Entri Terkini :

Aku Bukan Korea - Bab 4

LANGKAH Norisya dikejar Farah yang agak kelam kabut itu. Dipanggil Norisya tapi hanya sekadar memandang namun tidak mematikan langkah. Farah kejar lagi, tapi Norisya semakin pantas ke hadapan.
“Tunggu la.”
“Jangan kacau aku!” Marah Norisya.
“Aku bukan nak kacau kau pun, Isya,” Farah serba salah.
“Kalau ya pun biarlah lepas aku lepaskan hajat dulu!” Norisya cepat-cepat masuk ke dalam tandas selepas membaca doa ketika masuk tandas yang bermaksud,

‘Dengan nama Allah, Ya Allah aku berlindung denganMu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.’

Huh! Farah melepaskan keluhan. Ketara peluh meleleh keluar dari liang-liang roma. Dahinya juga sudah dibasahi keringat. Farah menunggu Norisya di luar.
Lama pula minah ni, gumam Farah. Setelah puas menunggu barulah Norisya keluar. Wajah Norisya jelas mempamerkan kelegaan. Berseri-seri jadinya apabila senyumaan mekar terukir di bibir mulus itu.
Sorry sangat, lambat.”
“Tak apa kau boleh sambung setengah jam lagi biar biru kaki aku berdiri tunggu kau dekat sini.” Farah merajuk.
“Hek eleh… merajuk la konon?”
“Kau dah okay ke tak ni?”
“Okey… bahana minum ais pagi-pagi.”
“Buang tabiat apa minum ais waktu macam ni?” Farah mengatur langkah. Norisya menarik nafas lalu beriringan bersama.
“Saja nak try tapi nampaknya perut aku memang tak boleh terima ice lemon tea. Serius meragam. Haa… alamak! Datang lagi.” Norisya meramas perut sendiri. Berlari-lari dia masuk ke tandas semula. Farah tepuk dahi sendiri. Parah kalau begini. Selepas ini mahu minta pertolongan Farah. Pasti! Farah mesti tolong Norisya.


***

ZAFRIL buat rawatan susulan. Berjumpa doktor untuk mengetahui keadaan diri sendiri. Setelah ditanya pun doktor itu memandang pelik. Memang tidak pernah jumpa lelaki sopan seperti Zafril ini. Doktor yang sama merawat Zafril sewaktu tangan itu patah. Setiap tutur bicara terlalu halus tiada sedikitpun kasar. Suara yang garau dan bahasa tubuh yang begitu mendamaikan menampakan Zafril bagaikan lelaki Melayu Terakhir biarpun wajah seperti kacukan Cina dan Melayu. Bahagian mata itu jelas mempamerkan Zafril seakan-akan bukan Melayu. Bebola mata berwarna biru.
“Bagaimana dengan tangan sahaya doktor?” Sekali lagi Zafril bertanya.
“Eh.” Tersentak doktor berkaca mata itu. Ada ke patut tangan Zafril diletakkan dekat dada sendiri sambil pejam mata? Cepat-cepat dilepaskan tangan itu. “Okay, dah boleh buat kerja, cuma jangan lakukan perkerjaan yang berat.” Menggelabah doktor itu.
“Terima kasih…” Zafril bangun sambil mengukir senyuman.
Doktor tersebut merekodkan sesuatu di dalam fail. Fail pesakit merupakan rekod sulit yang tidak boleh didedahkan kepada sesiapa.
Zafril melangkah perlahan dan dalam hatinya mengucapkan syukur kerana tuhan masih memberinya peluang untuk menikmati pancaindera yang tersangat penting itu. Bayangkanlah jika hidup di usia dua puluh lima tahun itu sudah tidak bertangan jadi bagaimana agaknya untuk dirinya meneruskan hidup? Pastinya dalam hidup ini terlalu banyak cubaan. Insan yang tabah dan kuat akan terus melangkah ke garisan penamat dan yang lemah pasti tersungkur biarpun cuba merangkak namun tewas dek putaran alam.
Pintu bilik doktor itu terkuak sebelum sempat Zafril memulas tombol maka pelanggaran terjadi apbila seorang gadis meluru masuk kerana tidak sabar-sabar lagi untuk mendapatkan rawatan. Hampir terjatuh gadis itu.
“Maafkan sahaya,” Ujar Zafril menggelabah.
“Tidak perlu minta maaf. Saya sebenarnya yang salah. Tolong tepi sikit.”
Zafril terus memberi laluan. Gadis itu tergesa-gesa menemui doktor. Zafril menguntum senyuman lalu keluar daripada bilik rawatan. Sempat berfikir sejenak akan kewujudan gadis itu. Cantiknya boleh tahan, gayanya pula yang sedikit menggelebah. Biasalah orang sakit bertemu doktor memang mempunyai banyak ragam dan karenah.

