkas bangun. Lagi aku tunggu dekat situ nanti bertambah melarat.
“Tengok tu! Pantang cakap sikit dah nak tunjuk perangai buruk!” Bentak ibu merenung aku sedalam-dalamnya. Aku yang kaku seketika cuba melangkah. Aku mencebik sambil memandang ibu. Memang ibu tak pernah faham.


DIARI ku belek. Aku baca pengalaman yang tertulis. Cerita tentang aku yang berlalu. Aku catat segala perlakuan Bujet. Grrr… semua tu memori geram aku terhadap Bujet tapi sejak akhir-akhir ini catatan tentang Bujet sedikit sahaja. Kacang yang rangup berkrim pelbagai warna ku suap ke mulut, krap krap krap bunyi setiap kunyahan sambil layan diari sendiri.
Membayangkan wajah Bujet bertahi lalat besar di pipi kanan membuatkan aku tergelak sendiri di saat dia menggosok bahagian itu. Gatal ke di situ? Tanya aku sendiri. Wajah Bujet apabila ditatap nampak melucukan tetapi tidak harus aku menjadikan isu penampilan seseorang itu terlalu rumit. Diari itu ditutup dan aku letakkan di sisi. Aku bersandar sambil melepaskan keluhan.
Bagaimana sekiranya aku menerima dia dalam hidup aku dan menolak cinta Fahmi? Cinta ke dia pada aku? Ah! Itu bukan soalnya, yang menjadi perkara pokok aku harus lari dari Fahmi. Ibu aku memaksa aku supaya meminta maaf kepada lelaki bandar itu. Tidak munasabah bagi diriku untuk meminta maaf sedangkan aku tidak perlu berbuat sedemikian. Lelaki tu banyak ragam. Tak sangka pula dia tu sensitif. Melihat dari lagak dan caranya nampak begitu egois.
Di antara kedua-dua lelaki itu, jelas ketara perbezaan. Bujet dengan cara tidak matang manakala Fahmi lagak yang suka mendesak. Desak? Aku kaku seketika. Kalau mendesak, itu keduanya sama aje. Fahmi… lelaki yang biadab, Bujet pula… hurm… aku garu kepala.
“Jangan kau usik tahi lalat aku ni” Marah Bujet bila aku buat macam tu.
“Sentuh aje pun tak boleh.”
“Tak boleh!”
“Ala Aya, macamlah special sangat tahi lalat tu. Entah lalat mana yang berak dekat situ sampai besar cenggitu. Boleh tahan juga saiz lalat tu ye?” Ecah memerli Bujet. Bujet terus bangun dan mencapai sepatu lantas beredar dari tebing sungai. Tangan kiri Bujet memegang kail manakala tangan kanan memegang sepatunya. Seluar Bujet dilipat hampir ke parah lutut.
Bujet terasa hati agaknya tapi aku buat tak kisah. Lagipun bagi aku sekadar gurauan. Bujet pun selalu bergurau kasar dengan aku. Aku cuma naks entuh tahi lalat dia je. Tu pun tak boleh. Kedekut!
“Kau masih buat kerja sekolah dia ke?” Tiba-tiba Ecah bertanya sambil menepuk belakang aku. Dia tepukl sampai aku tersedak minuman. Botol air berisi air sirap aku letak tepi. Perkelahan yang sepi setelah Bujet bawa diri.
“Kenapa kau tanya?”
“Tak adalah, lagipun dia belanja kau minum dan berkelah dekat sini mesti dia nak balas jasa kau kan? Selama ni pun tak pernah dia buat macam tu. Dia suka buli kau dan aku. Hari ni baik je.” Ujar Ecah dengan pemuh curiga dan aku menarik nafas sedalam-dalamnya.
“Dia tu sebenarnya baik, cuma perangai dia tu kadang-kadang buat orang sakti hati.”
“Baik kata kau? Eh Aya, orang baik tak macam tu la.”
“Habis tu orang baik macam mana, Cah? Handsome dan bergaya? Orang yang berharta pula boleh dikategorikan sebagai baik? Macam tu ke?” Soalku pada Ecah yang agak negatif juga pemikirannya. Aku bangun dan berdiri dua langkah di belakang Ecah. Aku perhatikan Ecah juga bangun. Usai itu aku melangkah dan langkahku itu diikuti Ecah.
“Sejak bila kau pandai bela TLB tu?” Aku angkat kening tak faham apakah makna TLB yang dimaksudkan Ecah tu.
“TLB tu apa?” Tanyaku dengan rasa ingin tahu. Ecah ni suka wujudkan perkataan yang pelik-pelik. Hairan sungguh aku dengan Ecah.
“Tahi Lalat Besar!” Beritahu Ecah kemudian disusuli gelak ketawa.
Aku juga ikut ketawa. Serentak.
