Entri Terkini :

Mesin Jahit Hati - 4

UNTUK melupakan seketika masalah yang melanda, kopi panas disisip perlahan. Aroma kopi yang menusuk rongga begitu menyegarkan. Akan tetapi aku silap pilih ‘port’.
“Ambil order pelanggan tu cepat.” Arah ibu. Kan aku dah kata aku dah salah tempat. Sekarang mana boleh aku berehat. Hari ini aku membantu ibu di warung. Ayah aku pula awal-awal pagi dah bertolak pergi kerja. Seorang subkontroktor binaan di sebuah taman yang sedang giat dibangunkan. Tak lama lagi ayah dan ibu aku akan pindah ke rumah baru. Rumah yang lebih luas dan selesa. Alhamdulillah kami sekeluarga akan tinggal di dalam rumah batu pula. Hasil kerja ayahku mendapat keberkatan. Sesungguhnya pencarian harta dari sumber yang halal menjamin keberkatan di sisi Ilahi. Dua minggu lagi dah boleh tinggal di situ.
“Apa yang kau duk termenung lagi tu? Pelanggan dah tunggu.” Suara ibu menyengat lagi. Lambat-lambat aku bangun.
“Nak rehat sikit pun tak boleh.” Desisku perlahan.
“Buat kerja sikit dah merungut.” Rengutan aku terus ditempelak ibu yang yang sedang membungkus nasi lemak pelanggan yang lain.
Sebaik sahaja aku bangun untuk mengambil pesanan, langkah aku terus kaku. Dia lagi! Argh! Tak ada orang lain ke yang nak datang warung ni selain dia? Terbuntang biji mata aku melihat muka dia yang tersengih-sengih melihat aku.
“Kenapa? Terkejut?” Fahmi tersengih-sengih. Senyuman itu begitu menjengkelkan aku.
Seluruh tubuhku bagaikan digam. Statik tak mampu digerakkan. Sungguh luar biasa perasaan terkejut aku melihat dia memakai pakain seperti budak kampung sahaja. Seluarnya dilipat sehingga ke paras betis. Hari ini dia tak pakai kasut dan hanya mengenakan selipar cap Jepun! Baju yang dipakainya adalah baju lusuh. Sah! Aku pernah nampak seseorang memakai baju itu. Ceh! Tu baju Bujet. Berkongsi baju nampaknya. Baju bercorak kotak-kotak merah dan putih.
“Berapa banyak warung dekat kampung ni kenapa warung mak saya juga yang awak pilih?” Hanya ityu pertanyaan yang terpacul dari mulut aku.
“Warung bakal mertua…” Selamba jawabnya.
Excuse me… awak cakap apa tadi? Tak dengarlah.” Aku berpura-pura tak dengar.
“Bakal mertua.” Ulangnya.
“Kejap! Kenapa pakai baju sama dengan apron saya?” Aku perasan corak baju yang dipakai Fahmi sama dengan corak apron aku. Geramnya!
“Kebetulan kut.” Fahmi duduk sambil menopang dagu. “Boleh ambil pesanan saya tak? Saya lapar ni.”
“Ambil sendiri!” Jawabku angkuh kerana lelaki yang ada di hadapan aku juga angkuh. Biar sama-sama angkuh baru padan muka dia. Dia fikir, dia anak dato` ada aku hairan ke?
“Amboi kasarnya bahasa.” Fahmi mempertikaikan layanan aku.
“Aya… jangan layan pelanggan kita macam tu…” Ibu aku mencelah. Ibu pun sama aje. Kenapa harus dimenangkan lelaki bernama Fahmi itu?
“Iyalah. Erm nak minum apa Encik Fahmi?”
“Minuman apa yang paling best dekat warung ni?”
Aku memalsukan senyuman memberi layanan terbaik bertaraf lima bintang. Kononnyalah…
“Minuman berperisa racun tikus, nak?”
“Boleh juga. Saya sanggup mati untuk awak.”
“Erk?!”


