Entri Terkini :

Mesin Jahit Hati - 5

SEBUT sahaja cuti sekolah, memang banyak majlis kahwin. Dekat rumah ni berlambak kad jemputan. Mereka memilih tarikh yang sesuai jika ada cuti umum maka secara serentak majlis diaturkan. Seronok sungguh mereka mendirikan rumahtangga. Apa yang seronok sangat berumah tangga ni ya? Teringat aku pada kata-kata Ecah semalam. Ecah menakut-nakutkan aku mengenai soal perkahwinan. Tapi bukan ke berkahwin itu termatut dalam hukum munakahat? Perkara yang sangat dituntut bagi menghalakan sesuatu perhubungan. Ia adalah suatu ikatan yang sah untuk saling melengkapi. Soalnya sekarang, Fahmi tu pelengkap hidup aku ke? Atau dia adalah pemusnah kebahagiaan hidup aku?
Mengimbas kenangan lalu, bersama dengan Bujet main pondok-pondok, Bujet jadi suami aku. Wah! boleh tahan romantisnya tetapi yang tak boleh tahan dia tu suka menyakiti hati aku. Ternyata kini dia dihadapkan ke sesuatu sudut menjadi pilihan calon suamiku yang telah ditetapkan oleh ibuku sendiri. Untuk membuat pilihan sungguh berbelah bahagi. Tinggal lima hari sahaja lagi untuk aku menyatakan keputusan.
Aku termangu di sofa sambil memegang sekeping kad jemputan. Hari ini hari Ahad, majlis walimatul urus diadakan di rumah Endut. Anak andartunya dikahwinkan hari ini. Alhamdulillah bertemu jodoh juga akhirnya, tetapi yang sukar diterima, bakal pengantin lelakinya dengar-dengar khabar jauh lebih muda. Belasan tahun kut. Erm, ura-ura mengatakan 19 tahun. Dahsyat… mungkin ini dinamakan jodoh.
“Akan tiba giliran awak pula nanti.” Erk! Terkejut aku. Tiba-tiba tercegat seorang lelaki di hadapan pintu masuk ke dalam rumah aku.
“Siapa benarkan awak naik? Tak beradab langsung. Main sergah aje. Tak reti bagi salam dulu ke?” Aku terpisat-pisat sendiri.
“Saya dah beri salam. Awak je yang tak dengar.” Jawab Fahmi.
“Jadi awak dah lama curi-curi pandang saya? Memang dasar lelaki gatal!” Tempelak aku tak tahan dengan sikap lelaki yang tak beradab. Main sergah lepas tu tersengih-sengih macam kerang busuk!
“Mak awak mana?” Tanya Fahmi dan kakinya seolah-olah hendak melangkah naik ke anjung.
“Berhenti! Awak jangan masuk. Mak dan ayah saya tak ada. Saya tengah tunggu mereka.” Jawab aku sambil bangun berdiri. Aku tak benarkan dia masuk ke dalam rumah. Cukup sekadar berdiri di hadapan pintu sahaja.
Lelaki macam ni patut diajar. Mak dan ayah aku tak ada pun dia berani naik sampai ke beranda. Silap-silap hari bulan dah reti masuk ke dapur dan ke mana sahaja. Teruknya dia ni!
“Boleh pinjam tandas sekejap." Pintanya.
“Wei! Awak ni kenapa? Tak reti bahasa ke saya cakap mak dan ayah saya tak ada. Belum balik dari warung lagi.”
“Habis tu awak tak ke warung ke?”
“Yang awak sibuk ni kenapa?”
Fahmi masih tersengih. Dia ni betul-betul menguji kesabaranku. Pakaiannya seperti nelayan yang mahu turun ke laut. Sejak berada di kampung ni, penampilan dia dah banyak berubah. Dalam masa yang sama otak aku mula terfikirkan cadangan jahat. Rasanya boleh aku kenakan dia kut.
Aku dah fikir semasak-masaknya. Boleh juga benarkan dia pinjam tandas. Dan masa tu bolehlah aku kenakan dia. Tapi… eh mana boleh macam ni takkan aku sanggup buat fitnah pulak? Kalau orang kampung nampak bagaimana? Aku pula yang difitnah mereka. Keluarga aku pula mendapat malu. Ah! Peduli!
“Awak nak tumpang tandas ke? Boleh je… masuklah…” Aku berpura-pura. Dari seorang gadis yang pemarah tiba-tiba bertutur lembut gigi dari lidah. Harap dia tak perasan.
“Mari Mira… masuk ke dalam.” Ucapnya kepada seseorang.