“Tak baik kau Cah cakap dia macam tu,”
“Kau tak marah ke?”
“Kenapa pulak aku mesti marah?”
“Dia kan sepupu kau,”
“Erm…” Jawab aku seolah-olah malu nak mengaku Bujet itu adalah sepupu aku gara-gara perangai nakalnya itu jelas memburukkan imej. Huh!
“Okey, dia TLB.”  Ujar Ecah membuat aku ketawa.
Aku senyum sendiri dan mujurlah aku tak ketawa terbahak-bahak di dalam bilik sekarang ini. Nanti ibu dan ayah pasti menuduh aku kurang siuman. Adakah duduk di Hospital Bahagia lebih baik berbanding sekarang?
Seronok juga mengenangkan sikap Bujet sewaktu di tingkat empat dahulu. Bukan main baik dia dengan aku. Dia memang nak balas kebaikan yang telah aku hulurkan bagi membantu dia siapkan kerja kursus dan juga latihan matematik tambahan. Adakah ini namanya rasuah? Oh, mungkin tidak… kerana aku sekadar membantunya sahaja. Untuk menyiapkan seratus peratus kerja orang lain, memang aku tidak akan melakukannya.
“Aya, aku ada benda nak cakap dekat kau ni,” Bujet tunduk dan malu-malu. Dalam raga basikalnya penuh dengan tin-tin minuman yang kosong. Bukan setakat itu sahaja, bahagian para pula penuh dengan kotak terpakai yang dilipat rapat diikat dengan tali.
“Sudah! Aku dah tau kemahuan kau tu,”
“Kau pakai bomoh ke?”
“Jet, selama ni tak ada benda lain yang kau minta dari aku, mesti duit.”
“Bukan duit, Aya.”
“Habis tu apa?” Tanya aku ketika laluan aku dihalang oleh Bujet. Aku masih duduk di atas basikal bertongkatkan kaki.
“Along!” Tiba-tiba Pojie adik Bujet berlari-lari ke arah Bujet bersama Mira. Aku perhatikan sahaja.
Bujet beredar dan sekaligus membatalkan hasratnya nak pinjam duit. Dia ikut adik-adiknya beredar entah ke mana aku pun tak tahu. Itu adalah kes hari yang sama aku terlihat Fahmi di rumah Mak Pah buat pertama kali.
Bujet tak pernah menceritakan tentang Fahmi kepada aku. Dan aku tak pernah tahu bahawa dia ada sepupu merupakan seorang anak kepada orang kaya bergelar dato’. Apa ada pada kekayaan sekiranya sikap Fahmi terlalu biadap? Semua itu bagiku tidak penting. Cuma… ibu aku tu bersungguh-sungguh mahu bermenantukan Fahmi.
‘Kok!’ aku terdengar dinding bilik aku dibaling dengan sesuatu. Bilik aku berdinding kayu, jadi sebarang benda yang menerjah ke arahnya akan menghasilkan bunyi khususnya benda keras seperti batu.
“Adoi!” Aku mengadu kerana sebiji batu kecil tepat mengena sasaran! Batu tu kena dahi aku. Argh! Geramnya. “Siapa punya kerja ni?” Aku membebel sendiri sambil memegang batu yang tercampak di atas katil aku.
“Psst!” Aku terdengar suara dari luar. Alamak! Siapakah? Aku dah mula rasa seram sejuk. Malam ni merupakan malam jumaat. Alahai janganlah macam-macam.
“Siapa tu?” Aku memberanikan diri bertanya siapa yang berada di luar.
“Sini la.” Suara itu menjawab dalam nada yang sangat perlahan. Aku bangun dan mendekati tingkap bilik yang terbuka. Tadi aku yang buka tingkap tu supaya angin malam menerobos masuk. Biar terasa dingin bilikku ini. Kemudian satu lembaga muncul secara tiba-tiba di hadapan tingkap bilik aku.
“Mak! Hantu!!!” Pekik aku terus mencapai seramik perhiasan di rak berdekatan tingkat itu untuk dihempuk ke atas kepala lembaga berkepala botak.
Lembaga itu terus menahan tangan aku sambil tangan sebelahnya memegang birai tingkap itu untuk mengimbangi badannya. Dia panjat tingkap bilik aku.
‘Ping!’ seramik perhiasan jatuh ke jubin lantai. Berkecai.
“Aya, apa yang kecoh sangat tu?!” Aku terdengar suara ibu bertanya setelah mendengar keadaan huru hara di dalam bilik aku.
“Comel mak… Comel ni buas sangat. Dia pecahkan pasu Aya!” Aku menaikkan nada suaraku agar ibu mendengarnya.
“Comel kan dah lama mati.” Balas ibuku.
