Entri Terkini :

Novel : Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 13)



PERBELANJAAN bagi pembelajaran mestilah terancang. Bukan apa, semuanya mahu jaga duit poket dan tidak mahu pembaziran berlaku. Kalau makan, makan sahaja ala kadar. Menjadi pelajar bukan bererti mesti hidup seperti orang kaya raya. Belajar pun guna duit pinjaman. Jadi mesti berjimat cermat dalam berbelanja. Balik sahaja dari kelas, perut mula berkeroncong maka berasaplah periuk elektrik dalam bilik. Masak nasi putih sahaja kemudian nasi itu digaul kicap. Telur goreng memang dibeli di kafe dan dibawa balik ke bilik. Memang begitulah makanan Hazrina. Bukan dia kedekut untuk berbelanja tetapi hujung-hujung bulan memang begitu jadinya.
Bukan mahu hipokrit. Kalau dia makan nasi begitu dalam bilik pun tiada siapa yang tahu kecuali Noris yang sudah berani ikut makan bersama tanpa was-was. Nasi kicap sungguh sedap dinikmati bersama telur goreng yang digaul bersama-sama. Buat alas perut. Kalau mahu makan sedap maka mereka pergilah makan ke mana-mana kedai.
Dalam enak menjamu selera sambil duduk bersila di atas jubin lantai, Noris pandang Hazrina. Wajah itu sayu dan kali ini Noris rasa sebak melihat cara hidup mereka di kolej.
“Kenapa kau ajar aku makan nasi macam ni, Rin?”
“Makan macam ni seronok…” Jawab Hazrina.
“Yalah seronok tapi setiap kali kau makan, kau suka menangis.”
“Mana ada.”
“Kau jangan sorok daripada aku, Rin.” Noris sering dihidangkan dengan air mata.
Asyik-asyik air mata yang jadi peneman Hazrina. Mana boleh begini. Sekiranya selalu menangis sahaja nanti bilik ini ditenggelami air. Cukuplah menangis kerana tangisan sebegitu tidak bermakna namun bagi Hazrina, dia mengenangkan keperitan. Perti apabila hidup dalam kesusahan. Walau ada di antara manusia yang hidup senang, ada kalanya mereka jarang melihat orang yang berada di bawah. Malah ada yang suka menindas.
Makanan yang ada perlu disyukuri. Hazrina duduk bersila mengenangkan kenangan yang menjadi duri di mana hidup mereka sekeluarga susah. Menjadi anak sulung dalam keluarga memang besar tanggungjawabnya. Segalanya dikongsi bersama Noris dan sahabatnya itu tahu segala-galanya tentang derita hidup. Kecuali hal ini. Hal hati dan perasaan.
“Aku rindukan Awan.”
“Tapi dia dah hancurkan hati kau. Dia diamkan diri.”
“Bard beritahu aku yang Awan kemalangan.”
“Jadi kau masih percayakan si Badrul tu? Sudah-sudahlah tu Rin. Tak guna kau layan mereka berdua. Aku rasa Bard dengan Awan tu sama je. Dua-dua buruk perangai. Harapkan muka je handsome tapi hati busuk!” Marah Noris sambil letak pinggan nasi atas lantai semula. Hilang pulak selera aku! Bentak hatinya.
Dalam minda hanya ada nama Hazwan. Tentang Badrul pula adalah memori hitam. Sekarang apa yang pahit adalah mengenangkan sikap Hazwan yang begitu sambil lewa dalam menilai hati Hazrina yang sarat menanti tetapi dikecewakan dengan mungkirnya janji seorang lelaki terhadap wanita.
Tidak adil bagi seorang wanita menagih janji dan mengharapkan seorang lelaki menepati apa yang diucapkan. Dia pun tidak sangka akan berhadapan dengan lelaki hipokrit. Berpura-pura baik walaupun pada awak perkenalan begitu egois. Tidak mudah bagi Hazrina melupakan kedua-duanya.
Hazrinna sebak di dalam dada dan air mata menzahirkan kekecewaan. Noris pula sudah bosann melihat keadaan sedemikian dan nekad tidak mahu membiarkan Hazrina terlalu lurus atau terlalu optimis terhadap lelaki yang banyak memberikan kekecewaan.
Bahu Noris ditepuk.
“Cukuplah. Aku tak selera nak makan. Kau habiskan dulu.”
“Kau nak ke mana?”
“Aku nak selesaikan apa yang patut aku selesaikan. Aku nak bayar hutang.”
“Is…” Hazrina bangun menghalang. “Aku tak nak kau libatkan diri lagi. Terima kasih di atas bantuan kau.”
“Aku tak suka lelaki tak guna tu kecewakan kau sampai macam ni. Kau dah berharap sangat.”
“Tidak, kalau memang bukan takdir aku bukan bersama dia, aku tak boleh buat apa-apa, Is.” Hazrina sungguh kecewa dan lukanya sangat dalam hanya kerana sebuah janji.
“Lupakan saja dia Rin. Lagipun…” Noris tunduk.
“Lagipun apa Is?”
“Erm…” Noris susah mahu cakap apa yang berlegar dalam kepalanya. Hazrina nampak Noris menggaru telinga. Sudah tentu ada perkara yang serius.
Wajah penat Hazrina disembunyikan pula dengan keinginan mahu tahu apa yang disimpan oleh Noris. Sahabatnya itu mengeluh halus.
“Jawab Is… apa yang cuba kau nak cakap ni?” Soal Hazrina sampai tangan pun belum sempat dibasuh. Dia mahu dengar sampai habis.
Noris menggeleng perlahan.
“Sebenarnya darjat yang membezaka orang macam  kita dengan dia.”
“Kerana dia anak Dato`?” Pantas Hazrina meneka.
“Ya Rin. Pasti mereka akan tuduh kau gilakan harta. Dan Datin Marlia pun pernah haramkan kita jejakkan kaki lagi dekat rumah tu. Tak mustahil mereka akan buat kita macam-macam.” Ketara Noris mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Fikirannya telah dipengaruhi hal yang negatif.
“Is… kau pun tak percayakan aku ke?” Wajah kecewa Hazrina kembali terbit.
“Kau jangan salah faham. Aku pun tak mahu kita dihina macam di rumah Datin Marlia tu. Walaupun aku sebenarnya tak kisah sangat dengan perangai dan ragam orang kaya tu tapi aku tidak mahu hati kau terguris lagi dan lagi. Mana nak cari ubat sembuhkan luka di hati kau tu, Rin?” Noris bimbang.
Telefon bimbit Hazrina  berbunyi. Mereka berdua memandang telefon itu di atas katil Hazrina. Panggilan telefon daripada Hazwan.
Better jangan jawab.” Saran Noris.
Hazrina mengambil telefonnya sekilas memandang Noris yang sedang berkerut dahi. Panggilan itu mati dan tiada lagi panggilan yang kedua kecuali pesanan ringkas yang masuk.