TANGAN Ecah digenggam erat-erat. Aku merayu pada Ecah supaya membantu insan tersempit seperti aku yang dilanda musibah paling malang dalam dunia ni.  Aku dengan Ecah lepak tepi pantai. Kalau aku rasa rimas aku akan bersantai di situ di sebuah wakaf. Gadis yang bernama Ecah memiliki paras rupa yang cantik, kulitnya putih gebu sebagaimana aku. Bulu kening Ecah agak lebat sedikit berbanding aku. Ecah pernah berhasrat untuk cukur bulu keningnya itu tetapi aku menghalang kerana perbuatan itu adalah haram di sisi agama. Biarlah ciptaan Tuhan tidak diubah cuma kita perlu menjaganya sahaja.
Sebagai seorang yang dilahirkan sebagai wanita, banyak aturcara hidup yang telah ditetapkan oleh syarak maka jangan sesekali ia dilanggar. Aku tahu wanita seperti aku tidak akan terlepas dari godaan maka aku bersiap sedia menghadapinya supaya aku berada di bawah lindungan-Nya. Menjadi hamba yang dikasihi-Nya. Itulah harapan tinggiku. Harapan akan tinggal harapan sekiranya tiada usaha yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Aku cukup bimbang, di atas sikap lalai dan leka ku nanti akan membuatkan aku semakin jauh dari Tuhan.
Wajah Ecah dipandang lama. Ecah berkelip mata dan melepaskan genggaman tanganku. Dia mengeluh halus dan melemparkan pandangan ke arah laut. Ecah menggeleng perlahan. Aku yakin Ecah turut merasakan masalah aku ini adalah rumit.
“Kau ada idea Cah?”
“Buat masa ni tak ada. Pelik juga masalah kau ni Aya. Aku tak tahu macam mana nak fikir kerana aku rasa lain macam aje tindakan mak kau tu. Dahlah tak bagi kau sambung belajar. Alasan pula remeh, tak mampu nak tanggung pembelajaran kau nanti.” Komen Ecah pada apa yang berlaku. “Aya…” Ecah memandang aku.
“Teruskan Cah, aku dengar ni.” Aku mahu mendengar ucapan seterusnya.
“Kalau keputusan SPM aku baik, aku nak sambung belajar lagi. Tapi nampaknya kita akan terpisah buat sementara waktu.”
“Keputusan keluar lambat lagi, dalam bulan tiga kut.” Jawabku berpura-pura tidak rasa apa-apa sedangkan Ecah sudah mengatur rancangan tersendiri. Bagaimana aku? Ingins ambung belajar, ibu aku pula menghalang. Alahai…
“Memang, tapi aku kasihankan kau. Takkan kau nak kahwin jugak?”
“Eh, siapa kata aku nak kahwin?” Cepat aku bertingkah.
“Alahai Aya, kalau kau dah kena paksa macam tu, nak tak nak kau kena kahwin jugak. Aku pulak nak bina hidup aku sendiri. Kalau malas nak fikir soal kahwin buat masa ni. Kita masih muda lagi, banyak benda yang kita kena buat. Aku pun nak rasa juga hidup dekat bandar tu. Ada kereta mewah, ada rumah besar.”
“Ha! Kan elok kau aje yang kahwin dengan Mat Romeo dari bandar tu? Dia kaya, anak dato` lagi. Taste kau kut…” Aku mengusik Ecah dan Ecah terus berkerut dahi memandang aku sedalam-dalamnya.
“Selepas dengar apa yang kau cerita, aku tak ingin lelaki macam tu. Minta dijauhkan. Lagipun aku tak nak fikir soal kahwin. Kan aku dah kata tadi aku nak belajar dulu. Aku nak jadi doktor, itulah cita-cita aku sejak kecil. Kalau aku dipaksa kahwin sebagaimana kau alamaknya hanguslah cita-cita aku tu. Hari-hari nak kena masak untuk suami, basuh pakaian dia, teman dia. Macam tak best je tak boleh bersosial. Jadi seorang isteri ni besar tanggungjawabnya. Tu belum jadi seorang ibu lagi. Ada anak bertambah malang la hidup ni. Nak kena jaga dan susukan anak-anak. Suami pula merayap entah ke mana cari perempuan lain. Lelaki zaman sekarang ni bukan boleh dipercayai sangat.” Huh! Ecah komen dengan panjang lebar. Takut pula aku mendengarnya.