Aku tercengang apabila melihat Mira budak perempuan berusia 8 tahun itu mula melangkah masuk ke dalam rumah. Mira adik Bujet! Ceh! Pandainya lelaki itu mengatur strategi lebih awal. Tahu malu jugak Fahmi ni.
“Awak tak perlu perbodohkan saya…” Sinisnya kata-kata Fahmi ketika melewati aku dan terus mencari tandas. Dia buat rumah ni macam rumah dia je. Aku toleh semula ke arah Mira yang duduk di atas sofa. Aku segera mendapatkan Mira sepupu aku tu.
“Kenapa Mira datang dengan dia?”
“Mira datang dengan along sekali.” Jujur jawab Mira. Mata bundar Mira memandang tepat ke dalam mataku.
“Apa? Along? Mana dia?” Aku terkejut Mira kata datang dengan along. Along tu sudah tentulah Bujet. Sekutu ke mereka ni?
“Dalam kereta Abang Fahmi.”
“Abang? Kau panggil dia abang ke Mira? Dia tu layak jadi pakcik kau tau. Tak pun datuk kau. Tua sangat, tak nampak ke janggut dia tu? Janggut dia dah ada uban. Kalau dah ada uban tu dah tentu tua.” Sempat lagi aku mengumpat Fahmi.
“Entahlah…” Mira tak berminat mengikuti sesi mengumpat. Budak kecil macam Mira mana tahu apa-apa kut.
“Tu, kali ni baju siapa yang dia pakai tu?”
“Baju arwah abah.” Perlahan suara Mira lalu tunduk.
“Baju arwah abah? Dia tu memang nak kena. Semua pakaian orang dia nak try. Lepas ni dia try baju perempuan pulak lagi bagus.”
“Kalau itu yang awak nak. Saya sanggup melakukannya.” Tiba-tiba Fahmi mencelah. Dah siap ke tandas ke? Cepatnya? Ish!
Sepantas kilat aku menoleh Fahmi yang tercegat dekat penjuru pintu masuk ke dapur. Dari situ aku membulatkan biji mata dan merenung tajam pula ke arahnya sambil bercekak pinggang. Aku tahu dia selalu curi dengar perbualan aku. Argh! Aku betul-betul geram.
“Kalau awak mati sekalipun saya tak kisah la. Kenapa awak pakai baju arwah abah Mira? Awak memang tak kisahkan kesedihan orang lain ke?" Aku ingin tahu apa jawapannya.
“Ni?” katanya sambil menunjukkan baju yang dipakainya.
Aku mengangguk laju.
“Mak Pah yang benarkan saya pakai baju ni. Awak janganlah nak marah-marah saya. Lagipun baju ni kan baju arwah pak cik saya jugak. Tak salah kalau saya pakai?”
“Eee!!!” Aku mengumam geram. Dia pakai baju orang dah mati.
“Saya tahu apa yang awak fikirkan.” Ucap Fahmi sambil melangkah. Mira pula hanya memerhatikan sahaja pertingkahan di antara aku dan Fahmi yang dipanggil ‘Abang Fahmi’ oleh Mira. Yuck!
“Apa?”
“Jika pakaian bundle yang berlambak dekat pasaran tu dibeli orang, adakah kita tahu tuannya itu sudah mati atau pun tidak? Pakaian yang dimiliki oleh orang yang sudah meninggal dunia tidak haram dipakai tetapi pakaian yang menjolok mata dan seksi itu adalah haram dipakai bagi setiap wanita atau pun lelaki muslim. Faham?”
“Awak bercakap macam tu sebab awak seorang lelaki yang hipokrit. Lelaki bandar semuanya sama suka berfoya-foya. Mana ambil peduli semua tu. Cakap fasal agama seolah-olah lebih arif daripada ustaz. Jangan nak pandai-pandai menjatuhkan hukum jika awak sendiri tak pasti.” Aku menjeling.
“Itulah metaliti gadis kampung macam awak. Duduk terperap dekat kampung je, otak langsung tak berkembang. Ada televisyen hanya tahu tengok rancangan hiburan. Ada kitab tak nak rujuk, sibuk khatam novel je. Dengar cerita, novel sangup dikhatamkan berpuluh-puluh kali, entah kitab suci Al-Quran berapa kali khatam pun tak tahu. Jangan-jangan tak pernah khatam langsung.” Perh! Lancang sungguh mulut dia berkata-kata.Rasa nak cilikan aje. Telinga aku bagaikan dicucuk-cucuk dengan besi panas. Hati aku pula dah membara mendengar bedilan ucapannya itu berbau fitnah.