Aduhai macam mana aku nak jawab ni? Kucing kesayangan aku dah lama berkubur akibat tercekik tulang ikan. Menangis tidak berlagu.
“Eh! bukan comel tapi kucing jiran ni. Ya kucing jiran mirip comel ni buas sangat. Tak perasan ada dalam bilik ni mak…!” Aku meleret-leret memberikan alasan.
“Ye laa…” Jawab ibu kemudian senyap.
“Aya… pinjam duit…”
“Syhhh! Kau datang macam pencuri ni kenapa?” Bisik aku. “Nasib baik tak pecah kepala kau tadi.” Aku melanjutkan bicara sementara jari telunjuk kananku masih dekat bibir.
“Pinjam duit…” Perlahan pula suara Bujet.
“Kenapa kau tak masuk pintu depan?”
“Nanti maklong bising.”
“Mak aku tak bising la kalau kau masuk rumah cara elok. Ni macam pencuri tahu tak? Dah turun cepat.” Aku cemas dengan tindakan Bujet tu. Dan sewaktu Bujet nak turun dari tingkap tu dia tersilap langkah menyebabkan tangannya pula terpaut pada langsir secara spontan maka dia tersungkur masuk ke dalam bilik aku. Parah macam ni! Datang ke rumah aku tengah malam macam ni. Esok pagi tak boleh tunggu ke? Aku hairan dengan sikap Bujet.


“KAU KENA kahwin juga Aya! Mak tak peduli kau dah memalukan mak dan ayah!” Tengking ibu sepenuh hati memarahi aku.
Aku dah kecut. Muka ibu apatah lagi. Ibu langsung tidak mahu mendengar penjelasan aku. Aku pandang Bujet yang dah kantoi. Aku sembunyikan dia belakang almari tapi Bujet terkentut! Aku dah cover line tapi dia selamba aje kentut berulang kali. Itulah yang menyebabkan ibu yang kebetulan masuk ke dalam bilik aku gara-gara mencurigai aku. Bunyi kecoh telah menarik perhatian ibu aku untuk melihat apa yang berlaku dalam bilik aku.
“Maklong…”
“Diam!” Marah ibu pada Bujet lalu Bujet tundukkan kepala.
“Abang!!!” Pekik ibu memanggil ayahku pula. Tidak berapa lama kemudian ayah aku menyusul.
“Apa yang bising sangat ni Mah, dah lewat malam ni, abang nak tidur pun tak boleh.”
“Ni anak abang ni! Bawak masuk jantan dalam rumah!”
Ayah aku tak perasan lagi bahawa Bujet ada di dalam bilik aku. Aku terduduk di birai katil menahan rasa terkilan kerana insiden itu. Semua ni salah Bujet! Bujet masuk dalam bilik aku! Argh!
“Mak, Aya tak buat apa-apa mak.” Aku merayu meminta ibu aku mempercayai aku.
“Maklong… kami tak buat apa-apa.”
“Dalam bilik berdua pulak tu korang kata tak buat apa-apa?” Bebel Ibu sambil bercekak pinggang.
‘Pang!’ tanpa ku duga pipi aku terus menjadi kebas setelah ditampar oleh ibu.
“Sampai hati mak tampar Aya?” Aduh! Sakitnya pipi aku ditampar ibu. Apa dosa aku sampai ibu buat aku macam ni? Aku dengan Bujet tak buat kerja tu. Aku dengan Bujet terperangkap dalam situasi itu. Ibu aku tak faham kerana ibu aku memikirkan perkara yang buruk. Mak… Aya tak buat mak… aku merintih dalam hati. Teriakkan hatiku tak mungkin dapat memalingkan pendirian ibuku itu.
“Ya Allah Aya!” Ayah aku dan menjegilkan biji mata. “Kamu dengan Bujet? Ayah tak ajar anak ayah buat perkara ni?”
“Ayah… tolong ayah…” Aku terus melutut dan memegang kaki ayah. Tanpa ku sedar air mata ini menitis laju membasahi pipi mulus ini. Sungguh aku tidak menduga perkara sebegini akan terjadi.
“Pantang keturunan mak buat kerja macam ni. Kau dah memalukan mak! Kalau orang kampung tahu mana mak nak sorok muka ni?” Bebel ibu sambil menolak aku dari terus memegang kaki ayah. Ku pandang wajah ayah yang sedang keliru. “Dengan sepupu sendiri kau buat kerja bodoh! Mak tak kira. Kau dengan Bujet ni kena nikah jugak! Mak yakin Bujet dah buat sesuatu dekat kau! Mak tak nak keturunan mak dicemari dengan hal macam ni! Faham?” Marah ibu dengan wajah garang terus melanjutkan kata-katanya.
“Sumpah mak! Sumpah!” Aku bersumpah namun sumpah aku belum tentu meyakinkan ibu malah pasti fikir ibu bahawa semua itu helahku untuk tidak berkahwin dengan Fahmi.