***

TAKDIR aku ke? Dia aku lihat lagi. Cinta aku ke tu? Norisya sudah terbang ke awan. Perutnya yang meragam itu sudah menerima rawatan. Pesan doktor, dia mesti makan ubat dan jangan skip! Wajah lelaki kacak itu bermain di matanya lagi. Kali pertama bertemu akibat kemalangan yang berlaku di hadapan rumah. Mujurlah ayah tidak melenting tapi memang ayah tak pernah melenting pun. Nampak tenang aje… Aduhai… kali ini aku jumpa dia lagi dekat klinik, Norisya tersenyum sendiri lalu menghempaskan tubuhnya ke katil.
Tangan terus diletakkan di atas dahi. Mata dia tu… comel… puji Norisya lagi dalam hatinya. Alahai gadis sunti itu sudah mula tergila-gilakan lelaki itu. Kehadiran lelaki itu bagaikan sebuah mimpi indah. Mimpi yang mungkin membuatkan hidupnya bermakna. Rasa macam dah lama kenal dia… itulah yang Norisya rasakan. Tapi itu biasalah. Kadang-kadang apabila dah suka ada sahaja perasaan yang pelik. Pernah jumpa la, pernah keluar sama la, pernah berbual-bual, tapi itu semua hanyalah permainan perasaan. Tidak perlu diikutkan sangat nanti jadi bahan ketawa pulak.
“Sekarang ni gred awak jatuh! Soalan kuiz yang begitu senang pun awak tak boleh jawab. Apa yang awak fikirkan hah?” Tiba-tiba sahaja muncul wajah Izad dalam kepalanya. Tersentak dia jadinya. Secara automatik dia bangun terduduk.
“Mati aku!” Wajah Izad yang garang itu sedang menghayun rotan. “Alamak!!!” Dia lupa sesuatu. Denda! Denda! Aku kena siapkan perkataan ‘Saya kuat berangan’ yang sama sebanyak seribu kali dengan pensil! Norisya kelam kabut.