Tersentap aku mendengarnya. Fahmi betul-betul buat aku bengang. Dia ambil peduli semua hal aku. Hobi aku, cita-cita aku. Tapi dari mana dia dapat tahu? Adakah dari Mak Pah? Atau… Ecah? Ecah ke? Grrr…
“Apa yang awak nampak sekarang? Adakah saya berpakaian seksi dan menjolok mata? Setahu saya, saya tak pernah dedahkan aurat pada orang yang bukan muhrim saya. Awak dah salah anggap tentang saya. Awak dah buat fitnah terhadap saya.”
“Ada saya kata awak?”
“Awak kata gadis kampung macam saya.”
“Ya, memang gadis kampung macam awak tapi metaliti awak. Saya tak sentuh soal penampilan awak pun. Bagi saya… penampilan awak tu sangat menganggumkan…” Balasnya yang kemudian melangkah menuju ke beranda rumahku. Mira juga turut bangun mengekori Fahmi dari belakang. Mira dah jadi sekutu dia agaknya. Atau sudah berapa sen dirasuah budak kecil tu? Hurm…
“Mira…” Panggil ku tapi Mira tak pandang aku.
“Kak Aya makin garang sekarang.” Jawab Mira dan terus melangkah turun. Aku kaku sendiri di situ sambil mengeluh sedalam-dalamnya.
Jikaulau itu yang diperkatakan oleh Fahmi sebentar tadi nampaknya ada sesuatu yang dicarinya. Aku pun hairan kenapa aku dia mahu. Kenapa harus aku dimilikinya? Hati aku bukan untuk Fahmi. Hatiku untuk buku-buku yang menanti di universiti. Aku nak sambung belajar dan aku nak jadi peguam. Itulah cita-cita aku. Jika ibu tegar memaksa aku kahwin dengan lelaki bernama Fahmi atau juga Bujet, masa hadapan aku tetap juga kabur. Aku mahu menjadi seorang penguam! Peguam!!! Teriak hatiku yang sarat dengan kesengsaraan ini. Nak jadi peguam tapi kena ambil kelas menjahit dengan Mak Pah. Ala bencinya…


KATAKANLAH sesuatu Ecah. Aku mahukan pandangan hebatmu. Kenapa kau tak jawab telefon aku? Mata aku tertancap pada skrin telefon. Sekali lagi aku menghubungi Ecah namun Ecah tidak menjawab panggilan aku.
Aku berada di dalam keramaian. Aku duduk di bahagian kanopi perempuan. Di situ terdapat lauk pauk terhidang untuk hadirin yang hadir. Ibu aku sibuk dengan rakan-rakannya. Ayah aku juga begitu. Sekarang aku rasa sendirian biarpun kiri dan kananku ada orang kampung.
“Kau anak Fatimah kan?” Aku ditegur oleh seorang makcik. Dia memandang pelik padaku. Telefon bimbit aku masukkan semual ke dalam tas tangan.
“Ya saya. Kenapa makcik?” Tanyaku. Makcik yang berusia lingkungan 50an itu duduk di sebelah aku.
“Tak makan ke?” Tanya makcik berkulit cerah itu.
“Saya tak makan daging.” Beritahu aku padanya. “Alergi.” Sambungku lagi.
“Rugi betul tak makan. Mak kamu mana? Dah lama tak tengok dia.”
“Makcik ni siapa?”
“Kau tak kenal aku Aya? Masa kecil-kecil dulu aku yang bedung kau. Kau nakal sangat masa kecil.” Komennya. Alahai… adakah ini sesi imbas kembali?
“Siapa?”
“Aku ni janda ayah kau.”
“Erk!” Menyirap darah aku mendengarnya. Tak sangka ayah aku kahwin dua. Eh?
“Bila masa pula ayah saya kahwin dengan makcik?” Tanya aku kehairanan. Aku tak kenal dia pun. Kalau ada pun aku ingat-ingat lupa. Lagipun makcik ni bukannya femous macam artis. Kalau dia ni artis sekalipun aku tak berminat nak ambil peduli. Tambahan pula artis baru banyak keluar di dada-dada akhbar dengan gosip yang kurang menyenangkan. Dunia hiburan ni macam-macam. Oleh sebab itu aku kurang mengambil berat memandangkan ada yang bersikap terlalu egois sehingga hal agama pun boleh dibuat main dan seringkali mempertikaikannya.
Dahulu aku dengan Ecah pernah berdebat sakan mengenai industri hiburan tanah air yang kini semakin menyimpang jauh dari landasan. Ecah dengan pendapatnya yang tersendiri. Katanya ‘Selamatkan akidah artis,’ macam mana nak selamat akidah jika soal hukum hakam dikotak-katikkan? Balas Ecah, mereka perlukan bimbingan. Aku setuju namun sejauh mana realiti ini akan terus bermaharajalela di bumi Tuhan?
