Entri Terkini :

Mesin Jahit Hati - 3

SELURUH tubuhku bergetar seperti terkena renjatan elektrik. Semua ini gara-gara Fahmi. Tindakan gila dari lelaki itu membuatkan aku jadi marah. Aku merenung tajam ke dalam matanya. Dia yang tak ku kenal memaksa aku naik keretanya. Aku enggan dan sememangnya aku tidak mahu menurut kehendaknya. Awal pagi begini aku sudah naik angin. Ah! Lelaki pemaksa! Teriak hati aku yang tidak senang terhadap cara Fahmi lelaki yang berkulit sawa matang berambut pacak. Cara dan penampilannya lagak orang muda. Peragai pun macam orang muda. Dia fikir dia sebaya aku ke?
“Apa ni main paksa-paksa orang?”
“Saya nak ajak awak pergi sarapan pun payah ke?”
“Masalahnya, saya nak belajar menjahit. Awak ni siapa nak paksa-paksa orang? Basikal saya tu siapa nak simpan? Terbiar dekat sini nanti entah budak mana pulak yang curi basikal saya tu.” Aku membebel mengenangkan basikal aku terbiar di tepi jalan. Kalau ada orang yang jenis kutip besi buruk dan jual siapa nak disalahkan? Aku bingung mengenangkan sikap lelaki itu.
“Basikal awak tu saya boleh beli sepuluh kalau awak mahu.” Katanya dengan angkuh.
“Saya tak nak! Awak nak apa sebenarnya ni hah?”
“Nama saya Muhammad Hairul Fahmi anak saudara kepada Zarifah Binti Yakob, isteri kepada Allahyarham Nizam yang merupakan pakcik saya. Arwah Nizam adalah abang kepada mama saya, Datin Sabriah isteri kepada Dato` Harun seorang ahli perniagaan yang berjaya di kota. Saya datang sini nak meminang awak dan mahu menjadikan awak sebagai isteri saya yang sah.” Dengan selamba dia menceritakan latar belakang dan kedudukannya kepada aku. Dia fikir aku hairan sangat ke?
“Saya tak peduli awak ni anak Dato` ke anak Tan Sri ke, semua akan mati juga. Yang saya kisahkan sangat ni kenapa awak cari saya? Kenal awak pun tidak ada hati nak kahwin dengan kita.” Balas aku menjeling kepadanya. Aku masih duduk dalam keretanya. Dia masih berdiri di luar menghalang niat aku untuk keluar semula dari kereta.
“Oh, saya tak peduli juga apa yang awak nak kata. Yang pastinya awak akan jadi isteri saya.”
“Eh tolong sikit. Siapa nak jadi isteri awak? Please la. Saya bukan  perempuan yang pandang apa yang awak ada. I don’t care la.” Aku menjeling lagi. Macam mana aku nak keluar dari kereta ni? Rimas sungguh aku menghadap lelaki jenis perasan macam ni.
“Kalau awak nak saya duduk sini pun tak apa.” Dia tersenyum dan dengan selamba dia menutup pintu kereta. Sebaik sahaja ditutup aku cuba untuk keluar tetapi tak boleh. Kereta jenis apa ni siap boleh dikunci tanpa boleh dibuka dari dalam?
Dia melangkah dan masuk ke pintu sebelah tempat duduk pemandu. Udara pagi yang sepatutnya segar menjadi udara yang paling sesak. Nafas aku tak terurus langsung. Dada aku pula berombak rakus kerana ditempelak oleh Fahmi! Grrr!
“Kita pergi minum dulu okey. Erm… dekat mana kedai makan yang best? Saya belum sarapan lagi ni…” Dia tersenyum lagi. Aish! Geramnya aku melihat gaya senyuman seolah-olah menyindir itu.
“Ada saya kisah? Saya tak fahamlah awak ni lelaki jenis apa? Senang-senang awak paksa saya sedangkan awak tak kenal saya ni siapa. Saya ni perempuan paling jahat dalam kampung ni. Saya langsung tak sesuai untuk awak. Lagipun saya tak nak kahwin!”
“Owh! Bukan ke Hawa diciptakan sebagai peneman kaum Adam wahai Nur Badriyyah Binti Adnan? Awak nak menolak fitrah kejadian manusia ke?” Bidasnya kepada aku dan siap menyebut nama penuh aku. Berdesing telinga ini mendengar ucapan itu. Wah! Ini sudah mencabar tahap celik ilmuan yang aku pelajari. Mahu berdebat dengan aku agaknya. Dia dah fikir masak-masak ke? Tapi… aku mesti tegakkan hak aku. Mana boleh kaum Adam seperti Fahmi ni memperlekehkan hak dan kebebasan wanita.
“Jadi, kaum awak diciptakan untuk menyakiti hati kaum wanita ke? Senang-senang main tarik lengan orang lepas tu ditolak masuk ke dalam kereta. Saya boleh sue awak di makamah. Kes culik!”
“Daripada saya culik awak, lebih baik saya culik hati awak…” Katanya sambil menekan pedal minyak dan memulakan perjalanan.