“Kau ni dah terpengaruh dengan telenovela dekat tv tu kut. Sebab tu kau fobia.”
“Jadi kau suka?”
“Erk? Tak kut. Aku tak suka.”
“Tahu pun…” Balas Ecah.
“Walau bagaimana pun, kau kena percayakan jugak soal jodoh ni. Kalau kau dah ditakdirkan bersama lelaki bandar tu, apa boleh buat. Lagipun itu yang mak kau nak kan. Kalau kau tak suka, apa kata kau bawa diri berhijrah.”
“Itu yang pernah aku fikirkan sebelum ni Cah. Rasa macam nak larikan diri je.” Aku membetulkan kedudukan dan melentokkan kepala pada tiang wakaf. Bingung memikirkan hal itu.
“Dah tu? Apa lagi kau tunggu?”
“Gila la kau ni Cah. Kalau aku buat macam tu, aku jadi anak durhaka tau tak? Dalam Neraka tempat aku nanti. Aku tak nak la.”
“Kalau macam tu kau tunggu la sampai kau kahwin.”
“Argh!”
“Tak payah nak mengamuk dekat sini. Aku lempang kang.” Ecah mengacah tangannya untuk lempang aku.
“Lempanglah aku jika itu akan membuatkan aku tersedar dari mimpi ngeri ini.” Balasku. Aku pun turun dari dudukku di lantai wakaf itu dan berdiri menghadap Ecah. “Boleh tak kita fikirkan bagaimana caranya untuk mengusir lelaki tu keluar daripada kampung ni?”
“Macam mana dia nak keluar daripada kampung ni Aya… sedangkan dia ada saudara mara dekat sini. Dia ada Bujet sepupunya dan Bujet juga merangkap sepupu kau. Ada faham?”
Aku terus membetulkan sedikit kedudukan tudung yang sedikit sengat. Aku inginkan keselesaan maka aku beralih tempat duduk di sebelah kiri Ecah pula. Sejujurnya aku memang tak senang duduk.
“Selagi dia ada dekat rumah Mak Pah aku tu, macam mana aku nak belajar menjahit? Dia asyik intai aku je. Rimaslah!”
“Kalau dengan Bujet boleh pulak kau hadap? Dengan Fahmi kau tak suka pulak, pelik la kau ni Aya. Kalau Bujet kau boleh ignore je, takkan si Fahmi tu tak boleh kut?”
“Bujet tu lain Ecah, dia tu kita kenal sejak kecil lagi tetapi lelaki bandar tu pulak baru sekarang ni je muncul dalam hidup aku. Dahlah tua.”
“Tiga puluh dua tahunkan usianya kan?” Ecah cuba meneka.
“Dari mana kau tahu?”
“Dari luarannya memang tak nampak tua sangat pun. Usia hanya angka right? Jadi kalau dah sampai seru, lebih baik kau kahwin aje la Aya, habis cerita.”
“Kau macam sokong je plan mak aku tu.”
At least kau tak terus dibebani persoalan. Erm… kalau aku tanya kau satu soalan kau jangan marah ya?” Kata Ecah meminta keizinan. Berdebar pula jantung aku ni ibarat taufan sedang menggila melanggar pekan. Ecah ni buat suspens je. Aku terus mengangguk perlahan tanda aku takkan marah padanya.
“Mak kau suruh kau kahwin dengan Fahmi tu sebab harta ke?”
“Ecah…”
“Kau dah angguk tak akan marah kan?”
“Hurm…” Aku mengeluh.
Ecah terus gelak.
“Kenapa kau gelak?”
“Kes kahwin paksa ni klise dalam novel.” Katanya.
Memang nak kena dia ni! Aku mengumam geram dalam hati. Sememngnya ini yang selalu terjadi. Nak buat macam mana. Suruh kahwin muda menglibatkan soal harta. Soal apa sahaja yang boleh mendatangkan keuntungan akan diusahakan sampai ke lubang cacing. Mak aku tu yang tak faham sebenarnya. Dan Ecah pun tak mengerti, ini tiada kena mengena dengan novel. Ini adalah tentang kehidupan. Ya Allah, kau sedarkanlah kawan aku ni daripada terus berkhayal dalam dimensinya yang bukan-bukan.


