Entri Terkini :

Aku Bukan Penagih!

Rapuh Bicara Sinis

Menjadi sampah saat kau berbicara
membuli rasa akan membawa duka
sekiranya kubiarkan berlegar di minda
ternyata kau tidak mengerti apa-apa
walaupun kucoretkan aksara pada meja.

Ku dengar berulang tentang dunia
kau lafazkan hakikat sebuah binasa
walhal semua itu seketika cuma
bahkan selamanya aku tinggalkan sahaja
untuk kau renung-renungkan semula
supaya kau tidak lagi hanyut dalam gelora
sehingga tegar menghulur narkoba
takkan ku tunduk pada sandiwara
membawa kita terbang kononnya bahagia...

Teman,
sekiranya kau sayangkan ikatan ini
usah kau rakus membaham budi
usah kau biar imanmu mati
usah digelapkan hati
biarkan segalanya pergi
tinggalkan semua jangan kembali
jangan kau memujuk ku lagi
maafkan aku wahai teman yang iri...

***

Sajak ini aku lahirkan dari hati benci dalam hati kerana aku pun tak faham sebenarnya dengan sikap rakan-rakan di kampung aku. Merek lebih gemar memilih jalan singkat melepaskan segala kekeruhan masalah yang datang. Mereka suka ambil benda tu, kadang-kadang mereka mempelawa aku turut sama. Apa dosa aku? Aku kesal dengan mereka setelah mereka tahu aku menulis novel bermacam-macam kutukan dan sindiran diberikan waktu aku sedang duduk minum di warung.


Apa semua ini? Apa salah aku menjadi orang yang pendiam? Aku tak mahu cakap banyak kerana akan buat orang terasa. Ada kalanya ia menjengkelkan aku terpaksa berpura-pura mesra padahal sakit dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu.

Maafkan aku sebab meluahkan di blog aku sendiri tentang rasaku ini sebagai seorang lelaki yang hidup dalam sebuah kampung dikeliling rakan-rakan yang terlalu enak menikmati syurga dunia. Berkhayal dengan semua benda haram itu. Yang menyedihkan aku, mereka adalah rakan-rakan kecilku dahulu. Mereka pernah belajar ABC, 1, 2 & 3 bersama-sama. Membelek buku yang sama. Belajar benda yang serupa. Pernah berada di kelas yang sama. Tapi kenapa mereka langsung tidak kasihankan diri mereka? Rakan aku, Z (bukan nama sebenar) sungguh gemuk namun akibat najis dadah itu dia kurus kering sekarang sampai nak jalan pun tak larat. Tulang empat kerat dia kalau diterajang pasti patah. Menangis di dalam hatiku melihat keadaannya kini. Kenapa jalan itu yang dipilih?

T (Bukan nama sebenar) pula sibuk jadi pusher. Tawar aku pil kuda, ice dan bermacam-macam lagi tapi aku tak ambil benda tu semua. Tolonglah kawan-kawan, jangan binasakan hidup kamu dengan benda macam tu. Z (Bukan nama sebenar) selalu nak pinjam duit daripada aku. Tak dapat berapa yang dia nak, RM10 pun jadi la nak buat belanja. Sampai macam tu sekali. Duit yang banyak aku tak dapat nak kasi tapi untuk belanja korang makan Insya-Allah aku belanja sebab aku tahu dia sanggup tak makan sebab nak beli benda tu.


Z, bila tahu aku menulis dia selalu datang cari aku nak pinjam duit tapi aku tak nak kasi. T kalau dekat kedai sinis je berkata-kata. Ada duit tapi kedekut, itulah sindirannya. Aku tak kedekut tapi aku tak nak kamu semua bazirkan duit beli benda alah tu. Korang ingat dengan hisap benda tu korang akan jadi kaya ke? T yang sibuk jadi pusher tu pun tak pernah kaya. Duit tu duit haram. Duit panas. Kalau dia kahwin esok-esok bagi makan hasil yang haram nanti anak-anak jadi apa? Usia kita semakin hari semakin meningkat, kenapa semakin hari pemikiran kamu jadi singkat kawan? Kenapa kamu buat aku sedih?

Tak apalah, kalau korang nak marah aku marahlah dan tuduh aku sombong pun tak apalah asalkan kamu rasa bahagia. Kalau nak buang aku sebagai kawan korang sebab aku selalu bagi nasihat pun tak apalah. Aku sedar aku tak selincah kamu semua. Aku tak mampu bersosial sebagaimana kamu semua. Aku terlalu gerun melihat kematian demi kematian disebabkan benda-benda tu. Biarlah ia menjadi iktibar untuk diri aku dan jika kalian masih tegar menzalimi diri kalian tanpa berfikir panjang jangan salahkan orang lain sebaliknya salahkan diri sendiri yang tak mahu dengar cakap.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.