“Bujet! Kau nak kahwin dengan Aya?” Tanya ayahku tiba-tiba.
Bujet diam sahaja dari tadi diarahkan diam maka dia diam tidak bersuara. Bujet seolah-olah hilang keberanian berhadapan dengan ayah dan ibu aku. Bujet, tolonglah jangan kau sanggup kerana aku dan kau masih muda untuk meniti liku-liku kehidupan dalam erti berumah tangga. Aku masih belum mengenali apa itu cinta, apa itu kebahagiaan dan apa itu asam garam kehidupan. Meskipun kata orang pengalaman akan mematangkan fikiran. Merayu-rayu aku sambil memandang Bujet.
Tanganku masih menapak di pipi kerana masih terasa kesan tamparan hebat dari ibu. Ibu benar-benar marahkan aku. Ayah pula seperti kebingungan melihat keadaan yang berlaku sekarang.
“Demi Allah mak…” Aku pandang mak ketika terjelepok di lantai dan air mata tidak jemu merembes laju. “Demi Allah Ayah…” Wajah ayah pula kupandang silih berganti, “Demi Allah… Aya tak buat semua tu.”Aku jatuhkan pandangan dan terus memejamkan mata. Berharap di dalam hati takdir ini memberikan kebaikan kepada aku. Ya Allah, selamatkanlah aku Ya Allah…
Bujet… kenapa kau tidak mempertahankan hak kau? Kenapa kau membisu? Aku tertanya-tanya dalam hati. Tolonglah Bujet, tegakkan kebenaran. Sungguh aku kesal di atas sikap pengecut Bujet.
Tanpa disangka aku lagi, satu sebatan hinggap ke tubuh aku. Sakitnya Ya Allah! Sakit! Aku berteriak. Aku terpisat-pisat menahan sakit dan aku perhatikan ayah sudah naik angin. Ayah merotan aku. Ayah dah hilang kewarasan barangkali mengenangkan tindakan aku itu.
“Ayah, sakit ayah…”
“Paklong!” Bujet terus menghalang aku. Bujet mempertahankan aku dari terus dirotan namun keberanian Bujet tidak memadamkan api kemarahan ayah maka Bujet juga turun dirotan.
“Kamu berdua memalukan aku!” Bentak ayahku sambil merotan kami berdua silih berganti.
“Paklong, sakit paklong…” Bujet juga merayu dari terus dirotan namun sebaik sahaja rotan itu hampir berlabuh ke badan aku pula, Bujet menjadikan lengannya sebagai perisai. Bujet sanggup sakit mempertahankan aku.
Ibu hanya menjadi pemerhati sahaja. Perasaan seorang ibu yang sayangkan anak-anaknya daripada dihukum seolah-olah lenyap dari hati ibu sekarang ni. Mungkin perasaan marah ibu telah mengusai fikiran sehinggakan ibu tergamak membiarkan ayah merotan aku. Selama ini ayah tak pernah buat begini. Untuk menjentik aku pun dia fikir seratus kali tapi tidak kali ini. Titisan air mata ini pula tidak lagi mampu melembutkan hati seorang ibu dan hati seorang ayah yang tersentap.
Malam itu menjadi gamat buat hidupku. Malam yang benar-benar tragis dan memilukan hati seorang perempuan seperti aku. Terhimpit dicelah-celah dilema dan dihambat pula dengan paksaan. Pukulan jiwa meranapkan sanubari aku sendiri sehinggakan aku menganggap bahawa kebenaran selamanya pahit.
 Betapa kecewanya aku terhadap pengalaman itu. Satu pengalaman yang tidak membahagiankan hidup aku yang selama ini mengharapkan cinta yang suci hadir member erti. Kehidupan yang penuh warna-warni menghiasi hari bukan lagi kelabu yang memedihkan ruang rindu. Berat sungguh tuduhan ibu dan ayah terhadap aku. Ku sangkakan ayah mampu berfikir lebih jauh tetapi malangnya tidak. Fikiran ayah mudah dipengaruhi ibu. Ayah cukup mudah dikawal ibu. Ayah terlalu sayangkan ibu sehingga apa yang diperkatakan ibu semuanya benar.
Bayangan hitam hidup aku muncul menjadi petanda keramat hidup aku bakal musnah. Cita-cita aku terus kabur dan lenyap begitu sahaja. Impian untuk meraih kemenangan dalam hidup sebagai seorang wanita akan terkubur setelah menjadi mangsa keadaan. Tidak cukup dengan itu, bebanan ini menambahkan lagi kesulitan hari-hariku. Aya… kau kena kuatkan semangat, kata-kata dalam kepalaku memberikan aku semangat namun sampai bilakah aku mampu bertahan?

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.