SMS
Hazwan :
Saya minta maaf,
berikan saya peluang
untuk jelaskan
hal sebenarnya.


“Awan hantar SMS.”
“Apa katanya?”
“Dia minta maaf.” Jawab Hazrina.
“Kau nak maafkan dia ke tak?”
“Tak  tahu.” Hazrina sendiri kurang yakin.


***


DIA mengeluh berat. Sekilas menoleh pada Badrul yang berdiri di sebelahnya. Perasaan itu terbawa sampai senja. Begitu sekali dia cuba memujuk tetapi Hazrina berdegil. Di tepi tasik itu dia berdiri merenung jauh ke dasar seolah-olah dia sedang menyelam.
“Aku tak faham la dengan kau ni Awan? Apa ubat yang doktor bagi dekat kau pun aku tak tahu sampai hilang kewarasan kau ni.”
“Aku tak gila okey.” Hazwan membantah. Dia kurang senang. Hazrina pun tidak membalas pesanan darinya. Ini satu perkara yang begitu menguji dirinya supaya bersabar.
“Kalau kau tak gila, kenapa kau lari dari hospital dan pergi rumah Maya lalu minta barang tu semua? Kau fikir Maya nak dengar cakap kau ke?”
“Dia akan dengar tapi dia sudah salah faham.”
“Apa lagi yang kau nak buat lepas ni? Sudahlah tu… aku tak nak tengok sepupu aku sendiri jadi gila tak tentu hala. Kau patut fikir perasaan keluarga kau sebelum buat apa-apa keputusan.”
“Aku nak putus dengan Maya.”
“Kau gila ke?”
“Memang. Memang aku dah gila Bard.”
“Kau ni dah parah sangat. Nanti apa kata papa dan mama kau?” Badrul merasakan kerumitan dalam masalah Hazwan kali ini. Ia semakin parah setelah Hazwan mahu memutuskan pertunangannya dengan Maya.
Hazwan terpaksa membuat keputusan drastik.. Dia tahu keputusannya itu tidak salah dan kalau dia teruskan juga maka dia menempah tiket sengsara. Dia tidak mahu hidup bersama perempuan seperti Maya yang terlalu menggeletis.
“Mama dan papa aku tak perlu kata apa-apa kerana semua ini soal masa hadapan aku. Aku dah besar panjang okey. Biar aku yang cari calon isteri aku sendiri. Dengan siapa aku mahu bercinta itu adalah hak aku.”
“Tapi kau tak sepatutnya membelakangkan mereka, Awan.”
“Selama ni apa yang kau buat pernah kau depankan umi dan abah kau ke? Tak pernah kan?” Hazwan sedarkan Badrul supaya melihat diri sendiri sebelum menasihati orang lain.
“Jom balik berehat. Kau tu belum sihat sepenuhnya lagi.” Ajak Badrul sambil memaut bahu Hazwan. Walau macam mana pun pertengkaran mereka, itu adalah cara mereka menyelesaikan masalah. Masih ada kasih sayang antara saudara.
Mereka berjalan sambil berpaut. Bantuan diberikan kepada Hazwan supaya menapak lebih tenang. Walaupun hati parah dilontarkan pada udara yang dihirup. Udara senja menjadi sedikit berat kerana awan kelabu berarak menandakan hari bakal hujan dan menjemput angin dingin mencuit kulit. Maka nanti akan merindinglah bulu roma mereka. Seterusnyta Kedua-dua mereka menatap langit itu yang semakin gelap ditutupi awan sebelum masuk ke dalam kereta.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.