***

“DAH siap?
“Ya…” Lenguh tangan Norisya.
“Bagus… macam ni la yang saya mahu. Jangan degil lagi. Awak tu bukan budak sekolah rendah tau.” Izad mengambil buku skrap yang dihulurkan oleh Norisya.
Norisya berkerut dahi. Buku itu dibelek Izad. Terjegil biji mata Izad seolah-olah bebola mata itu mahu keluar daripada sangkarnya.
What?” Izad terkejut.
Norisya senyum. Perkataan ‘I love you’ sebanyak seribu kali telah ditulis dalam buku tersebut menggunakan marker pen.
“Kenapa?” Selamba tanya Norisya.
“Bukan ini yang saya suruh awak tulis.”
“Tapi saya rasa nak tulis macam tu abang…” Terus dipanggil Izad sebagai ‘abang’. Hampir pengsan Izad melihat Norisya tersenyum di hadapannya. Barisan gigi Norisya tersusun cantik.
“Saya pun tak tahu kenapa saya tulis macam tu? Yang saya tahu, jika cinta ditulis dengan pensil ia masih boleh dipadamkan jadi saya guna marker pen biar susah untuk dihapuskan. Apabila sampai waktunya ia akan melekat di hati.” Jawab Norisya. Semakin tertekan Izad mengenangkan sikap Norisya. Semakin diberi denda semakin mengarut jadinya.
“Saya fikir awak patut kahwin. Tak perlu belajar sini lagi.” Izad bingung sendiri mengenangkan perangai Norisya. Sebenarnya ada dua dua manusia pelik dalam dunia ni yang dikenali Izad. Zafril dan Norisya. Ya Allah, siapa mereka ni? Kenapalah aku diketemukan dengan mereka ni? Makin haru hidup aku. Menyesal Izad tak kahwin dengan jodoh orang tua dahulu. Kalau tidak ada juga tempat dia bercerita benda pelik ni.
“Saya akan kahwin. Berkahwin dengan encik, boleh?” Norisya langsung tidak rasa serba salah dengan jawapanb itu.
Terdiam Izad. Seumur hidupnya memang dia tidak pernah bertemu dengan pelajar dan gadis seperti Norisya. Boleh retak tempurung kepalanya. Boleh jadi barah otaknya jika terus memikirkan cara untuk membuatkan Norisya ni faham akan tanggungjawab sebagai pelajar dalam menimba ilmu.
Dan sekarang iniu Farah pula sibuk memerhatikan daripada jauh dua makhluk itu berdiri. Seorang berdiri kaku macam robot dan seorang lagi sudah naik pening. Sudah pasti yang pening itu adalah Izad.
“Awak suka saya ke?”
“Suka.”
“Kenapa awak suka saya?”
“Sebab abang suka denda saya. Semakin abang denda saya semakin saya jatuh sayang. Lambat laun akan jatuh cinta.” Tutur Norisya.
Tidak!!! Tempik Izad dalam hati yang tidak akan didengari oleh sesiapa.

***

NORISYA tersenyum memandang Farah. Mereka melangkah bersama-sama ke restoran setelah keluar dari perut kereta. Farah masih tertanya-tanya motif sebenar Norisya mendera jiwa Izad.
Kerusi ditarik lalu punggung berlabuh. Norisya menopang dagu masih tersengih-sengih. Kemudian pelayan datang mengambil pesanan. Cuaca petang itu dingin gara-gara hujan seketika tadi. Sekarang hujan sudah reda.
“Milo tarik.” Norisya membuat pesanan dan pelayan itu memandang Farah pula.
“Teh tarik.” Beritahu Farah.
Mereka hanya membuat pesanan minuman sahaja. Perut belum terasa lapar kerana tadi roti yang dimakan masih belum hadam. Itu pun tahun bila punya roti di dalam kereta Farah pun Norisya tidak tahu. Tapi masih elok lagi kut. Bimbang pula kalau perutnya meragam lagi.
“Tak baik la kau buat Encik Izad macam tu.” Farah ada seikit rasa kasihan pada pensyarahnya tetapi tidak pada Norisya. Entah apa la yang membuatkan Norisya tu marah sangat. Memang tak patut Norisya cakap sebegitu. Gadis yang nampak comel dan cantik itu berkelakuan seperti orang kurang waras.
“Dia malukan aku tak apa pulak? Kalau diikutkan hati memang nak aje aku tarik telinga dia tu tau.” Amboi Norisya ni, tak baik betul. Itu pensyarah. Jika dibuat begitu maka tiada berkat ilmu itu.
“Sebab kau buat salah.” Farah seolah-olah membela Izad. “Memang patut kau selalu kena denda.”
“Salah aku boleh diperbetulkan tapi memalukan aku sangat melampau. Sebenarnya aku bengang sangat.” Norisya bersandar pada kerusi.
“Okey, aku pun salah jugak sebab sampaikan tugasan denda kau tu. Aku tau ia menjengkelkan.” Farah akur.
“Ya la… dia suruh aku tulis perkataan ‘Saya kuat berangan’ seribu kali. Dia ingat aku ni tergila-gilakan dia sangat ke?” Norisya mula menampakkan sikap baran. Terkejut Farah. Mana hilangnya Norisya yang dahulu yang sabar yang menurut perintah? Sekarang ni berubah secara mendadak.
“Tergila-gilakan dia sangat ke?” Farah ulang ayat itu. “Sangat? Sangat itu macam ada makna…” Farah angkat kening curiga.
“Isy!” Norisya menafikan.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.