SELEPAS aku menghabiskan waktu petang bersama Ecah kini aku bergegas mendapatkan barang yang dipesan ibu. Aku ke kedai Runcit Ali mencari santan. Akhirnya aku berjaya mendapatkannya dan menyambung hasrat untuk pulang setelah waktu kian suntuk. Walaupun sinar mentari beransur tenggelam di ufuk barat, aku masih berlengah kerana fikiran aku fokus pada masalah peribadi aku. Masih memikirkan cara untuk mengusir Fahmi. Kalau Ecah tak nak tolong tak apa, biar aku lakukan sendiri! Nekad aku.
Basikal kukayuh perlahan-lahan namun kayuhan ini semakin lama semakin perlahan dan ia terasa sangat berat. Kenapa pula tiba-tiba susah nak kayuh ni? Aku merungut sendirian. Sudahlah lambat nak balik rumah bila dah lambat nanti ibu aku meradang. Habislah aku. Santan ada dalam raga basikal aku ni. Ibu aku suruh cepat tapi sudah dilengah-lengahkan secara tidak sengaja. Aku turun dari basikal dan memerhatikan keadaan tayar belakang basikal milikku itu. Aduhai… siapa punya kerja ni buang perca kain merata-rata, tak fasal terbelit dekat rim basikal aku. Patutlah berat semacam. Yang aku ni pula apa hal tak tengok betul-betul sebelum lalu? Isy! Main lalu sahaja.
Aku menyalahkan diriku sendiri sedangkan aku tak terfikir langsung pun ada orang sengaja buat macam tu. Apabila Bujet muncul barulah otak aku menciptakan ramalan bahawa Bujet yang punya angkara. Bujet telah melakukan jenayah buli terhadap aku. Itulah sangkaan aku.
Bujet sedang kayuh basikal dan dia lalu tepi aku siap bersiul-siul lagi. Aku yang ada dekat bahu jalan yang tak berturap ni dia boleh buat tak nampak. Kurang asam punya Bujet!
“Jet!” Dia langsung tak menoleh. Aku terus lari dan kejar. Aku tarik basikalnya supaya dia berhenti. Aku terpaksa bertindak macam orang hilang akal.
“Apa ni main tarik basikal aku?” Marah Bujet menoleh laju ke arah aku sambil kakinya menongkat basikal.
“Kau khianat basikal aku ye?”
“Eh? Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba tuduh aku yang khianat. Apa kes?” Jawab Bujet berkerut dahi sambil merenung tajam ke arah aku. Bujet turun dari basikalnya. Aku pula merengus geram tengok muka Bujet bertahi lalat besar di pipi kanannya itu.
“Habis tu takkan kau tak nak tolong aku? Basikal aku tu ada problem.” Aku meminta sedikit simpati daripada Bujet.
“Suruhlah Abang Fahmi kau tu tengok-tengokkan. Erm, kau tak ada nombor phone dia ke? Nah ambil, ini business card dia. Kau call la dia ya, aku ada kerja nak buat. Selamat tinggal…” Bujet meneruskan kayuhan basikal laju-laju. Dia tinggalkan aku terpinga-pinga usai aku mengambil kad yang dihulurkan. Entah macam mana tangan aku terus sahaja menerima pemberian itu? Hairan sungguh aku mengenangkan sikap Bujet semenjak Fahmi menumpang di rumah Mak Pah.
Selalunya Bujet akan bertengang urat dengan aku tetapi kali ini lain macam sahaja. Dia macam tak endahkan aku malah diriku yang sedang menghadapi masalah ni pun dia tidak hulurkan bantuan. Hari tu dia pernah menawarkan bantuan tetapi sekarang macam tak wujud pula tawaran tu. Dasar lupa daratan! Geram benar aku terhadap dirinya.
Nampak gayanya aku kena selesaikan sendiri masalah basikal aku tu. Mungkin bukan Bujet yang buat. Mungkin juga ia adalah kebetulan. Baru sekarang otak aku menidakkan pula tindakan Bujet. Mudah betul berubah tanggapan. Aku menggaru kepala yang tidak gatal setelah puas menelaah sikap Bujet yang ganjil itu namun menemui kebuntuan.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.