Artis yang baik adalah artis yang menjaga akidahnya. Artis yang menggunakan kelebihan yang ada ke jalan Allah. Bagi aku ia tak salah tetapi yang salah adalah caranya sahaja. Faktor yang menyebabkan terjerumusnya seseorang artis ke arah maksiat adalah kecetekan ilmu agamanya. Itulah yang menyebabkan ramai yang terbabas dan bercakap mengikuti perasaan tanpa berpaksikan hukum.
“Eh Dibah… lama tak nampak kau.” Ibu aku muncul berlenggang mendekati makcik yang dipanggil Dibah oleh ibuku. Aku berkerut dahi. Dibah? Tak pernah dengar pun nama tu sebelum ni.
“Begitulah, Endut jemput aku datang.” Makcik Dibah sempat menjeling ke arah aku yang turut berdiri di sebelah ibu. “Dah besar panjang anak gadis kau ni ye Mah, cantik…” Puji Makcik Dibah membuatkan aku tersipu-sipu malu.
“Yalah, tak lama lagi dia pula bakal jadi isteri orang.” Ibu aku keluarkan gosip panas.
“Mak.” Itu aje yang mampu aku ucapkan. Ibuku cepat mencubit lengan aku sambil diperhatikan oleh Makcik Dibah. “Apa ni mak…” Aku melirih nada.
“Ya ke dah nak kahwin, siapa lelaki bertuah tu Mah?”
“Nanti aku beritahu kau ye.” Ucap Ibu seraya menoleh ke arah aku. Lantas tangan aku ditarik supaya beredar dari situ. “Aku balik dulu la ye Dibah. Jemputlah datang ke rumah ye bila senang.” Ibu melanjutkan kata-katanya menyampaikan pelawaan. Makcik Dibah menguntumkan senyuman ke arah kami.
Aku menurut langkah ibu mendekati kereta. Ini yang aku tak sedap. Kenapa aku perlu naik kereta si poyo tu? Mak aku ni pun satu hal biarkan anak gadisnya ini naik kereta bersama lelaki poyo tu. Dah lah Bujet pun ada sekali. Mak dan ayah sesenang naik kereta lain.
“Tunggu sini, kejap lagi Fahmi datang. Dia dah nak bersiap tu…” Kata Ibu sambil memerhatikan bahagian kanopi pihak lelaki. Aku turut melihat maka terpacak Fahmi sedang menunggu giliran untuk mencuci tangan. Belakang Fahmi kelihatan Bujet berwajah murung. Sungguh berbeza sekali riak wajah mereka berdua.
“Siapa Makcik Dibah tu mak? Tak pernah nampak pun.” Aku benar-benar ingin tahu mengenai wanita itu.
Ibu membetulkan tali tas tangannya di bahu supaya kelihatan selesa. Aku juga begitu dan kemudian memandang semula ke wajah ibu kesayanganku. Mulut ibu aku terkumat-kamit seperti membebel tanpa suara.
“Tak payahlah kamu tahu.” Ibu menoleh ke lain arah. Sejak bila ibu pandai berahsia ni? Aku pun bertambah sangsi.
“Tapi dia kata dia tu janda ayah.”
“Dia cakap macam tu ke?” Laju ibu menjawab bersama biji mata membulat besar. Ekspresi wajah yang terkejut.
“Ya la mak... kerana dia jawab macam tu lah Aya nak tahu… Betul ke?” Sekali lagi aku mahukan kepastian.
“Erm…” Jawab ibu. Gaya ibu seolah-olah terus mahu merahsiakan hal itu. Aku berhak mengetahui kebenarannya. Aku ingin tahu jawapan yang pasti bukannya ditinggalkan dengan teka-teki yang menyakitkan hati seperti itu.
Eh? Mana Mira? Tiba-tiba baru aku teringatkan Mira. Tadi dia ada dekat sebelah aku. Ketiadaan Mira begitu mendebarkan aku. Mana budak ni pergi? Aku sudah mula bimbang. Suasana yang hingar bingar membangkitkan lagi kehangatan. Sinar matahari pada petang itu juga menambahkan juga tahap kepanasan hati yang sedang menunggu makhluk itu sampai ke kereta.
“Mak!”
Ibu menoleh sambil mengangkat kening.
“Mana Mira?”
“Bukan ke dia bersama kamu tadi, Aya?” Balas ibu.
Habislah aku, macam mana aku nak menjawab dengan Mak Pah nanti? Eh? Tapi… Fahmi yang bawa dia. Apa pula aku nak kisah. Bujet pun ada juga, mereka harus bertanggungjawab bukannya aku. Tapi kau di amanah jaga dia tadi! Kata-kata dalam kepala menyalahkan diriku.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.