Tertekan sungguh aku. Macam mana lelaki ni boleh muncul dalam kampung ni? Tak ada kampung lain lagi ke dia nak lepak? Kampung aku juga dia nak singgah. Lagi satu… macam mana Mak Pah boleh ada anak saudara macam ni? Oh… nak buat macam mana kan dah namanya lelaki. Tambah lagi memang patut pun dia jadi sepupu Bujet tu! Perangai lebih kurang sama, serumpun… sesuai sangat. Cuma… kenapa wanita seperti aku yang menjadi mangsa penderaan mental? Oh tidak!



AKU menghentak-hentakkan kaki sambil tunjuk perasaan. Derap kaki aku kedengaran kasar pada lantai kayu rumah. Perasaan tidak puas hati aku terjemahkan dalam perbuatan. Sepatutnya aku belajar menjahit tetapi aku batalkan niat itu kerana jiwa aku parah terluka. Ecah!!! Tolong aku! Kata-kata dalam kepala menjerit memanggil nama Ecah. Sekejap lagi aku nak call Ecah ajak jumpa. Dia mesti tolong aku macam mana nak settlekan Fahmi tu. Aku kena buat sepupu Bujet tu keluar daripada kampung ni. Otak aku mula memikirkan perkara yang jahat. Ngee…
“Macam mana sarapan tadi? Fahmi temankan?” Belum sempat aku masuk ke dalam bilik ibu aku muncul di belakang aku. Tersentak aku jadinya mendengar suara ibu menyebut nama Fahmi.
“Mak! Semua ni rancangan mak kan?” Aku terus menyalahkan ibu aku sendiri.
“Kenal-kenal la tu nanti lama-lama okey la tu. Mula-mula memang segan… macam mak dengan ayah kamu dulu pun macam jugak, malu-malu miau…” Ucap ibu aku seolah-olah cuba memancing aku supaya menerima Fahmi dalam hidupku. Sah! Ibu aku berangan-angan bermenantukananak orang kaya. Macamlah aku tak kenal perangai ibu sendiri.
“Mak cakap senanglah. Yang susahnya jiwa orang ni macam nak gila. Lelaki macam tu mak nak suruh saya kahwin? Dia tu annoying la mak. Tak sesuai dengan Aya.” Beritahu aku tentang sikap Fahmi.
“Jadi… kamu memilih Bujet?”
“Mak…”
“Nampaknya anak mak kena pilih satu di antara dua. Mak bagi tempoh seminggu lagi. Kalau kamu tak buat keputusan, maka mak akan pastikan kamu kahwin dengan Fahmi.” Beritahu ibu aku secara kasar.
Pilihan yang tak relevan. Dua-dua tak bagus. Jadi siapa yang bagus? Nampaknya aku kena bungkus pakaian aku dan lari dari rumah. Ini sahaja pilihan yang aku ada. Ya! Lari dari rumah. Otak aku menemui jawapan. Aku mesti keluar dari kampung ni. Eh? Betul ke tidak apa yang aku terfikir ni? Ia perkara yang begitu memalukan sekiranya aku bertindak sedemikian. Nampak sangat aku ni pengecut.
Tanpa menghiraukan ibu, aku terus masuk ke dalam bilik dan kemudian pintu itu ditutup serapat-rapatnya. Aku tersandar pada pintu sambil mengeluh. Lantas telefon bimbit dikeluarkan dari tas tangan. Setelah itu aku menghubungi orang yang sepatutnya aku hubungi.
“Help me.”
“Akhirnya kau call aku jugak?”
“Oit!”
Aku terus perhatikan nama yang tertera pada skrin telefon bimbit aku. Nama Ecah, ya dah betul tetapi kenapa suara jantan? Ini tak boleh jadi.
“Aya, pinjam duit.”
“Bujet! Kau mainkan aku ya! Aku yakin ni semua kerja kau. Macam mana kau boleh tukar nombor telefon aku ni?”
“Tadi, aku tukar. Kau tak perasan pun. Aku tahu kau ada masalah dan kau macam tak ada orang lain nak minta tolong. Kenapa asyik minta tolong dari Ecah je? Aku kan ada…” Jawab Bujet dengan nada yang lain dari yang lain. Ikhlas je kedengaran bunyinya. Berbau cemburu pun ada juga.
“Eh biarlah, dia kawan aku. Kau pulak selalu menyusahkan hidup aku. Please la… dan boleh tak dalam sehari kau jangan kacau aku?” Soalku mengharaplan belas kasihan daripada Bujet.
“Sehari aku tak kacau kau macam seribu tahun hidup aku kesunyian…”
‘tut… tut…’ panggilan terputus. Bateri telefon aku habis pula…
Telefon itu aku campakkan atas tilam seraya aku merebahkan tubuh aku juga di atas tilam. Siling rumah ditatap kosong. Ya Allah… dugaan apakah ini? Tengah hari aku habiskan dengan termenung. Ibu aku pula hari ni bercuti dan tidak berniaga jadi dia memang ada di rumah. Pintu diketuk pun aku tak layan. Aku tahu ibu aku panggil untuk makan tengah hari namun selera aku telah lenyap.



SEMEMANGNYA hidup dalam dilema seperti ini mengerikan. Seungguhnya tiada perkara lain yang mengerikan selain dipaksa kahwin. Memang orang muda seperti aku ini diwajibkan kahiwn awal? Atau ibu aku ada agenda lain? Bertubi-tubi otak aku ditumbuk dengan pertanyaan itu. Berdenyut-denyut kepala aku.
Usai solat Isyak aku berhasrat mendapatkan ayah aku. Aku yakin ayah aku sudah balik dari surau. Pada awalnya aku takut tetapi aku beranikan diri bertanyakan hal selanjutnya. Mungkin dengan cara ini aku akan dapatkan kepastian apa sebenarnya yang berlaku.
Ayah aku sibuk membaca sebuah kitab di ruang tamu. Dia sedang duduk di sofa. Di atas meja terhidang secawan kopi panas. Air itu sudah pasti dibancuh oleh ibu aku. Sekarang ni aku juga pasti ibu aku ada di dapur memandangkan aroma sambal nasi lemak menusuk rongga.
Perlahan-lahan aku melangkah selepas terjengul di pintu bilik. Aku melangkah supaya derap kaki aku tidak kendengaran. Setibanya dekat dengan ayah, aku pun terus melabuhkan punggung sambil memandang ayah.
“Ayah sihat?”
Sebaik sahaja aku ajukan pertanyaan itu, ayah terus memandang aku.
“Tak pernah-pernah kamu tanya ayah soalan macam tu? Buat tabiat ke apa?” Balas ayah aku selepas menyedari kewujudan aku. Usai bertanya ayah kembali menyambung bacaan.
“Erm… saya tengok ayah macam tak sihat je.”
“Yang tak sihatnya cuma kamu je Aya tanya soalan macam tu. Kalau ayah duduk dekat sini maknanya ayah masih sihat lagi. Masih boleh buat kerja. Ni ha, abang long tak cakap ke bila dia nak balik?”
“Ayah, selama ni kalau abang nak balik dia mesti beritahu ayah dulu kan? Dia takkan beritahu saya pun. Kak ngah pun macam tu jugak, akan beritahu ayah dulu. Nampak sangat ayah yang sebenarnya tak berapa sihat…” jawab aku selamba.
Ayah menutup kitab yang dibacanya dan kemudian diletakkan di atas meja. Ayah memandang aku lama-lama dan kemudian tersenyum. Aku fikir ayah akan marahkan aku bila aku jawab macam tu tetapi sangkaan aku meleset sama sekali. Mesti ada sesuatu yang sedang bermain difikiran ayah melihat keadaan aku yang sedang bermain dengan jari jemari sendiri.
“Bezanya mereka dengan kamu tu, mereka dah berumah tangga…” Ayah berkias.
“Ayah…”
“Kamu ikut ajelah apa cadangan mak kamu tu. Kalau kamu melawan nanti kan lain jadinya.” Ucap ayah ku lagi seolah-olah pasrah anak gadisnya ini berumahtangga.
“Masalahnya ayah, calon suami yang mak cadangkan tu langsung tak ada kreabiliti. Tak ada value yang boleh dibanggakan. Fahmi anak orang kaya tapi biabap. Bujet, sepupu Aya tak matang langsung.” Aku memberikan komen mengenai dua lelaki yang berbeza perwatakkan.
“Ayah lebih berkenan…” Belum sempat ayah habiskan kata-kata ibu aku muncul pula. Aku terpandang ibu sedang melangkah mendekati kami berdua.
“Walau apa pun alasan kamu Aya… mak tetap tunggu keputusan kau tu. Bujet yang tak matang tu akan warisi harta pusaka. Senang hidup kau nanti. Fahmi pula, anak dato` pun ada kekayaan tersendiri. Dia tu pewaris tunggal Dato` Harun. Tak ke senang hidup kamu nanti Aya. Apa lagi yang mak boleh harapkan daripada kamu sesudah mak kecewa dengan keputusan angah dan along kamu tu yang berkahwin dengan pilihan mereka sendiri. Sekarang giliran kamu untuk menentukan sama ada kamu mahu menggembirakan hati dan dan ayah ni.” Beritahu ibu sambil melabuhkan punggung di sebelah ayah. Biacara ibu tiada berkias lagi. Aku sempat menjeling ke arah ayah. Riak wajah ayah lain macam seolah-olah berbeza pendapat dengan ibu.
Aku dah kata, ibu aku tu memang tak faham perasaan aku. Ibu hanya mahu aku kotakan keinganannya sahaja. Angan-angan ibu lebih penting daripada kebahagiaan aku. Kadangkala aku rasa semua ini tidak adil.
Kata-kata ibu tadi jelas menunjukkan bahawa harta menjadi tujuan utama ibu. Oh! Kebiasaan memang begitu. Tergamak sungguh dijadikan aku sebagai bahan perantaraan dunia metarialistik yang tak realistik.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.